Khamis, 10 Januari 2013

Pahang turun tanpa tonggak import



DOLLAH bercadang untuk menggunakan seratus peratus tenaga tempatan pada aksi menentang Felda united hari ini.



PAHANG bakal beraksi tanpa bantuan pemain import pada aksi menentang Felda United di Stadium Majlis Bandaraya, Petaling Jaya petang ini.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh dengan nada penuh berahsia berkata, perkara tersebut bagaimanapun masih dalam pertimbangan dan beliau belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
“Kebetulan (semasa pertemuan dengan Johor DT) nasib kita lebih baik pada malam itu selepas cuba untuk bermain tanpa pemain import pada separuh masa kedua.

“Felda United bukan calang-calang pasukan, oleh itu kita tidak boleh membuat ‘eksperimen’ untuk bermain dengan pemain tempatan sahaja.

“Ada pemain import atau tidak, ia belum diputuskan dan biarlah menjadi rahsia sehingga perlawanan itu bermula nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Selasa lalu, Pahang menang 3-2 ke atas Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan tanpa bantuan pemain import pada separuh masa kedua meskipun ketinggalan 2-0 pada babak pertama.

Ujar Dollah lagi, keperluan paling utama yang dipersiapkan pasukannya bagi menghadapi Felda United ialah kemampuan pemain untuk memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan.

“Matlamat kita adalah untuk mengutip tiga mata. Untuk mencapai matlamat itu, setiap pemain harus memperbaiki rentak permainan masing-masing.

“Kita memang waspada dengan Felda United kerana mereka juga sentiasa tampil dengan kekuatan yang sukar untuk diramal,” kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan