Ahad, 6 Januari 2013

Arsenal buru Piala FA



WENGER menganggap kempen Piala FA sebagai kejohanan terbaik buat Arsenal mengakhiri kemarau kejuaraan selama lapan tahun.

SWANSEA, United Kingdom - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sentiasa menganggap kempen Piala FA antara kejohanan yang istimewa.

Meskipun ditunjukkan jalan keluar pada aksi suku akhir Piala Liga selepas tewas kepada Bradford, 11 Disember lalu, Wenger kini menyimpan hasrat untuk membimbing The Gunners menjuarai Piala FA.

Menjelang pusingan ketiga Piala FA menentang Swansea City di Stadium Liberty malam ini, Wenger berharap anak-anak buahnya menampilkan prestasi terbaik mereka, seterusnya menjulang piala tersebut.

Wenger turut menganggap kempen Piala FA sebagai platform terbaik untuk mengakhiri kemarau lapan tahun Arsenal tanpa sebarang trofi kejuaraan.

Sebagai rekod, trofi terakhir yang dijulang Arsenal ialah Piala FA 2005 iaitu ketika mereka menewaskan Manchester United pada aksi final.

"Pasukan saya akan terus kekal dan saya fikir sekarang merupakan peluang yang terbaik untuk memenangi perlawanan meskipun tanpa melakukan pertukaran pemain.

"Jika anda lihat kemenangan Queens Park Rangers di Chelsea pada Rabu lalu, anda pasti boleh buat keputusan sendiri bahawa sudah tiada perbezaan di antara kelab-kelab sekarang. 

"Pasukan saya telah diuruskan dengan baik, fizikal mereka kuat dan jika pasukan tidak berada pada tahap yang terbaik, kami akan tewas.

"Manchester United berada di kedudukan terbaik liga tetapi mereka juga pernah tewas dalam tiga perlawanan musim ini.

"Jadi saya percaya pasukan ini berada pada tahap yang kompetitif. Piala FA juga kejohanan yang istimewa kerana pertandingan ini telah membangkitkan semangat kami untuk beraksi," jelas Wenger. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan