CHONG WEI muncul juara Siri Super Masters Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.
JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei menutup tirai 2013 penuh bergaya
apabila menjuarai Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di
Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Chong Wei meraih gelaran keempat pada edisi keenam kejohanan itu
apabila mudah menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-10, 21-12
dalam tempoh 32 minit.
Gelaran tersebut sekali gus menjadi rekod terbaharu bagi Chong Wei yang meraih tujuh kemenangan Siri Super dalam tempoh setahun.
"Pertama kali, saya sangat gembira kerana saya tidak pernah memenangi
tujuh gelaran Siri Super dalam tempoh satu tahun dan ini untuk kali
pertama dalam karier saya.
"Jadi, saya harap dapat meneruskan lagi semangat yang saya pamerkan
pada kejohanan ini untuk persiapan bagi menempuhi tahun depan," kata
Chong Wei semalam.
Tampil selaku pilihan utama, Chong Wei mudah menjinakkan pemain
kelima dunia itu, sekali gus merekodkan kemenangan kelapan
berturut-turut sejak kali pertama mereka berentap pada Terbuka Filipina
2007.
"Saya lihat permainan Tommy hari ini (semalam) agak perlahan dan saya
mengawal perlawanan itu. Mungkin aksi yang sengit dengan Kenichi Tago
semalam (kelmarin) membuatkan dia letih.
"Walaupun dia menang mudah pada set ketiga dengan Kenichi tetapi masa
perlawanan yang agak lama memberi kesan kepadanya untuk beraksi pada
aksi final hari ini (semalam)," ujar Chong Wei.
Selaku juara, Chong Wei meraih meraih hadiah wang tunia AS$40,000
(RM129,340), manakala Tommy membawa pulang AS$20,000 (RM64,670).
Sebagai rekod, Chong Wei meraih tiga gelaran Siri Super Akhir berturut-turut iaitu pada edisi 2008, 2009 dan 2010.
Namun, dia tewas kepada Chen Long pada aksi separuh akhir edisi 2011
sebelum bintang muda China itu tumpas kepada rakan senegaranya, Lin Dan
di pentas final.
Malang menimpa Chong Wei apabila dia menarik diri daripada aksi
peringkat Kumpulan A Siri Super Akhir 2012 ekoran kecederaan pada kaki
kanan.