Memaparkan catatan dengan label Marouane Fellaini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Marouane Fellaini. Papar semua catatan

Selasa, 17 September 2013

Fellaini akui bergelut sejak tiba di Old Trafford


MANCHESTER - Pemain tengah Belgium, Marouane Fellaini mendedahkan, dia mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya, Manchester United, namun perkara tersebut tidak akan menghalangnya daripada terus berada di Old Trafford. 

Bekas bintang Everton itu menyertai United selepas menandatangani kontrak pada hari terakhir pasaran perpindahan pemain ditutup, 11 September lalu. 

Kehadirannya ke Old Trafford menimbulkan kemarahan penyokong Red Devils yang merasakan Fellaini tidak cukup bagus untuk menyarung jersi pasukan. 

Pemain antarabangsa Belgium itu diberi tepukan ketika membuat penampilan sulung buat United dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu lalu, namun dia masih belum mampu meyakinkan mereka yang sering meragui kemampuannya. 

"Saya menghadapi masalah dengan intensiti latihan Manchester United kerana saya bermain dengan ramai pemain yang hebat. 

"Ia lebih cepat daripada apa yang saya lakukan di Everton selama ini, namun saya tetap gembira berada di sini.

"Saya sukakan permainan bola sepak dan kerana itu saya bersemangat untuk bermain," kata Fellaini.
Di United, sesi latihan biasanya dimulakan dengan para pemain melakukan hantaran sesama sendiri dalam satu bulatan. Bulatan ini dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut hierarki.

Bulatan pertama akan diketuai oleh pengurus pasukan, David Moyes. 

Dia akan dikelilingi oleh pemain-pemain utama yang menerima gaji tertinggi dan merupakan bintang pasukan. Biasanya, Moyes akan berlatih bersama Wayne Rooney, Robin van Persie, Michael Carrick, Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Nani, Ashley Young serta Tom Cleverley.

Fellaini, 25, yang tiba ke Old Trafford dengan bayaran 27.5 juta pound (RM142.27 juta) hanya diletakkan dalam kumpulan kedua bersama pemain seperti Alex Buttner, Anderson, Chris Smalling, kembar Da Silva, Javier Hernandez, Wilfried Zaha, Anderson, Jonny Evans dan Antonio Valencia kerana kesukarannya menyesuaikan diri dengan kepantasan pemain-pemain utama. 

Kumpulan ini, diketuai oleh jurulatih pasukan utama, Phil Neville. 

Biarpun menyedari kesukaran pemain kesayangannya itu untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharu di Old Trafford, namun Moyes tetap yakin bahawa Fellaini mampu membuktikan kehebatannya jika diberi sedikit masa. 

"Dia ada potensi untuk menjadi pemain yang hebat. Saya sentiasa menganggap bahawa dia antara pemain terbaik Belgium dan negara itu mempunyai sebuah pasukan yang bagus kerana kehadiran pemain-pemain sepertinya.

"Harap, dia dapat membantu kami melakar keputusan lebih bagus, namun untuk membolehkan pemain-pemain ini menyerlahkan kemampuan sebenar, mereka harus diberi kebebasan di atas padang. Marouane adalah pemain yang cukup baik untuk pasukan dan saya rasa dia juga masih muda serta mempunyai banyak masa untuk meningkat. 

"Kalau kita beri dia sedikit masa dan ruang, saya percaya dia akan menjadi pemain Manchester United sebenar. Dia pasti dapat memberi sumbangan besar kepada pasukan," kata Moyes. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 8 September 2013

Fellaini optimis United kekalkan kejuaraan liga


FELLAINI (kiri) kini sedang sibuk membantu Belgium menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 dan dijangka akan membuat penampilan pertama bersama United hujung minggu ini.


LONDON - Pemain Manchester United, Marouane Fellaini percaya pasukan baharunya itu masih memiliki keupayaan untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England pada musim ini.

Bintang Belgium itu muncul pemain kelima termahal dalam sejarah United sebaik melengkapkan perpindahan dengan yuran sebanyak £27.5 juta (RM142 juta) dari Everton pada minggu lalu.

Kini, Fellaini yakin bahawa United yang memenangi kejuaraan liga dengan kelebihan 11 mata pada musim lalu, masih berupaya mencabar kuasa besar Chelsea dan Manchester City dalam mengekalkan kejuaraan musim ini.

"Ia menjadi satu perkara sukar, setiap tahun adalah cabaran hebat buat pasukan besar tetapi saya fikir United memiliki kualiti untuk memenangi kejuaraan liga.

"Paling mustahak bagi saya adalah memenangi trofi dan beraksi lebih kerap bersama United," kata Fellaini.

Fellaini percaya beliau dapat menyesuaikan diri di Old Trafford dengan cepat namun dia dijangka bakal berjuang untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama United.

Buat masa ini, Michael Carrick dan Tom Cleverley menjadi pilihan utama pengurus United, David Moyes manakala Anderson, Phil Jones dan Ryan Giggs muncul sebagai pemain alternatif kedua.

Tambah Fellaini: "Satu langkah yang besar untuk saya namun saya telah beraksi di England selama lima tahun. Saya mengenali liga ini dan saya tahu cara persembahan pemain di sini.

"Saya tidak fikir bahawa saya akan berdepan masalah nanti untuk beraksi bersama United." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 4 September 2013

Moyes pertahan Fellaini


FELLAINI (kanan) akan membuat penampilan pertama dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Tarford menentang Crystal Palace pada 14 September depan.


LONDON - David Moyes yakin Marouane Fellaini akan melakar kejayaan cemerlang dengan Manchester United selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford pada saat-saat akhir kelmarin.
Moyes yang membawa Fellaini ke Everton ketika membimbing kelab tersebut sebelum ini, berjaya mendapatkan perancang Belgium itu dengan harga £27.5 juta (RM141 juta) selepas beberapa tawarannya ditolak.

Jumlah tersebut adalah lebih £4 juta (RM20.5 juta) daripada harga penebusan kontrak Fellaini yang akan berakhir hujung Julai ini, sekali gus menjadikan dia pemain keempat termahal yang dibeli United selepas Dimitar Berbatov, Rio Ferdinand dan Wayne Rooney.

Setelah menghabiskan masa empat tahun bersama Fellaini di Everton, Moyes yakin pemain berusia 25 tahun itu mampu memantapkan skuad The Red Devils.

"Fellaini merupakan seorang pemain yang serba boleh.

"Dia memiliki sifat-sifat yang tidak ada dalam diri pemain lain. Berdasarkan kualiti yang ada padanya, saya jamin dia akan menjadi tonggak penting United," kata Moyes.

Persaraan Paul Scholes dan Darren Fletcher yang masih dibelenggu kecederaan menyebabkan United menghadapi krisis di posisi tengah.

Bagaimanapun, kehadiran Fellaini bakal memberi pengurus The Red Devils itu lebih banyak pilihan di posisi tersebut.

"Dia boleh bermain di posisi tengah jika kami memerlukannya, iaitu di belakang penyerang utama.
"Dia juga boleh bermain sebagai perancang. Malah, dia sebenarnya boleh diberi tugas dalam mana-mana posisi di bahagian tengah," kata Moyes. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 1 September 2013

Fellaini hampiri Old Trafford


FELLAINI (kanan) akan bertukar tempat dengan Lingaard yang akan ke Everton selain yuran perpindahan RM183 juta yang akan dibayar oleh United.


MANCHESTER - Manchester United semakin hampir mendapatkan khidmat perancang Everton, Marouane Fellaini dengan yuran perpindahan sebanyak £36 juta (RM183.1 juta).

Ia ekoran pengendali The Toffees, Roberto Martinez bersetuju mendapatkan pemain United, Jesse Lingard menerusi pinjaman sebagai sebahagian daripada perjanjian berkenaan.

Sebelum ini, Fellaini dilaporkan bersetuju meninggalkan Everton selepas dikatakan bertelagah dengan Martinez sebelum seri tanpa jaringan dengan Cardiff City dalam aksi Liga Perdana England kelmarin.

Dia merupakan antara prospek pemain baharu yang berada dalam radar pengendali United, David Moyes.

Selain Fellaini, Moyes juga dilaporkan berminat mendapatkan tonggak Borussia Dortmund, Ilkay Gundogan dan perancang Real Madrid, Luka Modric.

Namun, perpindahan itu dilihat sukar menjadi kenyataan ekoran Dortmund enggan melepaskan Gundongan selepas menjual Shinji Kagawa ke United musim lalu.

Modric pula dikatakan masih berada dalam perancangan pengendali Real, Carlo Ancelotti meskipun dengan kehadiran bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Gareth Bale.

Dalam pada itu, Martinez juga tidak menolak kemungkinan salah seorang pemain bintangnya akan meninggalkan Goodison Park selepas ini.

"Kami tidak boleh mengekang sebarang penghijrahan mana-mana pemain terkemuka.
"Sudah tentu saya berharap mereka kekal menyarung jersi Everton untuk satu tempoh yang lama tetapi ia tidak berada dalam kawalan saya," kata Martinez.

