Memaparkan catatan dengan label Neymar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Neymar. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2013

Neymar wira Barcelona


BARCELONA - Neymar muncul wira apabila meledak dua gol bagi membantu Barcelona mengatasi Villarreal 2-1 pada saingan Liga Sepanyol di Nou Camp awal pagi semalam.

Penyerang antarabangsa Brazil itu membuka tirai jaringan The Catalan menerusi sepakan penalti pada minit ke-30.

Kapten pasukan pelawat, Mateo Musacchio berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-48 sebelum Neymar menjamin kemenangan bergaya tuan rumah pada minit ke-68.

Dengan kemenangan itu, The Catalan berjaya mengekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam 23 perlawanan di Nou Camp.

Skuad kendalian Gerardo Martino itu juga berjaya melebarkan jurang lima mata di depan Real Madrid yang sekadar seri 2-2 dengan Osasuna dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.
"Saya lebih gembira dengan kemenangan ini berbanding semasa menewaskan Atletico Madrid dalam aksi Piala Raja Sepanyol.

"Kami berjaya mengatasi sebuah pasukan yang berkualiti seperti Villarreal.
"Bagi saya, kemenangan ini lebih mustahak berbanding memikirkan keciciran mata yang dialami Real," kata Martino.

Martino juga gembira apabila anak-anak buahnya berjaya mengekalkan momentum kemenangan selepas mengatasi Cartagena 4-1 dan Celtic 6-1 dalam aksi Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara sebelum ini.

"Pemain berjaya mengekalkan tahap persembahan yang konsisten dalam tiga perlawanan," katanya.
Beliau juga mengakui merasai ketiadaan Lionel Messi yang belum pulih daripada kecederaan.
"Messi seorang pemain terbaik dunia, sudah tentu ketiadaannya dirasai.

"Jika Messi ada, saya percaya kami akan beraksi dengan lebih baik dalam ketiga-tiga perlawanan ini," kata Martino. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 27 Oktober 2013

Neymar gegar El-Clasico

BARCELONA - Gol jaringan Neymar dan Alexis Sanchez berjaya membantu Barcelona mengatasi seteru utama, Real Madrid 2-1 dalam aksi Liga Sepanyol di Nou Camp awal pagi semalam.

Dalam perlawanan itu, Neymar berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-19 apabila bijak memanfaatkan hantaran Andres Iniesta.

Neymar sekali lagi bertindak cemerlang apabila hantarannya berjaya disempurnakan Sanchez pada minit ke-78.

Gol saguhati Real pula dicetak oleh pemain gantian, Jese Rodriguez pada masa kecederaan.
"Berjaya menjaringkan gol dalam aksi 'El-Clasico' sememangnya cukup indah.

"Ia satu perlawanan yang dinanti-nantikan semua pemain dan ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat saya," kata Neymar.

Kecemerlangan Neymar dalam perlawanan itu juga membayangi kehebatan Lionel Messi dan Gareth Bale yang tampak tidak menjadi.

"Neymar berjaya membuktikan keupayaannya, cuma saya rasa dia pernah beraksi lebih bagus sebelum ini.

"Bagi saya, kemampuan Messi yang banyak membantu benteng pertahanan dalam perlawanan ini lebih wajar dipuji," kata pengendali The Catalan, Gerardo Martino. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 25 Oktober 2013

El Clasico dijangka lebih 'panas'


SEJAUH mana gandingan Neymar-Messi mampu menggegar akan teruji malam ini terutama dalam merobek gawang Real.


MADRID - Pertemuan El Clasico di Nou Camp malam ini bakal menjadi pengalaman pertama buat Neymar dan Gareth Bale sejak masing-masing menyertai Barcelona dan Real Madrid awal musim ini.

Barca ketika ini mendahului tiga mata ke atas Real dalam Liga Sepanyol, namun sejak kebelakangan ini, skuad kendalian Carlo Ancelotti dilihat seperti sudah menemui kembali prestasi sebenar mereka.
Barca pula gagal mengekalkan rekod kemenangan mereka buat pertama kali musim ini selepas seri 0-0 dengan Osasuna minggu lepas dan kemudian diikat 1-1 oleh AC Milan di San Siro pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Real berjaya menggunakan kelebihan itu untuk merapatkan jurang perbezaan mata dengan menewaskan Malaga 2-0 dan hampir pasti menjamin tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengatasi Juventus 2-1.

Berdasarkan situasi itu, pertahanan Real, Sergio Ramos percaya pertemuan kali ini lebih terbuka dan menolak sama sekali ia akan banyak dipengaruhi keputusan musim lalu.

"Sabtu ini, kami turun dalam perlawanan penting dan akan menjadi langkah utama untuk menang di Nou Camp," jelas Ramos.

"Namun, kami tahu pertemuan ini selalunya amat sukar dan semua perkara boleh berlaku.

"Apabila menilai El Clasico, kita tidak boleh hanya melihatnya berdasarkan keputusan sebelum ini ataupun perlawanan terakhir. Pertemuan ini biasanya penuh dengan intensiti dan tahap yang tertinggi.
"Ada beberapa perkara yang kami perlu terus pertingkatkan, namun yang pasti kami gembira kerana dapat turun di Nou Camp selepas mencatat kemenangan demi kemenangan baru-baru ini," ujarnya.

Real mungkin menurunkan Bale sebagai pemain gantian pada perlawanan esok dan Ancelotti juga dilihat masih mengekalkan kepercayaannya terhadap penyerang bermasalah, Karim Benzema.

Barca pula sudah pasti akan menurun- kan Neymar bersama-sama dengan Lionel Messi di jentera serangan dan penyerang Brazil itu mengakui yang dia sudah tidak lagi sabar untuk merasai suasana perte- muan El Clasico pertamanya sejak menyertai Barca, Jun lalu.

"El Clasico adalah satu perlawanan penting bagi mana-mana pemain. Ini akan menjadi perlawanan pertama saya dan saya mahu menjadikan ia penampilan yang paling hebat, kalau boleh meraih kejayaan," jelas Neymar. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 6 Oktober 2013

Barca, Real kekal status gergasi

Berita Harian
 
Madrid: Barcelona meneruskan rentak kemenangan La Liga musim ini apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Valladolid 4-1 sekali gus melebarkan deretan kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut.

Real Madrid, sementara itu, masih ketinggalan lima mata di belakang selepas Alvaro Morata dan Cristiano Ronaldo meledak gol pada masa kecederaan untuk kemenangan 3-2 di Levante.
Barca turun tanpa pemain terbaik dunia, Lionel Messi yang cedera di bahagian paha, tetapi ketiadaannya tidak dirasai selepas Neymar menampilkan persembahan menakjubkan.


Bisa Neymar

Javi Guerra meletak Valladolid di depan menerusi tandukan minit ke-10, tetapi Alexis Sanchez kembali menyamakan kedudukan dengan rembatan padu empat minit kemudian. Selepas rehat, Xavi dan Sanchez menambah jaringan bermula dari gerakan Neymar yang kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga untuk Barcelona.

“Neymar bermain seperti Neymar, setiap orang ada gaya permainan tersendiri,” kata Sanchez yang cuba menafikan dakwaan yang ketiadaan Messi memberi peluang untuk mereka lebih menyerlah.

Real ketinggalan
“Mereka dua pemain berbeza. Saya tidak fikir kami lebih bebas apabila Messi tiada. Ketiadaannya membuat kami bekerja lebih banyak kerana bermain dengan Messi cukup mudah.”

Real juga ketinggalan dan terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata yang membuka kembali harapan untuk bersaing merebut kejuaraan. Anak buah Carlo Ancelotti ketinggalan 2-1 selepas 90 minit, tetapi Morata dan Ronaldo memanfaatkan masa kecederaan untuk mengatasi Levante.
AFP

Ahad, 15 September 2013

Neymar-Messi mula mengganas



MESSI (kanan) meraikan jaringan gol kedua Barcelona selepas mendapat umpanan daripada Neymar yang turut menjadi pencetus kemenangan 3-2 ke atas Sevilla, kelmarin.


MADRID - Pengendali Barcelona, Gerardo Martino berterusan memuji impak yang dicetuskan gandingan Neymar-Lionel Messi ketika mengatasi Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Nou Camp, awal pagi semalam.

Martino berkata, senario positif itu jelas menutup mulut pengkritik yang sebelum ini menyangka gandingan kedua-dua penyerang berkenaan pastinya 'tidak meletup'.
"Ia hanya satu kebimbangan yang tidak berasas.

"Selepas aksi berdepan Atletico Madrid dalam kempen Piala Super Sepanyol, saya sudah tahu Neymar pastinya cukup serasi apabila digandingkan dengan Messi.

"Lihat sahaja pertemuan ketika berdepan Sevilla apabila Messi mudah menyempurnakan hantaran Neymar.

"Selagi kami berupaya beraksi sebagai satu pasukan, keupayaan individu setiap pemain pastinya lebih menyerlah," kata Martino.

Dalam perlawanan itu, Messi berjaya menjaringkan gol kedua The Catalan apabila tenang menyempurnakan hantaran Neymar pada minit ke-75.

Sebelum itu, Daniel Alves membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-36.

Namun, skuad kendalian beliau dilihat cemas seketika apabila Sevilla kembali bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Ivan Rakitic dan Coke pada penghujung babak kedua sebelum Alexis Sanchez menyelamatkan maruah Barcelona apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

"Sanchez tidak perlu menjaringkan gol untuk membuktikan kemampuannya.
"Saya lihat dia cukup yakin dan cergas dan saya amat menghargai sumbangannya terhadap pasukan," kata Martino. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 8 September 2013

Brazil belasah Australia


NEYMAR (kiri) antara penyumbang gol buat Brazil ketika membelasah Australia 6-0 dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Brasilia kelmarin.


BRASILIA - Neymar menjaringkan satu gol dan menjadi penggerak kepada dua lagi jaringan ketika Brazil membelasah Australia 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nacional awal pagi semalam.

Penyerang Manchester City, Jo meledakkan dua gol lagi pada babak pertama sebelum Ramires, Pato dan Luiz Gustavo melengkapkan jaringan besar Brazil itu ke atas Australia sejak final Piala Konfederasi 1997.

Australia pula dilihat gagal memberi masalah kepada Brazil yang mendominasi permainan dan menghukum kealpaan pertahanan skuad Socceroos itu tanpa belas kasihan.

Sebelum perlawanan, perancang Brazil, Oscar tidak diturunkan ekoran kecederaan buku lali ketika latihan manakala sebelum rehat, pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo pula terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring.

Pesta gol bermula seawal minit kelapan apabila Jo menyambut baik hantaran Neymar.

Jo kemudian menggandakan kelebihan Brazil dengan gol pada minit ke-31 dengan memperdayakan kapten dan pertahanan Australia, Lucas Neil.

Neymar pula menjaringkan gol ketiga pada minit ke-35 selepas menggelecek tiga pemain Australia.
Ia merupakan gol ke-25 pemain Barcelona itu dalam 41 penampilan bersama Brazil.

Pada babak kedua, Ramires menanduk masuk bola hantaran Maxwell pada minit ke-58 sebelum Pato menambah gol kelima pada minit ke-71 hasil gerakan Neymar.

Brazil kemudian menutup pesta mereka dengan gol terakhir pada minit ke-81 menerusi percubaan menarik Luiz Gustavo. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 14 Ogos 2013

Mampukah Neymar bantu Messi?


Lionel Messi (kiri) dan Neymar sebelum aksi pramusim menentang kelab Brazil, Santos di Camp Nou awal bulan ini. - AFP 
 
MADRID - Barcelona memainkan peranan utama dalam pasaran perpindahan pemain musim ini dengan menyambar bintang Brazil, Neymar pada nilai 57 juta euro (RM247 juta).

Persoalannya mampukah bakat Neymar mengatasi Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi?.
Pemain Argentina itu dilabel sebagai pemain terhebat era moden namun beberapa pemain hebat di sekelilingnya sebelum ini sudah meninggalkan Barca.

Messi yang beraksi pada bahagian serangan tengah menyaksikan Samuel Eto'o dijual, begitu juga dengan Zlatan Ibrahimovic. 

Peluang Cesc Fabregas untuk bermain agak terhad walaupun berganding baik dengan Xavi dan Andreas Iniesta dalam skuad Sepanyol.

Hasil bantuan rakan sepasukan, Messi meledak 271 gol dalam lima musim. Cuma yang menjadi tanda tanya bagaimana Messi dan Neymar akan bekerjasama.

Pertama, Barca masih perlu memantapkan pertahanan, Barca juga terdesak untuk mencari pilihan penjaring gol selain Messi.

Sejak lima musim lalu, Messi menjadi tumpuan dengan Barca memenangi dua Liga Juara-Juara dan kedua-duanya dengan Messi menjaringkan gol keseorangan tanpa penyerang lain. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

Sejarah menceritakan segalanya


NEYMAR
 
BARCELONA adalah antara kelab yang paling digeruni dunia, malah ramai pemain mengimpikan peluang menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Barcelona adalah kelab yang amat berjaya sehingga kini malah Catalan juga adalah satu daripada tiga kelab yang tidak pernah tersingkir daripada saingan La Liga selain Real Madrid dan Athletic Bilbao semenjak tahun 1955.

Disebabkan pencapaian hebat itu juga menjadikan Catalan sebagai antara lubuk pemain terbaik dunia begitu juga musuh tradisinya Real Madrid.

Sehingga kini sejak diasaskan oleh Joan Gamper pada 29 November 1899 kelab yang telah berusia 113 tahun itu telah disertai oleh pemain ternama seperti Johan Cruyff, Maradona, Ronald Koeman, Gary Lineker, Rivaldo, Luis Figo. Ronaldo, Lionel Messi dan terbaharu Neymar.

Bukan itu sahaja, Barcelona juga mempunyai aset paling berharga iaitu Xavi Hernandez. Pemain ini adalah nadi buat Catalan kerana Xavi adalah perancang yang hebat pernah dimiliki Barcelona.

Pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta juga tidak kurang hebat dan adalah antara bintang yang digeruni dunia selain Messi.

Kelab yang telah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali itu juga memiliki kelebihan yang sukar untuk di atasi terutama berkaitan taktikal.

Gaya permainan tiki taka yang sering digunakan oleh Barcelona membuatkan kelab ini mampu mendapatkan kemenangan tanpa bermain terlalu agresif.

Tiki taka secara umumnya digambarkan sebagai gaya bermain yang bertujuan untuk mencipta peluang bagi mendapatkan gol menerusi umpanan pendek.

Kecekapan pemainnya menguasai hantaran pendek membuatkan Barcelona sukar diduga selain mampu membuatkan pasukan lawan cepat letih, meskipun kelemahan mereka adalah berebut bola tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 31 Julai 2013

Neymar gagal bantu Barca



NEYMAR (tengah) membuat penampilan pertama dengan Barca ketika seri 2-2 dengan kelab Poland, Lechia Gdansk kelmarin.


GDANSK, Poland - Bintang baharu Barcelona, Neymar gagal membantu Barca melakar kemenangan pada penampilan pertamanya dengan juara Liga Sepanyol itu.

Neymar, 21, yang masuk sebagai pemain gantian pada lewat perlawanan terpaksa berpuas hati apabila Barca sekadar seri 2-2 dengan kelab Poland, Lechia Gdansk kelmarin.
Neymar yang masih segar dengan kejayaan membantu Brazil menjulang trofi Piala Konfederasi bulan lalu dimasukkan pada minit ke-78 pada penampilan sulung dengan Barca sejak meninggalkan Santos.

Barca membayar Santos sebanyak £50 juta (RM247.4 juta) bagi membawa Neymar ke Sepanyol.
Pada aksi tersebut, bintang skuad Samba itu menggantikan penyerang, Alexis Sanchez sebelum penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi dikeluarkan setelah meledakkan gol kedua Barca.

Neymar mendapat tumpuan pemain-pemain lawan yang 'menyambut' kemasukannya dengan beberapa terjahan kasar.

Sementara itu, jurulatih baharu Barca, Gerardo Martino tidak menyertai pasukan dan beliau dijangka hanya akan melaksanakan tugasan pertamanya ketika Barca menentang bekas kelab Neymar, Santos di Stadium Nou Camp esok.

Sebelum perlawanan bermula, suasana dalam stadium sepi selama satu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas penjaga gol Barca, Antoni Ramallets yang meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Ramallets membuat penampilan sebanyak 473 kali bersama skuad The Catalan antara tahun 1946 hingga 1961 dan memenangi enam gelaran Liga Sepanyol serta lima Piala Sepanyol. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 30 Julai 2013

Neymar curi tumpuan

NEYMAR (kiri) menjalani sesi latihan pertamanya dengan Barcelona di Pusat Sukan Joan Gamper di San Joan Despi, Sepanyol kelmarin.


LONDON - Penyerang baharu Barcelona, Neymar menjalani sesi latihan pertamanya dengan juara Liga Sepanyol itu selepas selesai melakukan ujian perubatan kelmarin.

Selain Neymar, beberapa pemain yang terbabit pada kempen Piala Konfederasi 2013 turut kembali ke Barcelona untuk menjalani latihan seperti Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Lionel Messi.

Ini adalah peluang pertama Neymar untuk cuba menarik minat rakan sepasukannya di kelab baharu tersebut selepas menjadi pemain kedua termahal dibeli oleh Barca dengan harga £50 juta (RM247.2 juta).

Zlatan Ibrahimovic masih kekal menjadi pemain termahal kelab tersebut ketika dibeli dengan harga £56 juta (RM276.9 juta) dari Inter Milan pada 2009.

Neymar beraksi bersama Brazil pada kempen Piala Konfederasi 2013, Jun lalu di mana dia berjaya menewaskan hampir keseluruhan pemain Sepanyol dalam skuad Barca di final.

Salah seorang daripadanya ialah Fabregas yang ketika ini berada dalam senarai pembelian Manchester United sebelum musim perpindahan ditutup 2 September depan.

Barca sebelum ini telah menolak dua tawaran United, namun Moyes berkata: "Kami akan lihat mengenai informasi yang kami ada dan kami akan putuskan apa yang bakal dilakukan selepas itu.
"Kami akan melihat kepada semua pilihan yang kami ada." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Messi, Neymar gegar Bukit Jalil

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

MESSI (kiri) dan Neymar sah akan bersama Barcelona ketika menentang skuad Harimau Malaya bulan depan.


SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini mungkin menjadi pengalaman paling berharga bagi peminat-peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana mereka bakal disajikan dengan ‘juadah’ luar biasa daripada dua bintang sensasi dunia, Lionel Messi dan Neymar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Ogos depan.

Messi dan Neymar akan memperkuat cabaran gergasi Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan menentang skuad Harimau Malaya ketika umat Islam di negara ini masih berada dalam mood raya.

Pengarah Urusan BSC Soccer Malaysia yang juga promoter eksklusif Siri Jelajah Asia 2013 Barcelona, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan kehadiran Messi dan Neymar, sekali gus memadam terus khabar angin bahawa dua bintang dunia tersebut tidak akan menyertai kelab The Catalan itu ke Kuala Lumpur.

“Saya ingin tegaskan Messi dan Neymar sah akan datang ke sini bersama pemain Barcelona yang lain kecuali jika mereka cedera.

“Ini kerana Jelajah Asia 2013 ini adalah persiapan pra-musim pertama Barcelona bagi menghadapi Atletico Madrid dalam aksi Piala Super yang juga perlawanan pembuka tirai musim baharu Liga Sepanyol,” jelas Effendi.

Effendi berkata demikian pada Majlis Pengenalan Tren dan Bas Istimewa RapidKL sebagai pengangkutan rasmi bagi Jelajah Asia 2013 Barcelona di Subang semalam.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Divisyen Landasan Keretapi, Syarikat Prasarana Negara Berhad, Khairani Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Major Events yang mewakili Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Zulkefli Sharif.

Sementara itu, Khairani memberitahu, RapidKL dijangka melanjutkan jadual tren yang melibatkan laluan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil sehingga pukul 1 pagi bagi memudahkan peminat bola sepak tempatan menyaksikan perlawanan tersebut.

“Tren dan bas istimewa ini akan memaparkan wajah-wajah pemain bintang Barcelona bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia dan mempromosikan lagi tentang kedatangan mereka ke Kuala Lumpur.

“Peminat juga boleh mendapatkan kad pengangkutan bagi bas RapidKL, LRT dan monorel yang terhad sempena jelajah ini dengan harga RM20 dan RM10,” ujar Khairani.

Tiket aksi itu dijual dengan harga RM98, RM208, RM388 dan RM688.

Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi latihan Barcelona dengan membeli tiket berharga RM25, namun mereka boleh memasuki secara percuma jika membeli tiket perlawanan berharga RM388 dan RM688.

Selasa, 2 Julai 2013

Neymar ajak Rooney ke Barca


HUBUNGAN mesra Neymar (kiri) dan Rooney bukan lagi rahsia malah hebat jika digandingkan.


LONDON - Bintang Brazil, Neymar yang baharu saja berhijrah ke Barcelona, mendesak Wayne Rooney supaya menyertainya di Nou Camp.

Rooney, 27, dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah selepas dikatakan kurang gembira dengan peranannya sebagai penyerang kedua di Manchester United.

Masa depannya di Old Trafford akan ditentukan dalam sedikit masa lagi apabila penyerang England tersebut dijadualkan berjumpa dengan pengurus baharu, David Moyes.

Real Madrid, Chelsea dan Arsenal dikatakan bersedia membuka pintu buat Rooney sekiranya United memutuskan untuk menjual pemain bintang mereka itu.

Namun ketika ini Barcelona turut dikatakan bersedia membayar harga £25 juta (RM120.4 juta) ke atas bintang The Red Devils tersebut.
Neymar berkata: "Bukan sesuatu yang mengejutkan kalau Barcelona juga berminat mendapatkan Wayne Rooney. Semua pemain di kelab ini adalah pemain utama Barca.

"Gaya permainan kami dan tahap pemain di kelab ini juga adalah amat sesuai dengan mana-mana pemain berkelas dunia.

"Saya telah berjumpa dengan Wayne beberapa kali dan dia seorang lelaki yang baik, tetapi apa yang penting ialah dia antara pemain yang amat saya kagumi di dunia.

"Wayne antara seorang pemain paling berbakat dan mempunyai kemahiran tinggi. Sudah tentu dia akan memperkuatkan lagi Barcelona atau mana-mana kelab di Eropah ini.

"Secara peribadinya, saya juga mempunyai impian untuk beraksi bersamanya di atas padang," ujar Neymar. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 23 Jun 2013

Brazil pamer belang



AKSI cemerlang Neymar mendapat pujian jurulatih Brazil yang menganggapnya seorang pemain genius ketika menewaskan Itali.


SALVADOR DE BAHIA, Brazil - Aksi cemerlang Brazil pada babak kedua berjaya membantu tuan rumah Kejohanan Piala Konfederasi itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Itali dalam saingan Kumpulan A di Salvador, awal pagi semalam.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak daripada bertemu Sepanyol di separuh akhir.

Mereka setakat ini mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan dan berkemungkinan berjumpa Uruguay di Belo Horizonte awal pagi Khamis ini.

Scolari menjelaskan bahawa Brazil kini sudah mula menunjukkan potensi sebenarnya meskipun menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memenangi Piala Dunia tahun depan berbanding trofi keempat berturut-turut dalam kempen ini.

"Kami telah berjaya menewaskan pasukan Itali yang kuat dan saya rasa ia membuktikan bahawa kami kini di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang harus kami perbaiki dan kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini," jelas Scolari yang pernah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Dalam aksi semalam, Brazil mendahului pada masa kecederaan babak pertama menerusi Dante sebelum Emanuele Giaccherini menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Penyerang sensasi Barcelona, Neymar bagaimanapun kembali meletakkan skuad Samba itu di depan menerusi gol kedua pada minit ke-55 sebelum Fred menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan minit ke-67.

Itali yang kehilangan khidmat perancang, Andrea Pirlo ekoran kecederaan kembali merapatkan jurang 3-2 menerusi pertahanan Giorgio Chiellini pada minit ke-71 namun Fred sekali lagi tampil menjadi pemusnah kepada The Azurri dengan jaringan pada minit ke-89.
Scolari turut memuji aksi cemerlang Neymar dengan menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu seorang yang genius.

"Dia adalah wira kepada rakyat Brazil dan setiap orang yang meminati bola sepak.
"Pergerakannya sangat bagus hari ini dan seorang pemain yang bijak sepertinya mampu membawa perbezaan di atas padang," jelasnya lagi.

Neymar turut diumumkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledakkan gol ketiga dalam tiga perlawanan buat Brazil. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Neymar inspirasi Brazil


NEYMAR (kiri) menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu Brazil menewaskan Mexico 2-0 awal pagi semalam.



FORTALEZA, Brazil - Penyerang Brazil, Neymar menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu skuad Samba menewaskan Mexico 2-0 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Castelao itu, Neymar meletakkan Brazil di depan seawal minit kesembilan menerusi satu rembatan voli kaki kirinya.

Pemain baharu Barcelona itu turut memainkan peranan penting untuk membantu Brazil merekodkan kemenangan kedua pada kejohanan ini.

Neymar berjaya melepasi dua pemain pertahanan Mexico sebelum melorongkan bola kepada pemain gantian, Jo yang mudah menolak bola tersebut ke gawang lawan.

"Saya gembira kerana dapat bermain dengan baik (ketika menentang Mexico).
"Namun, perkara paling penting bagi saya adalah kami bermain sebagai sebuah pasukan dan mempamerkan satu persembahan yang menarik.

"Kami semakin meningkat dalam setiap perlawanan. Kemenangan ini akan memberikan kami lebih banyak keyakinan buat kami sebelum menghadapi perlawanan seterusnya (menentang Itali)," kata Neymar.

Kekalahan itu turut menyaksikan Mexico yang berjaya menewaskan Brazil dua kali sepanjang tiga perlawanan sebelum ini, tersingkir awal daripada Piala Konfederasi tahun ini.

Antara kejayaan bermakna Mexico ke atas Brazil adalah ketika menewaskan skuad Samba yang diketuai Neymar dan Oscar pada final Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya tahu, beberapa pemain masih belum dapat melupakan kekalahan kepada Mexico pada aksi final Sukan Olimpik 2012.

"Namun, apa yang paling penting, kami berjaya merakamkan kemenangan ini (awal pagi semalam)," kata jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari. - AP

Selasa, 18 Jun 2013

Brazil ketepi dendam jumpa Mexico

NEYMAR (tengah) menjalani sesi latihan skuad Brazil di Brasilia semalam sebagai persediaan menentang Mexico pada Piala Konfederasi awal pagi esok. - AGENSI 
 
FORTALEZA - Pertahanan kiri Brazil Marcelo berkata, mereka tidak terfikir untuk membalas dendam ke atas Mexico apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Piala Konfederasi, awal pagi esok.

Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan berkesudahan dengan Mexico mengejutkan juara dunia lima kali itu dengan kemenangan 2-1 pada final Sukan Olimpik London, tahun lalu.

Kekalahan itu cukup menyakitkan Brazil yang belum pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik, tetapi Marcelo mengakui mereka kini dapat menerima hakikat terhadap kekalahan tersebut.
"Kekalahan kepada Mexico tidak memberikan kesan kepada saya, kami tidak melihat perlawanan ini sebagai peluang untuk membalas dendam.

"Sudah tentu saya masih ingat kekalahan pada final Sukan Olimpik dan ia cukup menyedihkan buat pemain serta seluruh Brazil, memang menyukarkan untuk mengatakan kami gagal menembusi kekebalan pertahanan Mexico.

"Kami sedar Mexico mempunyai ramai pemain hebat namun kami adalah Brazil, kami juga mempunyai ramai pemain bintang dan sudah tentu perlawanan itu nanti akan sukar apabila menemukan kedua-dua pasukan, " katanya.

Dia merupakan antara tiga pemain yang melebihi umur 23 tahun dalam skuad Olimpik Brazil tahun lalu.

Brazil memulakan Piala Konfederasi dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas wakil Asia, Jepun melalui jaringan menarik Neymar di Brasilia.
Jika menang ke atas Mexico dalam perlawanan di Estadio Castelao, ia sudah menjamin tempat buat Brazil ke separuh akhir.

Namun Marcelo enggan menyatakan mengenai prospek 'final impian' bertemu juara Piala Dunia, Sepanyol.

"Anda boleh bercakap bahawa Sepanyol bakal menanti kami pada perlawanan akhir, tetapi kejohanan ini baru sahaja bermula.

"Jika kami bertemu mereka pada perlawanan akhir, sudah tentu ia amat baik kerana ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang hebat, namun jangan lupa kami masih perlu berdepan Mexico dan Itali.

"Setiap pasukan mempunyai peluang, termasuk Tahiti, kami tidak berhak untuk memilih siapa lawan kami dalam pusingan seterusnya, " katanya. 

Selain kemenangan pada Sukan Olimpik, Mexico juga berjaya menumpaskan Brazil pada aksi persahabatan terakhir di Texas tahun lalu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 15 Jun 2013

Neymar tidak bimbang

BRASILIA - Bintang muda Brazil, Neymar tidak gentar untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013.

Neymar, 21, menyuarakan keyakinan itu menjelang aksi pembukaan Kumpulan A menentang Jepun di Stadium Nasional, Brasilia awal pagi esok.

Neymar yang menandatangani kontrak dengan Barcelona baru-baru ini, bakal menjadi tumpuan terutamanya selepas gagal menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan terakhir bersama pasukannya.

Bagaimanapun, Neymar berkata, dia kini fokus 100 peratus untuk membantu pasukan meraih kejayaan.

"Tidak kira sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, ia tidak memberi sebarang makna. Apa yang lebih penting ialah saya bangga untuk bersama skuad Brazil.

"Saya tidak akan beraksi bersama pasukan kebangsaan seperti ketika saya bersama Santos, di mana semua orang mengenali saya. Di sini (Brasilia), mereka masih mahu mengenali saya.

"Kami masih tercari-cari kekuatan kami dan saya akan menyertai satu kejohanan penting dalam karier. Saya berjanji untuk terus memperbaiki prestasi dalam setiap sesi latihan," kata Neymar.
Awal pagi esok, Neymar akan menyarung jersi No. 10 yang pernah dipakai pemain legenda Santos dan Brazil, Pele.

Bagaimanapun, Neymar berkata, dia tidak merasai tekanan tambahan selepas diberi penghormatan menyarung jersi No. 10.

"Saya rasa, nombor jersi tidak penting berbanding jersi Brazil," katanya.

Selain Jepun, Brazil turut diundi dengan Mexico dan Itali, manakala Sepanyol, Uruguay, Tahiti dan Nigeria dalam Kumpulan B. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Neymar pemain ke-8 termahal



NEYMAR melambaikan tangan kepada para penyokong Barcelona yang membanjiri Stadium Nou Camp selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab itu kelmarin.


BARCELONA, Sepanyol - Neymar menjadi pemain kelapan termahal dalam sejarah bola sepak selepas melengkapkan perpindahan ke Barcelona dengan kontrak berjumlah 57 juta euro (RM231 juta) kelmarin.

Penyerang muda Brazil itu akan bergandingan dengan Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi di posisi serangan selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama presiden kelab, Sandro Rosell.
Neymar, 21, membuat keputusan untuk menyertai Barcelona berbanding Real Madrid selepas dua tahun kedua-dua kelab gergasi Liga Sepanyol itu cuba mendapatkannya.

Naib Presiden Barcelona, Josep Bartomeu mendedahkan bahawa kelab itu sepatutnya membayar 40 juta euro (RM162 juta) tetapi gangguan daripada beberapa kelab lain menyebabkan jumlah tersebut meningkat.

Untuk rekod, Cristiano Ronaldo, Zinedine Zidane, Zlatan Ibrahimovic, Kaka, Luis Figo, Hulk dan Fernando Torres antara pemain yang dibayar lebih tinggi daripada Neymar.

Perpindahan termahal yang dilakukan Barcelona sebelum ini adalah ketika membayar 45 juta euro (RM182 juta ) kepada Inter Milan bagi mendapatkan Ibrahimovic selain melepaskan penyerang, Samuel Eto pada 2009.

Neymar enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai jumlah bayaran tersebut.
"Tidak tetapi saya bersyukur kerana Barcelona merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya dan bersama pemain idola saya," kata Neymar.

Sebaik melengkapkan perpindahan itu, Neymar menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Stadium Nou Camp dengan memakai jersi baharu Barcelona yang tertera namanya 'Neymar Jr'.

"Saya berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk menjadi seorang pemain Barcelona, sekali gus melengkapkan impian saya," kata Neymar yang membanjiri stadium tersebut.
- Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my