Memaparkan catatan dengan label Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Papar semua catatan

Selasa, 13 Ogos 2013

KFA 'intai' Cardiff

Oleh Adha Ghazali 
Alor Setar: Datuk Mukhriz Mahathir mengesahkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini sedang mengintai peluang bekerjasama dengan kelab bola sepak profesional, Cardiff City FC bagi membangunkan industri bola sepak negeri.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, selain membantu dalam latihan skuad Hijau Kuning menempuhi saingan musim ini, Cardiff City FC juga akan memainkan peranan melonjak potensi Kenari Kids terutama melalui latihan dan pendedahan yang diatur.
Pendedahan awal


“Memang KFA ada berbincang dengan Cardiff City FC serta Kumpulan Berjaya selaku pemilik kelab itu. Namun sehingga kini ia masih belum rasmi.

“Melalui perbincangan itu, pihak berkenaan setuju untuk bekalkan pelatih berwibawa untuk melatih pemain kita termasuk pemain muda di peringkat Kenari Kids supaya mereka menerima pendedahan latihan yang terbaik dari awal,” katanya.

Ditanya mengenai Stadium Darulaman, beliau mengakui keadaannya amat teruk terutama dari segi kemudahan seperti tandas awam disediakan yang kini semuanya rosak.

Mukhriz ketika diminta mengulas mengenai dana KFA, berkata pihaknya sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat hingga lima penaja berpotensi untuk tujuan itu membantu meringankan beban kewangan ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). 
 
Berita Harian

Rabu, 24 Julai 2013

Mukhriz dilantik Presiden baharu KFA


MENTERI Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan tersebut dibuat sebulat suara oleh 28 perwakilan pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Menurut Mukhriz, beliau menerima amanah dan tanggungjawab itu dengan tekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, pelbagai aspek perlu diberi perhatian bagi menguatkan dan meningkatkan keupayaan pasukan termasuk menerusi pendekatan di luar kotak.

“Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada Kedah dan rakyat negeri ini. 

“Saya akan cuba menggalasnya dengan sebaik mungkin menerusi pelbagai usaha untuk memastikan pasukan memenangi sebanyak mungkin permainan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA,” katanya kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Turut hadir pada EGM KFA semalam ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan ahli-ahli majlis badan induk itu.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan skuad Kenari, KFA perlu melakukan anjakan paradigma termasuk cadangan pihaknya untuk mengadakan kerjasama dengan kelab terkemuka antarabangsa.
Katanya, menerusi kerjasama itu membolehkan penggerak bola sepak Kedah mempelajari ilmu pengurusan pasukan, stadium, kewangan dan kelab penyokong.

“Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana kerana ketika ini kita tengah bincang dengan satu dua kelab.

“Dalam mana-mana sukan ilmu yang perlu dipelajari bukan sekadar kemahiran pengurusan dan pendekatan latihan tetapi ia adalah gabungan antara seni dan sains.

“Seni melibatkan kemahiran pemain dan sains membabitkan pemakanan, senaman serta fizikal,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 23 Julai 2013

Mukhriz diramal terajui KFA

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR - Teka teki siapa dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bakal terjawab hari ini apabila persatuan tersebut mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Wisma Darul Aman di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar berkata, agenda EGM berkenaan ialah melantik Presiden KFA bagi menentukan hala tuju baharu persatuan itu dalam memartabatkan sukan bola sepak negeri ini.

Katanya, kerusi itu kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak melepaskan jawatan awal Jun lalu ekoran masalah kesihatan.

"Sesiapa pun yang dilantik nanti pasti akan berusaha memberikan yang terbaik kepada sukan bola sepak Kedah," katanya ketika dihubungi semalam.

Perlembagaan KFA sebelum ini menetapkan Presiden persatuan itu adalah Menteri Besar, namun perlembagaan baharu yang diubah pada 2010 menyaksikan jawatan tersebut dan Eksekutif KFA bukan lagi automatik, sebaliknya dipertandingkan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dikatakan calon yang disebut-sebut akan mengisi jawatan berkenaan tanpa perlu bertanding.

Satu sumber memberitahu, hanya nama beliau yang dicalonkan selepas tarikh penghantaran borang pencalonan ditutup baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my