Isnin, 7 Januari 2013

Messi calon pilihan


ZURICH - Penyerang terbaik dunia, Lionel Messi dijangka muncul pemain pertama yang menjulang Anugerah Pemain Terbaik Dunia buat kali keempat berturut-turut pada majlis rasmi yang bakal berlangsung esok.

Penyerang Argentina berusia 25 tahun itu menjadi calon pilihan bagi mengatasi rakan sepasukannya di Barcelona, Andres Iniesta dan Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid.

Sekiranya menjadi kenyataan, ia merupakan satu lagi kejayaan besar buat Messi yang terlebih dahulu melakar sejarah tahun lalu apabila menjaringkan 91 gol, sekali gus mengatasi pencapaian legenda Jerman, Gerd Mueller.

Begitupun, Messi sekali lagi menegaskan, sebarang rekod tidak memberi makna jika dia gagal membantu Barcelona menjulang trofi Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara musim ini.

"Sudah tentu saya teruja apabila berjaya memecahkan sebarang rekod tetapi kejayaan membantu Barcelona muncul juara lebih penting.

"Misi saya adalah untuk membantu Barcelona menjulang trofi Liga Sepanyol, Piala Raja Sepanyol dan juga Liga Juara-Juara.

"Ia jauh lebih utama berbanding mana-mana rekod peribadi," kata Messi.

Pada masa sama, Messi kekal merendah diri dan tidak terkilan jika anugerah itu menjadi milik Iniesta.
"Jika Iniesta menang, dia memang berhak berdasarkan apa yang dilakukannya bersama Barcelona.
"Bagi saya, kejayaan Iniesta juga cukup bermakna buat kami," kata Messi.

Untuk rekod, Messi dan legenda Perancis, Michel Platini merupakan pemain yang berjaya menjulang anugerah Ballon d'Or sebanyak tiga kali berturut-turut.

Dua legenda Belanda, Johan Cruyff dan Marco van Basten juga pernah merangkul anugerah itu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Ronaldo pula memberitahu, dia tidak kecewa jika gagal merangkul anugerah tersebut.
"Jika saya menang, sudah tentu ia kejayaan yang cukup sempurna tetapi jika tewas, ia bukan petanda dunia saya telah berakhir," kata Ronaldo yang merangkul anugerah itu pada 2008. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan