 
Chua Boon Huat
PETALING JAYA - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku 
Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki negara tidak terjejas dengan
 fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan dengan menjuarai
 Piala Asia, bulan ini sekalipun terasa kehilangan rakan sepasukan 
mendiang Chua Boon Huat, semalam.
 Katanya, seluruh warga hoki negara akan sentiasa mengingati jasa 
mendiang yang mengumpul lebih 300 penampilan antarabangsa sejak 
menyarung jersi Malaysia yang meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998, 
dan menyifatkannya kehilangan besar kepada sukan tanah air.
 Saya sempat bertanya kepadanya (pada majlis penyampaian insentif 
kecemerlangan skuad hoki negara, kelmarin) mengenai tahap kecergasan dan
 berat badannya dan dia menjawab dengan positif dan berkata, sudah 
bersedia (ke Piala Asia di Ipoh mulai 24 Ogos ini).
 Kita akan terasa kehilangannya. Jasanya tetap akan diingati semua 
namun saya harap tumpuan pasukan tidak terjejas dalam meneruskan 
perjuangan untuk layak ke pusingan akhir (Piala Dunia di The Hague, 
Belanda, tahun depan)," katanya di Pusat Perubatan Hospital Universiti 
Malaya di sini, semalam.
 Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta 
Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, 
Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi 
semalam.
 Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar 
yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Boon Huat, 
berkata, pemain itu akan sentiasa diingati sebagai tokoh teladan terbaik
 buat barisan pemain muda hoki apatah lagi dia merupakan satu-satunya 
pemain berketurunan Cina dalam skuad negara. 
 Sudah pasti sesuatu kaum itu bukanlah pengukur utama kejayaan 
sesebuah sukan tetapi kejayaan mendiang memasuki sebuah sukan yang 
dikuasai kaum tertentu apatah lagi sehingga ke peringkat antarabangsa, 
pastinya akan turut menjadi sumber inspirasi kepada barisan pemain 
baharu," katanya.
 Kata ketua jurulatih negara, Paul Revington, mendiang Boon Huat 
merupakan pemain paling berdisiplin terutama selepas dipanggil semula 
menyertai skuad hoki kebangsaan di bawah kendaliannya bagi menghadapi 
Cabaran Juara-juara 1 di Argentina, tahun lalu.
 Kata jurulatih warga Afrika Selatan ini, pemain kelahiran Melaka itu
 turut menunjukkan prestasi yang luar biasa biarpun selepas tiga tahun 
tersisih daripada skuad negara malah cukup membanggakannya setiap kali 
melihatnya melakukan persediaan di bilik persalinan. 
 Revington berkata: Dia tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada 
pemain yang lebih muda dalam pasukan negara. Dia seorang yang hebat dan 
saya percaya dia menyayangi setiap rakan sepasukannya." 
Jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim tidak menyangka 
mendiang yang pernah menjadi rakan sepasukannya dalam skuad negara, 
menunjukkan kelakuan yang agak asing kebelakangan ini dengan sering 
bercerita tentang kisah silamnya.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan