Khamis, 24 Januari 2013

Irfan sedia hadapi amukan ATM

Irfan sedia hadapi amukan ATM


IRFAN (kiri) tidak akan membiarkan ATM meraih kemenangan pada aksi pembuka tirai Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.


PERASAAN kecewa selepas kegagalan membawa pulang tiga mata berharga ketika berdepan Perak dalam aksi Liga Super, Selasa lalu telah pun dibuang jauh-jauh oleh barisan pemain Selangor.

Sebaliknya, pengendali skuad Gergasi Merah itu, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak-anak buahnya kembali fokus ketika berdepan ujian getir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

“Kami akan berusaha membaiki segala kelemahan yang ada ketika menentang Perak menjelang aksi dengan ATM nanti.

“Saranan saya kepada pemain-pemain Selangor ialah untuk melupakan seketika saingan Liga Super dan beri tumpuan kepada Piala FA,” kata Irfan.

Untuk rekod, perjalanan Selangor dalam saingan Piala FA musim lalu sekadar tersekat di pusingan kedua apabila tewas kepada Johor FC 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Mereka merupakan pemenang terbanyak Piala FA setakat ini apabila lima kali muncul juara, selain kali terakhir mendakap trofi itu pada edisi 2009 selepas menewaskan Kelantan di pentas final.

Jika berjaya menjinakkan ATM, pemenang antara Sabah dan Felda United bakal menanti Selangor pada pusingan kedua Piala FA yang dijadual berlangsung 26 Februari depan.

Pada masa sama, Irfan turut mengingatkan barisan pemainnya terutama tonggak pertahanan agar tidak lagi ‘menghadiahkan’ sepakan penalti kepada pasukan lawan pada perlawanan akan datang.

“Jika kita lihat balik, kami telah memberikan penalti kepada pihak lawan sepanjang dua perlawanan terakhir (menentang Pahang dan Perak).

“Saya berharap kami lebih berhati-hati ketika cuba merampas bola daripada pihak lawan memandangkan ia boleh mengubah keputusan perlawanan,” kata Irfan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan