Selasa, 9 Julai 2013

'Jangan sia-siakan kejayaan saya'

LONDON - Andy Murray memberikan amaran kepada Persatuan Tenis Britain.

Murray, 26, berkata, Britain mungkin terpaksa menunggu selama 77 tahun lagi untuk menjulang trofi Wimbledon sekiranya mereka mempersia-siakan keuntungan yang diperoleh daripada kejohanan itu.
Murray muncul pemain pertama Britain sejak Fred Perry pada 1936 yang memenangi gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu selepas mengalahkan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic 6-4, 7-5, 6-4 kelmarin.

Namun, di sebalik sorakan dan ucapan tahniah yang diberikan bintang Hollywood kepada Ratu Elizabeth, Murray mengakui bahawa sukan tenis di Britain masih ketinggalan.

Pemain No. 2 dunia dari Scotland itu adalah satu-satunya pemain Britain yang berada dalam ranking 200 pemain terbaik dunia.

James Ward berada di kedudukan ke-219, Daniel Baker (255), manakala Alex Bogdanovic di ranking ke-275 dunia.

Hanya Ward yang berusia 26 tahun dan pemain remaja kelahiran Afrika Selatan, Kyle Edmund yang beraksi pada Wimbledon, namun kedua-duanya tersingkir di peringkat pertama lagi.

Meskipun Wimbledon mencatat keuntungan 56.2487 juta pound (RM268.826 juta) pada 2012, wang tersebut disalurkan kepada perkembangan sukan lain di negara itu.

"Saya harap, kami tidak perlu menanti selama ini lagi. Ini satu kejohanan tenis yang sukar untuk dimenangi. Jadi, masih ada kemungkinan kami terpaksa menantinya untuk satu tempoh yang lama.

"Saya rasa dengan jumlah wang yang dilaburkan dalam sukan di negara ini, ia tidak sepatutnya mengambil masa lebih 70 tahun untuk pemain Britain menjuarainya," kata Murray.

Murray menghabiskan kebanyakan masanya di luar Britain untuk menjalani latihan di Sepanyol ketika masih remaja.

Dia percaya, kejayaan di Wimbledon dan pengalamannya selama ini mengajarnya menjadi lebih tabah, rajin serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada Persatuan Tenis Britain.
"Saya rasa, saya seorang yang rajin. Itulah rahsianya dan mungkin itulah kisah hidup karier saya.

"Saya telah merasai banyak kekalahan tetapi saya rasa, saya semakin meningkat setiap tahun," kata Murray.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan