Jumaat, 25 Januari 2013

Arsenal belajar daripada pengalaman



KOSCIELNY (kiri) mengakui kekalahan kepada Bradford memberi pengajaran yang berguna buat skuad The Gunners.


BRIGHTON - Pemain pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny yakin pengalaman pahit tewas kepada pasukan kerdil, Bradford City memberi pengajaran yang berguna buat skuad The Gunners.

Koscielny berkata, pengalaman itu membantu mereka daripada dimalukan buat kali kedua kepada Brighton & Hove Albion pada aksi pusingan keempat Piala FA di Stadium Amex malam ini.

Peluang Arsenal lebih realistik dalam kempen Piala FA musim ini tetapi mereka perlu menewaskan kelab Liga Kejuaraan tersebut pada aksi kelompok 32 pasukan terbaik itu.

Brighton yang dibimbing Gus Poyet berpeluang untuk melakar satu lagi kejutan musim ini selepas menyingkirkan kelab Liga Perdana England, Newcastle United.

Koscielny dan rakan-rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati selepas dimalukan Bradford menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Piala Liga di Valley Parade, Disember lalu.

"Pengajaran yang paling besar kami peroleh adalah kualiti tidak semestinya menjamin sesebuah pasukan dalam sesuatu perlawanan. Semua pasukan perlu memberikan sepenuh perhatian pada perlawanan tersebut.
"Kami perlu bersedia untuk bersaing dan mengekalkan kualiti serta bermain seperti biasa pada setiap perlawanan. Jika kami bermain seperti ini, kami pasti akan menang," kata Koscielny.

Koscielny berkata, tidak kira sama ada Piala FA atau Piala Perancis, situasinya tetap sama iaitu semua pasukan kerdil ingin menewaskan pasukan gergasi.

"Mereka pasti gembira sekiranya dapat menumpaskan lawan seperti Arsenal. Jadi, ia menjadi sesuatu yang sukar buat kami. Kami perlu bermain dengan baik. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan