Jumaat, 5 Julai 2013

Murray berhempas pulas


Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk
mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.


LONDON - Pemain No. 2 dunia, Andy Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk menewaskan Fernando Verdasco pada aksi suku akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.

Murray menewaskan pemain ranking ke-54 dunia dari Sepanyol itu 4-6, 3-6, 6-1, 6-4, 7-5 dalam satu pertarungan yang mendebarkan selama hampir tiga jam setengah, sekali gus mencerahkan peluang menjadi pemain pertama Britain muncul juara sejak 1936.

Pemain pilihan kedua tersebut dijadualkan berdepan pemain Poland, Jerzy Janowicz pada separuh akhir hari ini selepas pemain pilihan ke-24 itu menumpaskan rakan senegara, Lukasz Kubot straight set 7-5, 6-4, 6-4.

"Saya berjaya mengharungi satu perlawanan yang sangat mencabar. Keputusan boleh menjadi sebaliknya. Saya dapat mencari jalan melepasinya dan itu sahaja yang diperlukan.

"Saya mula bermain dengan baik dan tidak terburu-buru apabila mendapat peluang.

"Pada penghujung permainan, suasana di sini sangat menakjubkan. Sesuatu yang hebat apabila berjaya melepasi halangan ini," kata Murray selaku juara Terbuka Amerika Syarikat dan Olimpik.

Selepas pencabar terdekat, Roger Federer, Rafael Nadal dan Jo-Wilfried Tsonga tersingkir awal daripada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu, para peminat dan media Britain meletakkan harapan yang besar kepada pemain berusia 26 tahun itu.

"Saya mengetahui betapa hebatnya pemain ini (Verdasco) meskipun ramai yang berkata dia tidaklah sehebat mana," kata Murray yang menganggap Verdasco sebagai pemain yang sangat berbahaya.

Pertarungan itu turut mendebarkan hati lebih daripada 15,000 penonton yang memenuhi gelanggang utama Kelab Seluruh England itu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan