Ahad, 12 Mei 2013

Suku akhir jadi sasaran



AMRI YAHYAH (dua dari kiri) dan Forkey Doe (dua dari kanan) menjadi sandaran Selangor pada kempen pusingan kedua Piala AFC menentang New Radiant, Rabu ini.


AKSI pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 dilihat bakal menjadi medan ‘pemanas badan’ terbaik buat dua wakil negara, Kelantan dan Selangor.

Ini kerana kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan sesama sendiri dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.

Esok, Kelantan bakal melayan kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee FC di Kota Bharu manakala Selangor pula berkunjung ke Stadium Nasional, Maldives berdepan New Radiant SC sehari kemudian.

Jika tewas, mereka sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada kempen tersebut kerana pusingan kedua diadakan secara kalah mati.

Atas kertas, kedua-dua pasukan dilihat tidak berdepan masalah melepasi pusingan kedua sebelum ini.

Selangor berjaya menempah slot suku akhir pada edisi 2006 manakala Kelantan dikecewakan kelab Iraq, Arbil SC pada peringkat yang sama musim lalu.

Justeru, hanya kemenangan pada kempen kali ini sahaja dilihat mampu menjadi penawar duka buat kedua-dua pasukan yang masih bergelut dalam kempen liga domestik setakat ini.

Ketika ini, The Red Warriors yang mengutip 23 mata, ketinggalan 11 mata di belakang peneraju Liga Super, Lions XII.

Harapan Gergasi Merah memberikan saingan dalam saingan liga domestik juga tampak sukar apabila sekadar terikat 1-1 dengan Perak di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Biarpun berdepan misi sukar dalam saingan Liga Super dan Piala AFC, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim enggan ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang.

Kejayaan mereka menyambar slot pusingan kedua Piala AFC 2013 apabila memintas kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh pada saat-saat akhir juga mampu menjadi tonik terbaik buat Gergasi Merah ketika berdepan New Radiant nanti.

“Kami belum mahu menyerah kalah. Ketika ini, kami sukar mengejar kedudukan tempat kedua Liga Super gara-gara keciciran mata penting di tempat sendiri.

“Pada masa sama, faktor kepenatan juga jelas memberikan kesan kepada persembahan pemain ketika saingan peringkat kumpulan Piala AFC sebelum ini.

“Namun, kami perlu memberikan yang terbaik kerana setiap aksi tetap menjadi keutamaan kami tidak kira sama ada Liga Super mahupun Piala AFC,” tegas Irfan baru-baru ini.

Untuk rekod, Selangor muncul naib juara Kumpulan H pada edisi kali ini apabila mengutip lapan mata manakala Kelantan menjuarai Kumpulan G dengan 13 mata.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan