Selasa, 2 Julai 2013

Buffon 'hadiahkan' Itali tempat ke-3


Gianluigi Buffon menepis sepakan penalti pemain Uruguay, Martin Caceres pada kejohanan Piala Konfederasi di Salvador, Brazil, semalam. - AFP 
 
SALVADOR, Brazil - Gianluigi Buffon menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk Itali menang 3-2 ke atas Uruguay pada penentuan penalti dan memastikan tempat ketiga pada Piala Konfederasi setelah kedudukan terikat 2-2 selepas masa tambahan semalam.

Kemenangan itu sekali gus menebus kehampaan Itali yang kalah kepada Sepanyol juga menerusi penentuan penalti pada perlawanan separuh akhir.

Penentuan penalti tersebut menutup perlawanan menarik di Arena Fonte Nova, di mana Alessandro Diamanti menjaringkan satu gol dan membuka gerakan untuk satu lagi gol Itali.

Edinson Cavani menjaringkan dua gol penyamaan buat Uruguay. 

Ketika penentuan penalti, Buffon, 35, menafikan sepakan pertama Uruguay yang dilakukan oleh Diego Forlan dan kemudiannya menafikan sepakan Martin Caceres sebelum Walter Gargano gagal menyempurnakan sepakan yang memberikan kemenangan kepada Itali.

Alberto Aquilani, Stephan El Shaarawy dan Emanuele Giaccherini masing-masing menyempurnakan penalti buat Itali manakala sepakan Mattia De Sciglio dinafikan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera. 

Itali yang beraksi tanpa pemain utama Mario Balotelli dan Andrea Pirlo serta pemain tonggak lain, menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Riccardo Montolivo dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-110 setelah mengkasari Luis Suarez. 

Uruguay pula menurunkan skuad terkuat, hampir sama dengan barisan pemain ketika mereka kalah 1-2 kepada Brazil pada separuh akhir.

Buffon hampa ketika separuh akhir apabila Itali kalah 6-7 pada penentuan penalti menentang Sepanyol, namun semalam tuah memihak penjaga gol veteran itu semalam.

"Selepas gagal memberikan kegembiraan kepada rakan sepasukan ketika menentang Sepanyol, saya berjaya melakukannya hari ini, walaupun ia agak lewat.

"Ia pastinya mengecewakan jika kami kalah hari ini, kerana sukar untuk kami beraksi dua hari selepas perlawanan separuh akhir (menentang Sepanyol)," kata Buffon.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan