Khamis, 10 Januari 2013

Swansea tidak rela jual Michu



MICHU (kanan) menghukum kesilapan Ivanovic (kiri) apabila menjaringkan gol pertama Swansea pada aksi separuh akhir Piala Liga di Stamford Bridge semalam. Swansea menewaskan Chelsea 2-0.


LONDON - Pengendali Swansea City, Michael Laudrup menegaskan bahawa Michu tidak akan meninggalkan pasukan itu sepanjang musim perpindahan pemain, Januari ini.

Laudrup menyuarakan keyakinan tersebut selepas pemain tengah Sepanyol itu meledakkan satu gol untuk membantu Swansea menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi separuh akhir Piala Liga awal pagi semalam.
Kejayaan menewaskan juara Eropah itu adalah yang pertama buat kelab Wales tersebut di Stamford Bridge sejak 1925.

Michu yang dibeli dengan nilai £2 juta (RM9.7 juta) daripada kelab Liga Sepanyol, Rayo Vallecano sudah meledakkan 16 gol sepanjang 25 penampilan musim ini.

Pada perlawanan awal pagi semalam, Michu meletakkan Swansea di depan pada minit ke-39 sebelum Danny Graham menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Jumlah jaringan yang diperoleh menepati sasaran Michu tetapi Laudrup mengakui, prestasi semasa menyebabkan pemain berusia 26 tahun itu menjadi rebutan beberapa kelab elit Eropah.

"Kami menyedari situasi tersebut, situasi ekonomi di dunia. Jadi, tidak banyak kelab yang mampu untuk membelinya," kata pengendali kelahiran Denmark itu.

"Ada beberapa kelab di England, dua di Sepanyol tetapi di Itali saya tidak tahu.
"Mereka cuba untuk membeli begitu juga dengan Bayern Munich di Jerman. Jadi, tidak banyak kelab yang mampu.

"Michu seronok bermain di sini. Dia gembira. Jadi, saya tidak bimbang kerana saya yakin dia akan kekal bersama kami untuk tempoh lima atau enam bulan akan datang tetapi saya tidak pasti pada musim panas ini.
"Saya tidak tahu berapa nilainya. Tanya pengerusi kelab. Dia melakukan tawar menawar musim ini, kami menyedarinya tetapi gembira kerana kami menemui pemain yang tepat.

Ketika diminta mengulas mengenai jumlah gol yang dijaringkan Michu, Laudrup berkata: "Berdasarkan jumlah jaringan, pasti menakjubkan apabila kamu tidak pernah terfikir dia adalah seorang penyerang.
"Dia sering kali beraksi di posisi tengah tetapi bila memperoleh peluang, dia akan menjaringkan gol. Itu sesuatu yang menakjubkan." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan