Jumaat, 18 Januari 2013

Suarez mengaku menipu

Suarez mengaku menipu

Luis Suarez
LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez mengakui dia pernah menipu untuk membantu Liverpool memenangi perlawanan.

Bintang Uruguay itu bertindak merebahkan diri dalam kotak lawan ketika perlawanan menentang Stoke yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Anfield Oktober lalu.

Pengendali Potters, Tony Pulis melabel Suarez sebagai 'memalukan' dan menuntut supaya ayam tambatan Liverpool itu digantung tiga perlawanan.

Suarez akhirnya membuat pengakuan apabila dia berkata: "Saya tidak mempedulikan segala cakap-cakap karut orang lain tentang saya.

"Saya dituduh menipu. Orang kata saya sengaja menjatuhkan diri pada setiap masa.
"Mereka berkata begitu semasa kami melawan Stoke, misalnya, tapi pada masa itu, memang benar berlaku. Saya 'mencipta' kekasaran itu sebab situasinya seri dan saya mahukan kemenangan.

"Ada kalanya saya memberitahu diri saya, 'Apa silap saya? Namun, rasanya nama Suarez melariskan jualan akhbar."

Suarez, 25, menimbulkan kontroversi sekali lagi bulan ini apabila gol kemenangan yang dijaringkannya ketika menentang kelab kerdil, Mansfield pada pusingan ketiga Piala FA terkena tangan sebelum menerjah gawang.
Namun, untuk insiden itu, tegasnya ia bukan disengajakan dan dia tidak berhak dilemparkan kritikan sedemikian.

Kata Suarez: "Saya tersentuh bola itu secara tidak sengaja dan saya dikritik sebab saya mengucup tangan saya.

"Media banyak mereka cerita mengenai saya kerana mereka mahu jual akhbar masing-masing. Saya ingin memberitahu media 'kamu harus menulis tentang bola sepak, bukan perkara lain.''

Suarez juga percaya dirinya menjadi mangsa kritikan disebabkan dia ialah warga Amerika Selatan dan berkata, media berat sebelah memihak Manchester United.

"Adalah lebih rumit untuk bermain di England. Seperti kata Carlos Tevez dan Sergio Aguero, pemain Amerika Selatan menerima layanan berbeza berbanding pemain tempatan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, Manchester United mengawal media, mereka sangat berpengaruh dan media sentiasa menyokong mereka," jelasnya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan