Memaparkan catatan dengan label Li Na. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Li Na. Papar semua catatan

Rabu, 4 September 2013

Li Na bertemu Serena


LI NA mara ke separuh akhir Terbuka AS buat pertama kalinya kelmarin.


NEW YORK - Pemain pilihan kelima, Li Na dari China menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2013 buat pertama kalinya kelmarin.

Juara Terbuka Perancis 2011 berusia 31 tahun itu menewaskan Ekaterina Makarova dari Rusia 6-4, 6-7, 6-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung selama dua jam 20 minit di Stadium Arthur Ashe.

Li Na tampil dengan aksi cemerlang pada awal set pertama untuk mendahulu 4-2, namun tewas lima daripada enam mata terakhir, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke set ketiga.

"Saya sangat gembira. Selepas tewas pada set kedua, saya agak kecewa kerana saya telah mendahului 4-2 tetetapi saya sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya memberikan pukulan yang terbaik untuk meraih mata," kata Li Na.

Begitupun, Li Na berdepan tugas getir pada aksi kelompok empat pemain terbaik kerana dia perlu berdepan juara bertahan, Serena Williams yang kini mempunyai misi untuk merangkul gelaran kelima pada kejohanan Grand Slam di laman sendiri itu.

Pemain No. 1 dunia dan pilihan pertama kejohanan itu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan ke-18 dari Sepanyol, Carla Suarez Navarro 6-0, 6-0.

"Saya akan berehat dengan tenang sambil makan kentang goreng dan menonton (televisyen) selepas ini," kata Li Na ketika diminta mengulas mengenai persiapannya untuk menghadapi Serena.

Sementara itu, Makarova yang membuat kejutan dengan menewaskan Serena pada pusingan keempat Terbuka Australia tahun lalu mengakui perasaan gementar menjadikan corak permainannya lebih agresif.

"Saya gugup. Saya harap dapat bermain dengan lebih baik lagi pada kejohanan akan datang," kata Makarova.

Dalam pada itu, pemain Belarus, Victoria Azarenka mara ke suku akhir selepas menewaskan Ana Ivanovic dari Serbia 4-6, 6-3, 6-4 dalam satu perlawanan yang ditunda ekoran hujan.

Azarenka yang tewas kepada Serena pada aksi final Terbuka AS tahun lalu akan bertemu pemain Slovakia, Daniela Hantuchova bagi memburu slot separuh akhir.

"Dia (Hantuchova) bermain tenis sepanjang hidupnya. Dia bermain dengan baik dan memiliki keyakinan yang tinggi. Jika pertarungan itu menjadi sengit, ia bukan satu kejutan," ujar Azarenka. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Li Na tetap yakin



LI NA memiliki pengalaman yang mencukupi untuk memburu gelaran Grand Slam.


HONG KONG - Finalis Terbuka Australia, Li Na yakin dia memiliki pengalaman yang mencukupi untuk mengatasi cabaran pemain generasi baharu dalam misi memburu gelaran Grand Slam.

Bekas juara Terbuka Perancis dari China itu masih segar dengan kekalahan kepada Victoria Azarenka pada final kejohanan Grand Slam pertama tahun ini di Melbourne minggu lalu.

Bagaimanapun, Li Na yakin dia mampu beraksi ditahap tertinggi selama dua tahun lagi.

Li Na yang berusia 31 tahun pada 26 Februari ini iaitu sama usia dengan juara 15 kali Grand Slam dari Amerika Syarikat, Serena Williams dianggap sudah tua dalam sukan yang dibarisi ramai pemain muda ini.

"Buat masa ini, saya sudah bermain sejak beberapa tahun lalu. Jadi, saya turut memperoleh pengalaman yang berguna.

"Saya juga tidak pernah berputus asa. Bagi saya, ini lebih penting dan sebab itu saya mampu beraksi di tahap tertinggi untuk tempoh beberapa tahun lagi," kata pemain No. 5 dunia itu.

Li Na mengetepikan cabaran Agnieszka Radwanska dan Maria Sharapova untuk menempah slot ke final di Australia.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialaminya sebanyak dua kali pada aksi final antara penyebab dia tewas kepada pemain No. 1 dunia dari Belarus itu.
 
Selain kejayaan beberapa pemain ternama, kejohanan tersebut turut menyaksikan kemunculan ramai pemain generasi baharu seperti kejutan yang dilakukan Sloane Stephens, 19, dari Amerika Syarikat ke atas rakan senegaranya, Serena pada aksi suku akhir.

Pemain Britain, Laura Robson, 19, meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga manakala Garbine Muguruza dan Madison Keys dilabel sebagai pemain yang akan menjadi bintang pada masa depan.
"Sudah tentu buat masa ini terdapat ramai pemain muda yang sedang meningkat naik. Mereka bermain dengan baik. Jadi, kamu tetap akan melihat sekumpulan pemain yang perlu bekerja keras.

"2013 sepatutnya menjadi tahun yang menarik buat semua pemain," kata Li Na yang melakar sejarah menjadi pemain pertama Asia memenangi gelaran Grand Slam dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Perancis 2011. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my