Ahad, 19 Mei 2013

Harimau Muda 'berwajah baharu'



KIM SWEE (kiri) membayangkan akan memanggil beberapa pemain baharu untuk menyertai latihan skuad Harimau Muda.


BEBERAPA lagi pemain berpotensi dijangka mengikut jejak langkah penyerang muda Sarawak, Junior Eldstal ‘berguru’ bersama Harimau Muda di Slovakia pada masa terdekat.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier untuk menjalani latihan bersama skuad muda negara selepas ini.

“Beberapa lagi pemain akan dipanggil mengikuti latihan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia Julai depan,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya kelmarin.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mendedahkan nama beberapa pemain berkenaan.

Semalam, Kosmo! melaporkan kenyataan jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang mengesahkan Junior, 21, yang juga pemain kacukan Malaysia-Sweden akan menjalani latihan bersama Harimau Muda di Slovakia bermula Julai depan.

Untuk rekod, Harimau Muda masih gagal memburu kemenangan sulung sepanjang berguru di Eropah kali ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Terbaharu, skuad muda negara juga tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC baru-baru ini.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Universiade 2013 di Kazan dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Ketika ini, anak-anak buah Kim Swee hanya menjalani latihan intensif selama dua minggu di Slovakia sebelum bertolak ke Republik Czech bagi mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di sana.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan