PAFA  sedia bertolak ansur  bebas  Azraai
Ipoh: Hasrat Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar) untuk meninggalkan Perak mungkin tercapai kerana Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikatakan sedia bertolak ansur untuk membebaskan jurulatih itu.

Difahamkan jurulatih itu dan Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun sudah mencapai persetujuan dan akan memeterai perjanjian bagi membolehkannya meninggalkan Perak.
“Bertentangan dengan kenyataan Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kelmarin bahawa kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan sebenarnya mereka sudah bersetuju. Azraai dijangka menandatangani surat persetujuan dan akan bebas dari sebarang ikatan dengan PAFA esok (hari ini),” kata satu sumber semalam.


Rundingan akhir

Menurut sumber itu apa yang berlaku ialah ketika Presiden PAFA itu membuat kenyataan akhbar mengenai perkara itu, rundingan antara Azraai dengan Khairul Azwan sedang berlangsung di pejabat PAFA.

“Mungkin Zainol tidak mendapat maklumat terkini ketika itu lantaran membuat pengumuman bahawa rundingan berkenaan gagal,” katanya.

Pada sidang akhbar di pejabatnya kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air itu memaklumkan PAFA tidak melepaskan Azraai kerana rundingan terakhir itu gagal.
Beliau berkata, jurulatih itu masih menjadi pegawai PAFA kerana mempunyai kontrak sehingga 2014 dan Perak ada perancangan untuknya. Pada masa sama, Zainol mengumumkan pelantikan jurulatih skuad Piala Presiden Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baru skuad Liga Super Perak.