Rabu, 24 Julai 2013

Mukhriz dilantik Presiden baharu KFA


MENTERI Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan tersebut dibuat sebulat suara oleh 28 perwakilan pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Menurut Mukhriz, beliau menerima amanah dan tanggungjawab itu dengan tekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, pelbagai aspek perlu diberi perhatian bagi menguatkan dan meningkatkan keupayaan pasukan termasuk menerusi pendekatan di luar kotak.

“Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada Kedah dan rakyat negeri ini. 

“Saya akan cuba menggalasnya dengan sebaik mungkin menerusi pelbagai usaha untuk memastikan pasukan memenangi sebanyak mungkin permainan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA,” katanya kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Turut hadir pada EGM KFA semalam ialah Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan ahli-ahli majlis badan induk itu.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan skuad Kenari, KFA perlu melakukan anjakan paradigma termasuk cadangan pihaknya untuk mengadakan kerjasama dengan kelab terkemuka antarabangsa.
Katanya, menerusi kerjasama itu membolehkan penggerak bola sepak Kedah mempelajari ilmu pengurusan pasukan, stadium, kewangan dan kelab penyokong.

“Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana kerana ketika ini kita tengah bincang dengan satu dua kelab.

“Dalam mana-mana sukan ilmu yang perlu dipelajari bukan sekadar kemahiran pengurusan dan pendekatan latihan tetapi ia adalah gabungan antara seni dan sains.

“Seni melibatkan kemahiran pemain dan sains membabitkan pemakanan, senaman serta fizikal,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan