Selasa, 16 Julai 2013

Chelsea sedia hadapi gelora Asia



DARI kiri, Ramires, Victor Moses, Mourinho dan Ivanovic memberi penghormatan kepada peminat Chelsea sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok minggu lalu.


TONGGAK pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic mengakui Jelajah Asia 2013 menjadi medan terbaik buat skuad The Blues bagi menghadapi kempen Liga Perdana England musim depan.

Justeru, Ivanovic, 29, berkata, pertemuan menentang beberapa pasukan dalam jelajah tersebut sudah pasti memberi gambaran awal buat pengurus, Jose Mourinho membentuk skuad yang mantap.

"Kami harus melakukan persiapan yang lebih baik sebelum saingan Liga Perdana England bermula bulan depan.

"Apa yang kami ikuti dalam setiap sesi latihan amat penting kerana ia akan membantu kami lebih bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan nanti," kata Ivanovic pada sidang akhbar di Hotel Shangri-La, Bangkok semalam.

Chelsea akan memulakan aksi pertama Jelajah Asia 2013 dengan menentang Singha All Stars dari Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok hari ini sebelum bertemu Harimau Malaya di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kemudian anak-anak buah Mourinho dijadual menentang skuad Pilihan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Julai.

"Kami harus bekerja dengan lebih keras untuk menghadapi perlawanan-perlawanan dalam Jelajah Asia kali ini bagi memantapkan lagi mutu permainan kami," jelas Ivanovic.

Mengulas mengenai latihan sejak tiba di Bangkok Jumaat lalu, Ivanovic mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya segera menyesuaikan diri terutama dengan keadaan cuaca.

"Ini bukan kali pertama kami berada di Thailand dan semuanya berjalan dengan lancar, cuma kami masih sukar dengan keadaan cuaca," tambahnya.

Sementara itu, Mourinho memuji kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya ketika sesi latihan sejak beliau tiba di Stamford Bridge minggu lalu.

"Sudah seminggu kami menjalani latihan bersama dan ini bermakna sudah 14 sesi latihan. Jadi sudah 21 jam kami bekerja keras dengan latihan yang berintensiti tinggi.

"Memang pemain-pemain nampak letih tetapi kami tidak risau kerana ia perkara biasa yang dialami mereka selepas seminggu berlatih. Waktu ini memang nampak sukar tetapi tidak ada seorang daripada mereka mahu berhenti dan berehat.

"Para pemain menunjukkan semangat mereka. Bagi saya jika ia berterusan, mereka mampu mengejar apa yang mereka mahukan," jelas Mourinho.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan