Isnin, 13 Mei 2013

Benitez 'masuk bakul angkat sendiri'


LONDON - Rafael Benitez menganggap yang beliau telah berjaya menyempurnakan tugas sebagai pengurus Chelsea dengan baik selepas membantu kelab itu kembali semula ke dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Berdasarkan kejayaan tersebut, pengendali dari Sepanyol itu tidak menafikan sedang mengintai jawatan sama dalam kalangan kelab gergasi Liga Perdana England untuk musim depan.

Benitez diramal melepaskan tugasnya itu kepada Jose Mourinho musim panas ini meskipun berjaya membawa The Blues menjamin kedudukan empat teratas liga hasil kejayaan 2-1 ke atas Aston Villa, Sabtu lalu.

Bekas pengurus Liverpool itu juga berjaya membawa kelab London tersebut mara ke final Liga Europa awal pagi Khamis ini.

Meskipun Benitez telah menarik minat kelab Jerman, Schalk, Paris Saint- Germain (PSG) di Perancis dan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, pengurus berusia 53 tahun itu tetap berkeras mahu kekal di England pada kempen musim depan.

"Liga Perdana England adalah liga yang sangat hebat," jelasnya.
"Keluarga saya masih lagi di Liverpool dan sudah tentu ia memudahkan saya untuk terus tinggal di sini.

"Saya boleh saja pergi ke Itali atau Perancis atau pun Sepanyol tetapi England tetap menjadi pilihan utama saya."

Beliau menambah: "Saya boleh katakan bahawa ramai orang beritahu bahawa saya telah menjalankan tugas dengan bagus.

"Kamu tidak boleh meyakinkan semua orang tetapi saya jamin ramai yang gembira dengan tugas yang saya jalankan.

"Ia suatu kejayaan yang seratus peratus. Saya datang ke sini (Chelsea) dan menjalankan tugas dengan profesional sejak hari pertama lagi," kata- nya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan