Ahad, 6 Januari 2013

Khairul Fahmi nyala impian baharu



KHAIRUL FAHMI (kiri) bersalaman dengan Annuar pada majlis perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.


PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek mahu menjadikan musim 2013 sebagai tahun terbaik dengan membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan trebel yang diraih musim lalu.

Apek berkata, selain membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam kempen domestik, dia juga berazam untuk merebut semula tempat sebagai penjaga gol No. 1 Harimau Malaya.

“Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dengan memberikan aksi terbaik setiap perlawanan yang diharungi bagi memastikan kedua-dua azam sempena tahun baru ini dapat dicapai.

“Saya juga bertekad untuk membantu pasukan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya.

Apek berkata demikian kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.

Dalam majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 1,000 tetamu itu, Apek dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, atau Leuniey tampil anggun mengenakan persalinan warna biru firus sedondon.

Majlis kenduri Apek turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Annuar berkata, penyerang import baharu, Dimi Pertratos mempunyai kontrak rasmi dengan KAFA.

“Saya yakin tidak akan timbul soal curi atau pemain lari seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.

“Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan di media.

“Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting, dia (Pertratos) mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November ini,” kata Annuar.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita pemain kelahiran Australia itu yang dilapor dilamar oleh sebuah pasukan di England baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan