Ahad, 8 September 2013

Fellaini optimis United kekalkan kejuaraan liga


FELLAINI (kiri) kini sedang sibuk membantu Belgium menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 dan dijangka akan membuat penampilan pertama bersama United hujung minggu ini.


LONDON - Pemain Manchester United, Marouane Fellaini percaya pasukan baharunya itu masih memiliki keupayaan untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England pada musim ini.

Bintang Belgium itu muncul pemain kelima termahal dalam sejarah United sebaik melengkapkan perpindahan dengan yuran sebanyak £27.5 juta (RM142 juta) dari Everton pada minggu lalu.

Kini, Fellaini yakin bahawa United yang memenangi kejuaraan liga dengan kelebihan 11 mata pada musim lalu, masih berupaya mencabar kuasa besar Chelsea dan Manchester City dalam mengekalkan kejuaraan musim ini.

"Ia menjadi satu perkara sukar, setiap tahun adalah cabaran hebat buat pasukan besar tetapi saya fikir United memiliki kualiti untuk memenangi kejuaraan liga.

"Paling mustahak bagi saya adalah memenangi trofi dan beraksi lebih kerap bersama United," kata Fellaini.

Fellaini percaya beliau dapat menyesuaikan diri di Old Trafford dengan cepat namun dia dijangka bakal berjuang untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama United.

Buat masa ini, Michael Carrick dan Tom Cleverley menjadi pilihan utama pengurus United, David Moyes manakala Anderson, Phil Jones dan Ryan Giggs muncul sebagai pemain alternatif kedua.

Tambah Fellaini: "Satu langkah yang besar untuk saya namun saya telah beraksi di England selama lima tahun. Saya mengenali liga ini dan saya tahu cara persembahan pemain di sini.

"Saya tidak fikir bahawa saya akan berdepan masalah nanti untuk beraksi bersama United." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan