Sabtu, 4 Mei 2013

Podolski taruhan Arsenal


LONDON - Arsene Wenger akan memberikan ruang kepada Lukas Podolski untuk berada kesebelasan utama sebagai penyerang tunggal yang dijangka memberikan sedikit kesan kepada Theo Walcott yang sebelum ini amat berharap diletakkan di posisi berkenaan.

Wenger terpaksa memikirkan pilihan di barisan serangan selepas Olivier Giroud dikenakan penggantungan tiga perlawanan ketika Gunners sedang berada di peringkat kritikal dalam usaha memburu empat tempat teratas.

Melihat aksi Podolski semasa menentang Manchester United minggu lalu, pengurus itu mungkin akan mengekalkan penyerang antarabangsa Jerman itu ketika menentang pasukan yang sudah tersingkir ke saingan Liga Kejuaraan musim depan, Queens Park Rangers (QPR).

Skuad kendalian Wenger kini di tangga keempat, dua mata mendahului Tootenham dan satu mata di belakang Chelsea tetapi telah bermain melebihi satu perlawanan daripada pesaing utama mereka.

Wenger percaya Podolski yang kebiasaannya bermain di sebelah sayap kiri kebanyakan musim ini adalah pilihan terbaik mengepalai serangan Arsenal bagi tiga lagi baki perlawanan.

''Dia mempunyai kualiti (bermain di bahagian tengah) kerana mempunyai penyudah yang tajam dan dia mempunyai teknik yang baik.

''Pada masa sekarang, saya boleh katakan hampir pasti (akan mainkan Podolski di bahagian serangan tengah), keputusan saya belum lakukan lagi tetapi jika mempunyai peluang, saya akan lakukannya," kata Wenger.

Walcott yang pada awal musim diletakkan selaku penyerang tunggal telah kembali di posisi asal di bahagian sayap kanan.

Namun, pemain antarabangsa England itu yang menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan United mahu bermain selaku penyerang.

Walcott berkata: ''Saya telah bermain dalam beberapa perlawanan dan saya mahukannya lagi menjelang beberapa perlawanan lagi pada penghujung musim ini.

''Saya boleh menjaringkan lebih banyak gol apabila bermain di bahagian depan dan saya telah buktikan yang saya mampu melakukannya, semuanya terpulang kepada pengurus untuk menentukannya.

''Saya yakin peluang akan datang dan sasaran saya adalah mahu menjaringkan 20 gol pada musim ini tetapi paling penting meletakkan Arsenal di tempat ketiga atau keempat," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan