Selasa, 8 Oktober 2013

Gerrard bidas kritikan


GERRARD (kanan) berang selepas ramai pihak mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.


LONDON - Pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard menyelar kritikan yang mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.

Gerrard berkata, setiap individu dalam skuad The Three Lions sangat terdesak untuk melakar kejayaan.

Kapten England itu turut mendesak para peminat agar terus memberikan sokongan kepada skuad kendalian Roy Hodgson pada aksi Kumpulan H kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Wembley menentang Montenegro, awal pagi Sabtu ini dan Poland empat hari kemudian.

Meskipun prestasi England di pentas antarabangsa tidak menentu, Gerrard menegaskan bahawa keghairahan untuk menjulang nama negaranya tidak pernah pudar dalam diri setiap pemain skuad The Three Lions itu.

"Semua cerita ini adalah karut.

"Perasaan sedih dan sakit hati selepas kami tidak layak ke Euro 2008 tidak akan padam sampai bila-bila.

"Saya harap anda dapat menutup mulut pengkritik yang mendakwa kami tidak peduli tentang kekecewaan mereka.

"Percayalah, kami ambil peduli. Tidak ada sesiapa yang ambil peduli selain daripada pemain dalam skuad ini. Kami sedar keghairahan para penyokong dan media tetapi ia juga berlaku dalam bilik persalinan.

"Kalau kami tidak peduli, kami tidak akan berada di sini. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad ini. Tiada siapa memaksa kami bermain dengan England.

"Kami bermain kerana kami mahukannya. Kami terlalu ingin mencatat kejayaan bersama skuad ini," katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan