Ahad, 6 Januari 2013

Kelab Australia, Perth Glory minat khidmat Owen

SYDNEY - Kelab Perth Glory sedang berunding dengan pengurusan Michael Owen untuk membawa bekas pemain England itu ke Liga A Australia, kata laporan semalam.

 Owen, 33, yang menjaringkan 40 gol dalam 89 perlawanan antarabangsa buat England dan pernah bermain di Liverpool, Real Madrid dan Manchester United, ketika ini bermain buat Stoke City dalam Liga Perdana England.

Glory mempunyai baki satu posisi dalam skuad mereka bagi pemain antarabangsa itu selepas melepaskan penyerang Ireland, Billy Mehmet minggu ini dan belum memiliki seorang pemain asing.
Seorang jurucakap Glory mengesahkan kelab itu berminat dalam memperoleh khidmat Owen tetapi berkata, rundingan mereka masih di peringkat awal.

"Perth Glory berminat tetapi belum mengetahui terma dan syarat Michael.
"Sehingga ini diketahui, Perth Glory tidak akan memasuki sebarang rundingan lagi," kata kelab berkenaan.

Jika Owen menyertai Glory, dia akan menjadi pemain antarabangsa berprofil tinggi keempat dalam Liga A musim ini, di samping pemain Itali, Alessandro Del Piero, pemain Jepun, Shinji Ono dan penyerang England, Emile Heskey. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan