Isnin, 14 Januari 2013

Marlon enggan dabik dada



MARLON mula pamer taring sebenar.


PENYERANG berbisa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James berjaya menutup mulut pengkritik sebaik meledak hatrik semasa membantu pasukannya membenam cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Selepas dikritik hebat gara-gara beberapa kali mensia-siakan peluang keemasan semasa pasukannya tewas 0-1 kepada Lions XII dalam aksi pembuka tirai liga minggu lalu, Marlon kembali membuktikan sentuhannya masih berbisa sekali gus membantu ATM membawa pulang tiga mata berharga.

Begitupun, Marlon enggan mendabik dada dengan ledakan hatrik tersebut, sebaliknya menegaskan misi memburu kemenangan menjadi keutamaannya musim ini.

“Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol, tetapi yang lebih utama ialah berjaya membantu ATM memenangi perlawanan.

“Sejujurnya, saya tidak ambil peduli berapa jumlah gol yang berjaya saya hasilkan asalkan ATM membawa pulang tiga mata penuh,” kata Marlon.

Dalam perlawanan itu, ATM terlebih dahulu di depan seawal minit kelapan apabila Marlon tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan salah seorang pemain PKNS.
Begitupun, PKNS kembali menyamakan kedudukan menerusi Fazli Baharuddin pada minit ke-27 dan kedudukan kekal 1-1 pada separuh masa pertama.

Namun, ketiadaan penyerang import, Patrick Ronaldinho yang diperintahkan keluar padang pada minit ke-60 gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas didakwa sengaja merebahkan badan jelas mengundang padah buat PKNS.
Hasilnya, ATM kembali menguasai perlawanan sebelum Marlon meledak dua lagi gol pada minit ke-64 dan 71.

“Saya harap jaringan hatrik ini dapat menyuntik moral saya supaya memberikan yang terbaik serta berterusan menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang,” kata Marlon.

Selepas ini, ATM bakal melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok sementara PKNS menanti kunjungan Lions XII di Stadium Shah Alam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan