Memaparkan catatan dengan label Indra Putra Mahayuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Indra Putra Mahayuddin. Papar semua catatan

Selasa, 8 Oktober 2013

Tidak panik terima ugutan bunuh


INDRA tetap tenang sekalipun diancam dibunuh oleh seorang individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan tonggak Kelantan itu mengasari penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha pada aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu lalu.


PERANCANG Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menasihatkan peminat bola sepak tempatan agar tidak terlalu obses dengan pemain mahupun pasukan kesayangan mereka.

Ini kerana Indra menganggap sikap sedemikian mampu mencetuskan perkara negatif jika ia tidak dikawal dengan sebaik mungkin.

Indra berkata, perbuatan itu dilihat lebih teruk di mata masyarakat jika ada individu sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan seperti membunuh semata-mata mahu menyokong pemain atau pasukan masing-masing.

Terdahulu, Indra diugut bunuh oleh seorang individu selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.

Individu terbabit dipercayai mengeluarkan ugutan itu di laman sosial Facebook miliknya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Indra mengasari Norshahrul Idlan Talaha sehingga menyebabkan penyerang Johor DT itu mengalami pendarahan di bahagian hidung.

Semalam, seorang penyokong bola sepak Kelantan, Mohd. Firdaus Mohd. Saari, 32, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung ugutan yang diterima Indra itu.

"Semalam (kelmarin), saya menganggap kenyataan (ugutan individu) itu sebagai gurauan semata-mata. Saya tidak ambil serius tentang hal itu dan saya juga tahu seorang penyokong Kelantan hari ini (semalam) telah membuat laporan polis.

"Saya amat berterima kasih kepada peminat-peminat yang sentiasa menghargai saya dan tidak mahu keselamatan saya diancam.

"Nasihat saya, peminat-peminat jangan terlalu obses dengan menyalah guna laman sosial Facebook untuk mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan seperti membunuh.

"Perbuatan itu hanya memakan diri sendiri. Jika boleh, elak daripada membuat kenyataan yang boleh disalah erti dan jangan bergurau tak kena tempat," kata Indra ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Indra sekali lagi memohon maaf terhadap insiden kekasaran yang berlaku ke atas Norshahrul yang disifatkannya tidak sengaja.

"Saya tidak sengaja sebenarnya. Di padang, kami lawan tetapi di luar padang, kami kawan. Kami adalah profesional.

"Peminat harus faham tentang semangat kesukanan. Mereka seharusnya menikmati perlawanan, bukannya mengeluarkan kenyataan berbentuk emosi sebaik perlawanan berakhir," katanya yang tidak akan membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh itu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Oktober 2013

UGUTAN BUNUH!

Oleh Anwar Hussin dan Azlan Hafeedz 
UGUTAN BUNUH!
Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menerima ugutan bunuh yang dikeluarkan dalam laman sosial facebook, kelmarin oleh seorang penyokong bola sepak tempatan.

Penyokong itu dalam laman facebook - tidak berpuas hati dengan tindakan Indra Putra yang didakwa sengaja merempuh penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo - dikatakan mengugut untuk mengupah pembunuh upahan membunuh pemain lincah Kelantan itu bersama pengadil yang mengendali perlawanan berkenaan.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini.

Rabu, 2 Oktober 2013

Harap tuah gelanggang keramat


INDRA menjadi sandaran terbaik Kelantan bagi merobek gawang Johor DT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.


PARA penyokong Kelantan bakal menentukan nasib The Red Warriors yang akan turun melayan kunjungan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.

Penggempur Kelantan, Indra Putra Mahayuddin percaya puluhan ribu penyokong The Red Warriors yang akan membanjiri stadium keramat mereka itu mampu menjadi 'pemain ke-12' serta memberikan impak besar terhadap prestasi skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Menurut Indra, Stadium Sultan Muhammad IV masih lagi menjadi gelanggang yang digeruni pihak lawan bersandarkan kepada sokongan padu daripada penyokong setia Kelantan.

"Kami ketinggalan dua gol dan perlu mencarinya di sini (Kota Bharu) untuk layak (ke separuh akhir) selain tidak boleh membenarkan Johor DT mencipta jaringan. 

"Saya harap dengan doa dan sokongan para peminat dapat memberikan motivasi kepada para pemain untuk menewaskan Johor DT nanti.

"Sejak sekian lama, stadium ini memberikan kita kelebihan. Banyak pasukan yang datang ke sini dan pulang dengan kekecewaan.

"Saya fikir ia (Stadium Sultan Muhammad IV) masih lagi keramat. Saya menjangkakan tidak mudah untuk pemain Johor DT meraikan sesuatu di sini dan kami akan memberikan yang terbaik," kata Indra ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai kekalahan 2-4 pada aksi suku akhir pertama di Larkin, Sabtu lalu, Indra berkata, ia merupakan isyarat penting kepada Kelantan bahawa saingan Piala 

"Banyak kesilapan yang dilakukan pada perlawanan pertama sehingga menyebabkan kami terpaksa menerima hakikat kekalahan itu. 

"Tidak ada lagi kompromi, kami kena turun Sabtu ini dengan memberikan aksi yang terbaik tanpa melakukan kesilapan, itu sangat penting.

"Kami mempunyai banyak peluang pada perlawanan pertama, saya fikir tidak kurang daripada lima tetapi nasib tidak begitu menyebelahi kami. 

"Kali ini para pemain kena bermain seperti biasa, tiada sebarang tekanan dan gol pasti akan datang," ujarnya.

Indra menambah, Johor DT mungkin melakukan kesilapan besar sekiranya menganggap bekalan dua gol yang dibawa skuad Harimau Selatan itu mampu memberikan kelebihan untuk mereka layak ke saingan separuh akhir.

"Kini kami harus mengurangkan kesilapan di hadapan gawang sendiri sebagaimana yang berlaku di Larkin," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 26 Jun 2013

Indra ingin ulangi 'magis'


Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tonggak berpengalaman Kelantan, Indra Putra Mahyuddin bertekad mahu mengulangi 'magis' pada aksi akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Indra menjulang Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia menerusi jaringan cantik ketika menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu, berharap tuah perlawanan akhir sekali lagi berpihak pada musim ini.

Turun selaku pemain yang penuh dengan pengalaman, anak kelahiran Perak itu mahu membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi pada tahun lalu.

"Insya-Allah jika dapat bermain, saya bukan sahaja berjanji akan mempamerkan aksi terbaik malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan dalam perlawanan akhir ini.

"Saya percaya ini merupakan satu pertemuan sengit dan ditunggu-tunggu semua pihak memandangkan Johor DT turut dibarisi ramai pemain bertaraf bintang," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mengulas peluang pasukannya pada perlawanan itu, Indra memberitahu, dia yakin Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan tersebut berdasarkan reputasi semasa pasukannya.

Dia yang masih dibelenggu kecederaan lutut mengakui sedang bergelut dengan masa untuk pulih sepenuhnya menjelang aksi perlawanan akhir edisi ke-24 pada Sabtu ini.

Pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim 2004 itu turut menyifatkan aksi perlawanan akhir kali ini cukup sentimental setelah tiga musim bersama Kelantan dan puas meraih pelbagai trofi yang dipertandingkan dalam liga tempatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 8 Februari 2013

Aksi Nwakaeme pikat penyokong Kelantan


NWAKAEME (kanan) tampil dengan aksi yang bertenaga ketika membantu Kelantan menewaskan Felda United 2-0 di Kota Bharu kelmarin.


PEMAIN import jemputan Kelantan dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, 27, mula meniti di bibir penyokong fanatik skuad tersebut.

Ia ekoran aksi bertenaga yang dipamerkan oleh pemain berkenaan serta kerap kali menguji kekuatan benteng pertahanan lawan ketika turun beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kelmarin.

Gaya permainannya terus menenggelamkan rentak seorang lagi tonggak import Kelantan, Keita Mandjou yang sedang bergelut untuk mengembalikan prestasinya.

Tanpa berselindung, pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui Dickson mempunyai kelebihan tersendiri selepas membantu The Red Warriors mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Felda United pada aksi persahabatan itu.

Menurutnya, pemain tersebut mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola serta bijak membuka ruang kepada rakan pasukan untuk menjaringkan gol.

"Dia (Dickson) seorang pemain yang hebat serta memiliki gaya kawalan bola yang baik selain mampu melakukan percubaan daripada sudut yang sukar.

"Bagaimanapun, setakat ini, mungkin tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam pasukan dan saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di hadapan 7,000 peminat setia mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 untuk memperoleh jaringan menerusi rembatan seorang lagi pemain import jemputan, Salim Arrache.

Pada minit ke-72, Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan Kelantan selepas rembatan kencangnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Felda United, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan memperoleh tonik berguna menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 15 Februari ini di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, Hodak berkata, dua aksi persahabatan yang diharungi oleh pasukannya setakat ini memberikan impak positif buatnya dalam menilai kekuatan dan kelemahan pasukan.

"Ia cukup penting buat kita untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum saingan Liga Super kembali bersambung.

"Banyak perubahan yang saya dapat lihat terutama persembahan daripada Mohd. Izuan Solahuddin, begitu juga dengan aksi Mohd. Faiz Subri. Kedua-dua pemain ini semakin menunjukkan peningkatan," ujarnya.
Bagi pengendali Felda United, K. Devan, beliau mengakui pasukannya masih mencari pemain terbaik untuk digandingkan dengan penyerang dari Lebanon, Mohd. Ghaddar.

Selain itu, Devan turut merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan berdepan sama ada Pahang atau naib juara Piala FA musim lalu, Sime Darby FC.

Sabtu, 5 Januari 2013

Ujian sebenar Kelantan bermula



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Shah Alam musim lalu.


“TUNGGU sahaja perlawanan malam esok (malam ini).” Demikian reaksi ringkas yang cukup bermakna oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi Sumbangsih menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.
Biarpun sedar harapan menggunung peminat fanatik The Red Warriors dalam memburu trofi sulung itu musim ini, Bojan tetap optimis anak-anak buahnya mampu pulang dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Cuma pada masa sama, Bojan tetap menuntut anak-anak buahnya supaya mengelak daripada dibuai sikap terlalu yakin sehingga mengundang padah.

Keupayaan sebenar pasukannya yang kehilangan beberapa pemain utama musim ini seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu dan Mohammad Ghaddar, jelas beliau, juga bakal teruji sepenuhnya malam ini.

“Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama musim ini, jadi sudah tentu perlawanan malam esok (malam ini) cukup mencabar.
“Kehebatan ATM juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka berjaya ke final Piala Malaysia.
“Jadi, saya harap dapat membantu Kelantan melakar sejarah kerana belum ada mana-mana pasukan trebel berjaya menjulang trofi keempat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Bojan memberitahu, beliau percaya rakan sejawatannya, B. Sathianathan juga ‘pening kepala’ memikirkan formula terbaik bagi menghadapi aksi malam ini kerana turut kehilangan beberapa pemain utama seperti Azmi Muslim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak.

“Saya harap, pemain saya dapat memberikan yang terbaik sebagai penyuntik semangat sebelum aksi sulung menentang PKNS (9 Januari),” tambah Bojan.

Pada masa sama, Bojan turut mempertahankan kredibiliti penyerang import baharu, Keita Mandjou biarpun penyerang kelahiran Guinea itu belum cergas sepenuhnya selepas tidak beraksi selama enam bulan sebelum ini.

“Lihat sahaja Marlon (Alex James), semasa dia menyertai ATM musim lalu, ramai yang meragui kemampuannya atas faktor usia.

“Sebaliknya, Marlon berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa, jadi saya percaya Keita juga mampu melakukannya,” katanya optimis.

Pertemuan kedua-dua pasukan ibarat aksi final Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan Kelantan muncul juara selepas meraih kemenangan 3-2 pada aksi di Stadium Shah Alam.
Perlawanan Sumbangsih merupakan aksi pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Sabtu, 22 Disember 2012

Jangan pilih bulu!

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
pix_gal0
Raja digesa ‘buka mata’ dengan prestasi pemain senior


Buka peluang kepada pemain senior!


Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Fadzli Saari yang mahu peluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan tidak hanya terhad kepada pemain muda yang berusia 26 tahun dan ke bawah.

Bagi penyerang baru skuad Liga Perdana, Sime Darby FC itu, masih terdapat pemain sekitar usia 30 tahun yang mampu beraksi untuk skuad kebangsaan jika dinilai prestasi semasa dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berbanding pemain lebih muda sedia ada dalam skuad Datuk K Rajagobal ketika ini.

“Sepatutnya untuk skuad kebangsaan, faktor umur tidak menjadi kekangan. Tapi sekarang dah jadi fenomena, hanya pemain muda yang dipilih. Bagi saya, pemain yang lebih usia 26 tahun, malah yang umur 30, 31 dan 32 tahun pun masih boleh main sebenarnya.

“Tapi nak cakap lebih pun, tak boleh juga kerana sudah tentu ada panel penilaian dan jurulatih lebih tahu untuk membuat pemilihan. Jadi, sebagai pemain, kita kena terima sajalah.
“Cuma harap pemain senior turut diberi peluang. Ada yang lebih menyinar berbanding pemain muda dalam liga, contohnya Badhri Radzi dan Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus (Tentera) serta pemain senior Negeri Sembilan,” kata Fadzli ketika ditemui di Bukit Kiara, semalam.

Bekas pemain Pahang, KL Plus, Selangor dan T-Team yang pernah beraksi dengan kelab Jerman, SV Wehen itu sendiri baru akan mencecah 30 tahun pada 1 Januari depan tetapi kali terakhir dia dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan lima tahun lalu.

“Tahap pemain kita lebih kurang sama saja sebenarnya. Patut pemilihan lebih kepada prestasi semasa, tak kiralah dia pemain muda atau senior. Sekurang-kurangnya beri peluang kepada pemain senior ini beraksi dalam dua atau tiga perlawanan, tengok dulu mereka boleh main atau tidak,” jelas Fadzli.

Berdasarkan barisan 22 pemain pada Piala Suzuki AFF 2012 baru-baru ini, hanya dua pemain melepasi usia 26 tahun tersenarai iaitu Safee Sali (28) dan Azammuddin Akil (27), selebihnya terdiri daripada pemain lebih muda serta yang dianggap ‘pemain Rajagobal’.

Justeru, ramai peminat dan pemerhati menggesa supaya pengendali berusia 56 tahun itu lebih telus dan terbuka untuk memilih pemain berdasarkan prestasi semasa dalam liga menjelang aksi sulung kelayakan bertemu Qatar, 6 Februari depan