Selain Fellaini, Moyes juga dilaporkan berminat dengan seorang lagi bekas anak didiknya di Everton, Leighton Baines. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Fellaini dedah hasrat ke United


SELEPAS Everton dan United terus berbalah, Fellaini (kiri) mula membuka mulut tentang keinginannya yang sebenar untuk musim ini.


LONDON - Marouane Fellaini dilaporkan mahu meninggalkan Everton untuk menyertai Manchester United sebelum tag harganya meningkat lebih tinggi pada tahun depan.

Perancang Belgium itu kini dianggarkan bernilai lebih dari £23 juta (RM118 juta) oleh The Toffes yang sebelum ini telah menolak bidaan United sebanyak £28 juta (RM144 juta) untuk Fellaini dan Leighton Baines.

Selepas Everton enggan menjual Fellaini kepada bekas pengurus, David Moyes yang kini bertugas sebagai pengendali Manchester United untuk musim ini, The Red Devils dilihat berdepan cabaran sukar untuk mendapatkan pemain utama pada musim panas ini.

Begitupun, difahamkan Fellaini melihat peluangnya akan berakhir jika tidak menyertai kelab gergasi Eropah sebelum pentas Piala Dunia 2014 yang dijangka memberikan impak kepada nilai harganya.

Ini kerana Belgium yang dibarisi pemain bintang seperti Fellaini, Eden Hazard dan Vincent Kompany, dijangka akan layak untuk kejohanan yang bakal berlangsung di Brazil itu.

Justeru, Fellaini bimbang kejayaan pasukan kebangsaan itu akan memaksa nilai meningkat lebih tinggi dan dia dikatakan mahu meninggalkan Everton demi kebaikan kariernya.

Ini kerana pemain berusia 24 tahun itu berpendapat, dia telah memberikan khidmat terbaik sepanjang menyarungkan jersi The Toffes selama lima tahun.

Dia tidak mahu menyulitkan usaha pengurus baharu Everton, Roberto Martinez pada peringkat ini sebagaimana Fellaini menuntut penghijrahan secara formal.

Begitupun, Martinez dijangka tidak akan melayan tuntutan Fellaini sebagaimana beliau mengesahkan tidak akan menerima sebarang bidaan.

"Mungkin 'bunyinya' sedikit kurang selesa tetapi kami tidak berminat untuk menerima atau membuat sebarang bidaan,

"Saya tidak pernah melihat United bekerja dengan penuh sopan sebelum ini. Jadi, jika kamu mahukan pemain, lakukan mengikut prosedur," ujarnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

United 'bermain api'


BAINES (depan) dan Fellaini (belakang) sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke United musim ini.


LONDON - Manchester United dilaporkan cuba mencetuskan kemarahan Everton.
Skuad The Red Devils dijangka mengemukakan tawaran baharu bagi mendapatkan dua pemain Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines.

Everton menganggap tawaran bernilai £28 juta (RM144.5 juta) daripada juara bertahan Liga Perdana England itu sebagai satu ejekan dan bersifat kurang ajar.

Everton berang setelah United cuba menggandingkan semula Fellaini dan Baines dengan bekas pengurusnya, David Moyes yang membeli kedua-dua pemain tersebut ketika berada di Goodison Park.

"Kedua-dua tawaran tersebut telah ditolak serta merta.
"Kelab ini tidak akan memberi maklumat lanjut secara terbuka kerana kami mahu memastikan persiapan Roberto Martinez (pengurus) pada awal saingan Liga Perdana England ini tidak terjejas," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Everton kelmarin.

Tawaran yang dikemukakan United itu turut disertakan dengan syarat tambahan iaitu pertukaran seorang pemain United.

Ketua Eksekutif United, Ed Woodward mengemukakan tawaran bernilai £16 juta (RM82.6 juta) kepada Fellaini dan £12 juta (RM61.9 juta) untuk Baines minggu lalu.

Meskipun Everton menolak tawaran tersebut serta merta, ia bukan satu halangan buat United yang mempunyai dana sekitar £70 juta (RM361 juta).

Moyes juga terdesak untuk memperkuatkan posisi tengah terutamanya menjelang aksi bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford, Isnin depan.

Moyes berharap untuk membawa Fellaini ke Old Trafford secepat yang mungkin.

Sebelum ini, The Red Devils telah mencetuskan kemarahan Everton dengan melantik Moyes sebagai pengganti Alex Ferguson dan kali ini, mereka dijangka tidak akan bekerjasama sekali lagi untuk melepaskan kedua-dua pemain tonggak itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my