Rabu, 8 Mei 2013

Semangat berpasukan bantu kejayaan ATM



MARLON (tengah) menjaringkan dua gol untuk membantu ATM mengutip tiga mata penuh ketika menewaskan Johor DT 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.


JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan menegaskan, semangat berpasukan antara faktor yang membantu skuad kendaliannya menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-0 pada aksi Liga Super kelmarin.

Penyerang import berbisa skuad The Gladiators, Marlon Alex James memastikan tiga mata penuh menjadi miliki ATM selepas meledak dua gol pada minit ke-55 dan ke-64.

Kini, Sathianathan yakin pasukannya berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga musim ini.
Lantaran itu, bekas jurulatih Kelantan tersebut menggesa anak-anak buahnya agar bekerja keras supaya dapat mengutip mata maksimum pada baki perlawanan musim ini.

“Kami bermain sebagai satu pasukan. Saya memuji pemain saya kerana mereka begitu rajin dan berdisiplin ketika berada di atas padang.

“Kami tidak memberikan ruang buat Johor DT walaupun 10 minit pertama mereka memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Saya meminta pemain menukar corak permainan dan hasilnya, kami berjaya mengawal perlawanan dan mendapatkan tiga mata penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Untuk rekod, The Gladiators yang mengutip 30 mata ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liga Super, Lions XII yang kurang satu perlawanan.

Pada perkembangan sama, Sathianathan sekali lagi menyuarakan kebimbangan ketika berdepan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

Ia gara-gara faktor cuaca menjadi penentu buat skuad kendaliannya kerana beliau mengakui cuaca panas dilihat membantutkan prestasi cemerlang ATM.

“Beraksi di sebelah petang, kami memiliki rekod yang tidak baik. Kami pernah tewas 2-3 kepada Terengganu tetapi berjaya mengalahkan T-Team 1-0 pada cuaca panas
.
“Sebelum ini, saya menerapkan taktik dengan menukar latihan kepada sesi petang.
“Ia telah berjaya ketika di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu (berdepan T-Team) tetapi kali ini, kami bergantung kepada faktor cuaca.

“Jika hujan, ia bonus buat kami tetapi saya mahu pemain-pemain ATM bekerja keras sekiranya berhasrat untuk menjulang kejuaraan liga pada musim ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan