
SKUAD hoki negara yang diketuai
Revington (dua dari kiri) bertafakur seketika sebelum memulakan sesi
latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
MORAL skuad hoki negara kembali berada pada tahap terbaik meskipun
masih terkejut dengan kehilangan penyerang, Chua Boon Huat minggu lalu.
Jurulatih skuad negara, Paul Revington meluahkan kelegaannya dengan
situasi terkini anak-anak buahnya ketika ini, sekali gus memudahkan
tugasnya untuk menyenaraikan 16 pemain dalam skuad yang akan beraksi
pada kempen Piala Asia di Ipoh, Perak penghujung bulan ini.
Menurut Revington, meskipun menempuh saat yang menyedihkan, barisan
pemain negara telah berjanji untuk menjadikan kematian Boon Huat, 33,
ekoran kemalangan jalan raya awal Khamis lalu, sebagai suntikan semangat
untuk menjulang trofi berkenaan buat kali pertama.
“Tidak dinafikan lagi setiap pemain dalam skuad ini masih meratapi
kehilangan Chua dalam diri masing-masing. Saya boleh melihatnya dari
riak muka mereka sendiri,” jelas Revington.
“Chua seorang lelaki yang hebat dan apa yang kamu boleh lakukan
sekarang ialah menyimpan kenangan bersamanya itu dalam memori kamu.
“Secara realitinya, pemain skuad ini telah berjanji untuk menunaikan
impiannya sebelum ini iaitu membantu Malaysia menjuarai Piala Asia,
sekali gus mara ke Piala Dunia tahun depan.”
Pada kempen di Ipoh yang bermula 24 Ogos hingga 1 September depan
itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun
manakala Kumpulan B menyaksikan kelibat pasukan Korea Selatan, India,
Bangladesh dan Oman.
Revington yang hadir pada upacara persemadian Boon Huat bersama
anak-anak buahnya di Melaka semalam, dijangka mengumumkan senarai 16
pemain bagi menghadapi kempen Piala Asia hari ini.
Sementara itu, kapten, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah memberi jaminan
bahawa siapa yang terpilih menggalas cabaran negara pada Piala Asia 2013
nanti, bertekad untuk menjulang trofi berkenaan demi mengenang jasa
Boon Huat.
“Sebelum ini dia (Boon Huat) pernah memberitahu bahawa dia benar-benar mahu melihat Malaysia mara ke Piala Dunia tahun depan.
“Jadi tidak kira siapa juga yang akan disenaraikan dalam skuad, kami
telah bertekad untuk memenangi Piala Asia demi menunaikan hasratnya
itu,” jelas Shahrun Nabil.
Skuad negara akan menjalani dua aksi persahabatan menentang India
pada 20 Ogos dan Oman (22 Ogos) sebagai persiapan terakhir sebelum
memberi fokus sepenuhnya dalam misi menjuarai Piala Asia buat kali
pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan