Selasa, 8 Januari 2013

Rajagobal intip kekuatan lawan



RAJAGOBAL (kiri) akan mengintai kekuatan pasukan lawan mereka kempen
kelayakan Piala Asia 2015.


MENYEDARI tugas berat yang bakal dihadapi menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015, Datuk K. Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya sedia mengintip kekuatan pasukan lawan.

Menurut Rajagobal, misi baharu skuad negara adalah untuk memperbaiki rekod buruk selain menyahut cabaran baharu bagi bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi pada peringkat Asia.

Jelasnya, beliau menuntut semangat dan keazaman daripada barisan pemainnya dalam usaha melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala Asia 2015 yang bakal berlangsung di Australia.

"Saya akan ke Bahrain untuk menyaksikan aksi Yemen, Bahrain dan Qatar yang akan beraksi dalam satu kejohanan di sana (Bahrain) dan saya akan mencari sedikit maklumat tentang kekuatan mereka.

"Saya fikir, jika kami mampu memperbaiki rekod lalu, ia sudah boleh dianggap satu perubahan positif dan kami tahu ia bukan mudah untuk menentang mereka.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu kita akan membuat yang terbaik. Kita kena faham dan terima hakikat bahawa pasukan-pasukan (yang bertanding Piala Asia 2015) berada pada tahap yang lebih tinggi," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Harimau Malaya bakal menjalani sesi latihan pada 26 Januari ini sebelum menentang Iraq pada satu aksi persahabatan di UAE pada 1 Februari depan.

Pada saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2015, skuad negara diundi dalam Kumpulan D dan mereka bakal memulakan aksi pertama menentang Qatar (6 Februari) di Doha sebelum melayan kunjungan Yemen di laman sendiri pada 22 Mac depan.

Mengulas lanjut, Rajagobal mendedahkan, pengalaman yang diraih skuad kendaliannya pada aksi Piala Suzuki AFF 2012 bakal dimanfaatkan sepenuhnya pada pentas Asia kelak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan