Ahad, 28 Julai 2013

Undian Piala Malaysia seimbang


KETUA Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zuraidah Mohd. Said (dua dari kanan) melakukan cabutan sambil diperhatikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kanan) pada majlis undian Piala Malaysia 2013 di Menara TM, Kuala Lumpur semalam.


JUARA bertahan, Kelantan perlu berkerja lebih keras selepas diundi dalam Kumpulan C bersama tiga bekas juara iaitu Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan pada majlis undian Piala Malaysia 2013 semalam.

Skuad The Red Warriors mengakui undian bagi kejohanan edisi ke-87 itu tidak memberikan laluan mudah dalam misi mereka mempertahankan trofi berprestij itu.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, skuad kendalian Bojan Hodak yang juga juara Piala FA itu akan bermain mati-matian untuk mengekalkan Piala Malaysia di Kota Bharu tahun ini.

“Kami tahu Kelantan berada dalam kumpulan yang sukar, tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik.

“Lagi pun, jika semua masih ingat, kami pernah diundi dalam kumpulan maut pada kempen tahun lalu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Kedah.

“Jadi, saya fikir tiada masalah dengan undian kali ini kerana saya kira kesemua pasukan telah bersedia untuk memulakan misi baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

“Bukan sahaja Pahang dan Terengganu, kami juga tidak akan memandang mudah cabaran Negeri Sembilan meskipun mereka tersingkir ke Liga Premier musim depan.

“Ini kerana mereka masih memiliki beberapa pemain terbaik antaranya Nazrin Nawi yang kini bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya majlis undian Piala Malaysia 2013 di Menara TM, Kuala Lumpur semalam.

Selain saingan kumpulan sukar tersebut, undian Kumpulan A turut mencuri perhatian apabila menyaksikan juara 32 kali, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), naib juara Liga Premier, Sime Darby dan Johor.

Marlon (kanan) dan Primorac dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super serta Premier.


Jurulatih skuad Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan undian tersebut dan berikrar membawa skuad kendaliannya merangkul Piala Malaysia musim ini.

“Saya fikir undian kali ini sangat menarik dan seimbang. Apa yang penting adalah kami mahu melepasi saingan peringkat kumpulan dengan mensasarkan final Piala Malaysia 2013.

“Selangor bertekad untuk memburu sekurang-kurang satu trofi musim ini dan saya percaya kami mempunyai keupayaan untuk merealisasikan impian besar itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pasukan gergasi Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT) diundi bersama tiga pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS, T-Team dan Felda United dalam Kumpulan B.
Lions XII yang dinobat selaku juara Liga Super musim ini pula akan berentap dengan Perak, Sarawak dan Kedah dalam Kumpulan D.

Sementara itu, penyerang ATM, Marlon Alex James dan bintang Sime Darby, Karlo Primorac dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super dan Premier.

Untuk rekod, Marlon menjaringkan 16 gol sepanjang 22 perlawanan Liga Super, manakala Primorac meledak 26 gol untuk membantu Sime Darby muncul naib juara Liga Premier musim ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan