Ahad, 6 Januari 2013

'Saya hanya arahkan dia keluar padang'



TIDAK SEHALUAN... Mancini (kanan) dan Balotelli sering bertikam lidah sehingga menimbulkan pelbagai persepsi terhadap skuad The Citizen sejak beberapa musim lalu.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan bahawa beliau masih mendapatkan sokongan penuh daripada pihak pengurusan The Citizen.

Kenyataan Mancini itu hadir sehari selepas beliau dilapor sekali lagi bertikam lidah dengan penyerang kontroversi City, Mario Balotelli ketika sesi latihan di Carrington, Manchester Khamis lalu.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Inter Milan itu mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menyesal atas tindakannya terhadap pemain berusia 22 tahun itu.

Mancini menjelaskan, beliau masih sanggup menawarkan 100 peluang buat Balotelli yang meninggalkan sesi latihan selepas insiden tersebut.

Mengulas insiden pergeseran tersebut, Mancini berkata: "Saya tidak melakukan apa-apa. Saya hanya mengarahkan Balotelli meninggalkan padang tetapi dia enggan berbuat demikian.

"Saya tahu perkara itu tidak bagus buat pengurus tetapi saya tidak menyesal."
Kemarahan pengendali kelahiran Itali itu tercetus selepas beliau tidak berpuas hati dengan kekasaran yang dilakukan Balotelli terhadap Scott Sinclair.

"Tidak mudah untuk saya memaafkan Balotelli. Saya selalu mengharapkan dia akan berubah menjadi lebih matang. Sepatutnya dia kini sudah boleh menumpukan kariernya sahaja.

"Saya fikir dia patut tahu bahawa karier sebagai pemain bola sepak amat singkat," tegas Mancini.
Meskipun sering mencetuskan kontroversi, Balotelli tidak akan berada dalam senarai pemain untuk dijual ketika jendela perpindahan pemain kembali dibuka bulan ini.

Ini kerana pemilik City, Sheikh Mansour merupakan peminat No. 1 bintang Itali itu dan percaya Balotelli mampu menjulang The Citizen pada masa akan datang. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan