Jumaat, 11 Januari 2013

Robinho keluar, Balotelli masuk


LONDON - AC Milan bakal menawarkan Mario Balotelli jalan keluar dari Manchester City seandainya mereka sendiri dapat mengeluarkan Robinho pada pasaran perpindahan bulan ini. 

City sedia menjual Balotelli selepas bintang penyerang itu terlibat dengan kontroversi terbaru bersama pengurus pasukan, Roberto Mancini. 

Begitupun cabaran terbesar yang dihadapi juara Liga Perdana Inggeris itu adalah cuba mencari pembeli yang sanggup membayar sekurang-kurangnya 25 juta pound (RM122.5 juta). 

Gergasi bola sepak Itali itu sedia menjadikan perpindahan itu berjaya dengan syarat, ada ruang kosong dalam skuad mereka dan seseorang perlu dikorbankan, iaitu Robinho. 

Mereka sudahpun menjual penyerang Brazil, Pato ke Corinthians pada awal bulan ini dengan harga 12 juta pound (RM58.8 juta) tetapi ironinya, Robinho pula menjadi penghalang terbesar untuk membawa masuk Balotelli. 

Di England, City amat berharap sesuatu dapat dilakukan untuk 'menghapuskan' Balotelli, pemain yang sekali lagi mencuri tumpuan jurugambar semalam apabila tampil ke sesi latihan dengan rambut berwarna perang. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan