Khamis, 10 Januari 2013

Johor DT perkemas jentera pertahanan


FANDI perkemas benteng pertahanan Johor DT yang dilihat agak goyah pada aksi pertama, Selasa lalu.


PERBAIKI bahagian pertahanan dan cari penyudah yang baik.
Itu yang diharapkan oleh ketua jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Jelas Fandi, kesilapan bahagian pertahanan sehingga memberi ruang pasukan Pahang menjaringkan tiga gol pada aksi pertama Selasa lalu perlu diperbaiki agar tidak berulang pada perlawanan malam ini.

“Mungkin saya akan lakukan sedikit perubahan di bahagian pertahanan. Saya akan turunkan barisan terbaik di posisi ini kerana amat berbahaya jika kesilapan sama berulang lagi.

“Saya juga berharap bahagian serangan akan lebih mantap dengan penyudah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Fandi, seperti perlawanan pertama, gandingan Norshahrul Idlan Talaha bersama-sama Daniel Guiza mungkin akan dikekalkan malam ini berikutan keadaan Mohd. Safee Sali yang masih belum cergas seratus peratus untuk beraksi sepenuh masa.

Pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur lalu, Johor DT yang dibarisi pemain-pemain bintang, tewas 2-3 kepada Pahang meskipun mendahului 2-0 pada babak pertama permainan.

Jelas Fandi, kekalahan tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat Harimau Selatan, malah beliau tetap yakin yang kesemua pemain semakin bersemangat untuk menebus kekalahan tersebut.

“Dengan kerja keras, semangat juang yang tinggi serta sokongan peminat di halaman sendiri, saya yakin, kita mampu menang pada perlawanan esok (malam ini),” katanya.

Fandi bagaimanapun mengakui, beliau tidak boleh memandang rendah pasukan Perak yang memiliki kekuatan tersendiri.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan