Isnin, 13 Mei 2013

Pesanan terakhir Ferguson



FERGUSON (tengah) dikerumuni pemain-pemain United ketika berpesta meraikan kejayaan mereka muncul juara Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin.


MANCHESTER - Alex Ferguson mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Manchester United semalam sambil meninggalkan pesanan supaya berdiri teguh di belakang penggantinya selepas ini.

Pengendali berusia 71 tahun itu mengakhiri kariernya di Old Trafford dengan kemenangan istimewa sebaik United mengatasi Swansea City 2-1 kelmarin.

Beliau juga mahu penyokong United memberikan sokongan penuh kepada bekas pengendali Everton, David Moyes yang akan menggantikan beliau Julai depan.

"Saya mahu mengingatkan para penyokong bahawa saya sering mendapat sokongan biarpun mengalami musim yang sukar di sini.
"Staf menyokong saya, begitu juga pemain dan peminat. Jadi, menjadi tugas anda (peminat) supaya menyokong pengurus baharu United selepas ini," kata Ferguson sambil mendapat tepukan gemuruh penyokong.

Ketika ditanya mengenai Moyes, Ferguson menjelaskan: "Kelab telah membuat keputusan yang tepat. Moyes seorang pengurus yang bekerja keras dan memiliki kualiti selain berasal dari Scotland.

"Sejarah membuktikan kami mampu berjaya di Old Trafford, contohnya Matt Busby (juga dari Scotland). Jadi, saya harap Moyes menerima sokongan seperti saya selepas ini," katanya.

Ferguson memberitahu, beliau telah mengambil keputusan bersara sejak Krismas tahun lalu ekoran kematian ahli keluarga isterinya dan kemudiannya diperkuatkan lagi dengan kejayaan United merampas semula trofi Liga Perdana England daripada seteru setempat, Manchester City.

"Saya rasa cukup penting untuk meninggalkan United ketika di ambang kejayaan.

"Sukar untuk merahsiakan hasrat untuk bersara, jika diikutkan saya mahu perkara itu diketahui pemain terlebih dahulu.

"Namun, spekulasi tersebar meluas dan segala-galanya bukan lagi menjadi rahsia," katanya.

Untuk rekod, Ferguson mula mengendalikan United pada 1986 selepas memulakan karier selaku pengurus bersama East Stirlingshire pada 1974.

Beliau pernah mengendalikan beberapa kelab Scotland seperti St. Mirren dan Aberdeen sebelum datang ke Old Trafford.

Sepanjang bersama United, Ferguson telah mendakap trofi EPL sebanyak 20 kali, Piala FA (11 kali) dan juga trofi Liga Juara-Juara sebanyak dua kali pada 1999 serta 2008. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan