Jumaat, 18 Januari 2013

Fakri dapat pujian jurulatih Atletico SC


Ahmad Fakri Saarani
 
KUALA LUMPUR - Kelibat sulung Ahmad Fakri Saarani di bumi Portugal bersama kelab baharunya, Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) mendapat pujian daripada ketua jurulatih, Eduardo Almeida.
Menjadi perancang kepada gol ketiga Atletico SC semasa menang 3-2 ke atas CF ESP Lagos Ahad lalu, Fakri telah berjaya mendapatkan kepercayaan Eduardo untuk beraksi 90 minit di samping melihat ada potensi besar yang ada pada diri terhadap pemain Harimau Malaya tersebut.

Jelasnya, pemain berusia 23 tahun ini hanya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan barunya di Portugal termasuk soal bahasa dan cuaca.

"Pemain ini mempunyai potensi besar selepas apa yang saya perhatikan pada perlawanan ini dan saya yakin dia mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi pemain yang berjaya.

"Dia ada beberapa kualiti tersendiri seperti pantas dan cukup rajin membantu rakan sepasukan di segenap posisi walaupun bertindak sebagai pemain serangan," katanya.

Menurut Eduardo, Fakri perlu cepat belajar memahami corak permainan bola sepak di Eropah supaya dia mampu beraksi lebih cemerlang serta menyerlahkan potensi sebenar yang ada pada dirinya.

"Masalah yang Fakri alami di sini ialah dia masih cuba mempelajari sistem bola sepak Eropah dan itu mungkin mengambil sedikit masa.

"Saya yakin lambat-laun dia akan berjaya di sini dan menjadi antara pemain utama kepada kelab ini," katanya.

Fakri yang baru memperolehi sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada 6 Januari lalu diturunkan sebagai penyerang sokongan dalam perlawanan tersebut oleh Eduardo.

Buat masa ini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pengurus peribadinya iaitu Faisal Zakariah, Fakri buat masa sekarang sedang mempelajari bahasa Portugal bagi memudahkan di berkomunikasi dengan rakan sepasukan.

"Dalam masa terdekat, dia sudah boleh memahami serba sedikit bahasa Portugal dan itu penting supaya dia dapat beraksi lebih selesa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan