Memaparkan catatan dengan label Roberto Mancini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Roberto Mancini. Papar semua catatan

Rabu, 2 Oktober 2013

Mancini jadi pilihan bimbing Galatasaray


MANCINI (kiri) meninggalkan hotel selepas mengadakan perbincangan dengan Galatasaray di Istanbul, Turki kelmarin.


ISTANBUL - Bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini disahkan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Galatasaray untuk menggantikan tempat Fatih Terim yang dipecat minggu lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan juara Turki itu, Mancini bakal menerima habuan lumayan sebanyak 3.5 juta euro (RM15 juta) untuk musim ini termasuk tambahan 4.5 juta euro (RM19 juta) bagi dua musim akan datang.

Pengendali kelahiran Itali yang meninggalkan City pada musim panas lalu bakal memperolehi bonus sebanyak 300,000 euro (RM1,319,775) sekiranya berjaya membawa Galatasaray mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan menjulang Liga Turki pada musim ini.

Mancini, 48, tiba di Istanbul pada Ahad lalu dan bertemu dengan pihak pengurusan Galatasaray yang mencari pengganti sejak Terim dipecat minggu lalu.

Mancini telah dipecat sebagai pengurus skuad The Citizens pada Mei tahun lalu selepas membantu kelab gergasi England itu menjulang kejuaraan Liga Perdana England.

Sepanjang bersama City, beliau yang berjaya menamatkan kemarau 35 tahun untuk menjulang trofi liga sejak 1968 selain turut berjaya menjulang trofi Piala FA 2011.

Galatasaray bermula hambar pada musim ini meskipun berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba.

Mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Fenerbahce selepas sekadar menang satu dari lima perlawanan liga termasuk kekalahan 1-6 di tangan Real Madrid pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 13 Mei 2013

Mancini akan dipecat


MANCINI bakal dipecat oleh Manchester City selepas dikatakan gagal membawa kejayaan kepada kelab tersebut musim ini.


LONDON – Roberto Mancini akan dipecat oleh Manchester City pada minggu ini.

Tugasnya selaku pengurus City dilaporkan bakal diambil alih jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini.

Era Mancini selama tiga tahun setengah di City akan berakhir selepas ahli lembaga kelab Eastlands itu memutuskan bahawa pengurus dari Itali itu telah cuba membawa kelab ke tahap yang terbaik.

Pellegrini dijangka berjumpa pemilik Etihad itu Khamis ini bagi melengkapkan perjanjiannya, dan Mancini juga mungkin tidak akan membimbing pasukannya itu pada pertemuan dengan Reading awal pagi esok.

Mancini yang dilihat menghabiskan masa petang kelmarin dengan makan malam bersama barisan kejurulatihannya, mungkin juga dikekalkan sehingga perlawanan terakhir dengan Norwich, Ahad depan.

Namun, sumber kelab itu memberitahu bahawa dia tidak akan menyertai jelajah pramusim ke Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula minggu depan.

Pegawai di City menganggap Mancini tidak memiliki kebolehan untuk membawa kelab itu sebagai antara gergasi Eropah, sekali gus memaksa mereka mencari pengurus baharu yang mampu menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara kepada mereka.

Pemain City juga dikhabarkan kurang gembira dengan cara pengurusan Mancini dan dia akan dilepaskan selepas perbincangan mengenai jumlah pampasan diselesaikan.

Ketua Eksekutif City, Ferran Soriano dan pengarah kelab, Txiki Bergiristain melihat Pellegrini, 59, sebagai calon yang sesuai menggantikan Mancini.

Jurulatih Malaga itu pernah meraih kejayaan ketika menerajui Villarreal sebelum menyertai Real Madrid yang mana dia hanya bertahan selama semusim sahaja.

Namun, ketika bersama Malaga, dia berjaya membawa pasukan tersebut mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 12 Mei 2013

Nasib Mancini di hujung tanduk


LONDON - Masa depan Roberto Mancini dikatakan semakin gelap sebaik Manchester City tumpas 0-1 kepada Wigan Athletic pada final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Dalam perlawanan itu, tandukan pemain Wigan, Ben Watson pada masa kecederaan berjaya memisahkan kedua-dua pasukan.

Berikutan kekalahan itu, Mancini tiba- tiba naik angin dengan menuduh pihak pengurusan The Citizens tidak mengambil sebarang langkah menamatkan spekulasi yang mengaitkan jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini sebagai pengganti beliau di Etihad selepas ini.

"Saya hairan mengapa pihak pengurusan tidak menghentikan spekulasi ini. Saya tidak tahu sama ada cerita itu betul atau tidak, kita perlu tunggu dua minggu lagi," kata Mancini.

Pada masa sama, Mancini juga menegaskan, prestasi The Citizens cukup baik musim ini biar pun gagal meraih sebarang piala.

"Saya telah melakukan tugas saya dengan baik biarpun kami tewas di final. Dalam bola sepak, apa jua boleh berlaku. Jadi, kita tunggu apabila musim ini berakhir sama ada saya kekal di sini ataupun tidak," katanya.

Untuk rekod, Mancini sebelum ini meng- gantikan Mark Hughes yang dipecat pada 2009.

Beliau juga mengakui, pernah mengada- kan perbincangan dengan pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak sebelum Hughes dipecat sebelum ini.

Terdahulu, Pellegrini mengakui bakal berhijrah gara-gara masalah kewangan yang dialami Malaga.

"Semua mahu kekal termasuk saya tetapi situasi semasa tidak mengizinkan kami untuk terus bersama Malaga," kata Pellegrini. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 5 Mei 2013

Mancini tidak bimbang


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan bahawa beliau tidak bimbang mengenai masa depannya bersama Manchester City.

Pengendali kelahiran Itali itu berkata, beliau tidak memerlukan apa jua simpati daripada pihak atasan skuad The Citizens untuk terus kekal di Stadium Etihad.

Sebelum ini tercetus spekulasi yang mendakwa yang masa depan Mancini sudah tidak selamat selepas Pengarah Sukan City, Txiki Begiri- stain dilihat makan bersama ejen jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini.

Bagaimanapun Mancini mengakui, beliau sudah bosan untuk melayan laporan tidak berasas itu selepas Pellegrini muncul sebagai individu baharu yang dikaitkan dengan 'kerusi panas' tersebut.
"Saya berharap beliau (Pellegrini) menikmati hidangan yang lazat.

"Anda (wartawan) sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada Begiristain, bukannya saya.
"Namun, ia bukan perkara penting buat saya. Sebelum ini, banyak pihak yang mengaitkan jawatan saya dengan bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, Carlo Ancelotti (Paris St. Germain), Brendan Rodgers (Liverpool) dan terbaharu, Pellegrini.

"Jika ada seorang pengurus yang tidak memenangi tiga trofi dalam tempoh dua tahun, anda berhak menulis laporan seperti itu," kata Mancini yang masih mempunyai kontrak selama empat tahun bersama City.
Ditanya mengenai jaminan Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak terhadap masa depannya, Mancini menambah: "Saya tidak perlu bertanyakan soalan itu kepadanya.

"Kami tidak pernah berbincang mengenai isu ini, sebaliknya saya dan Mubarak memiliki hubungan yang sangat baik." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 10 Februari 2013

Mancini malu lihat pemain City



JARINGAN Southampton hasil kesilapan Joe Hart ini ternyata memalukan Mancini.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengakui kekalahan 1-3 kepada Southampton awal pagi semalam hampir pasti meranapkan impian pasukannya untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England.

Mancini menyifatkan peluang untuk City merampas kedudukan pendahulu liga milik jiran mereka, Manchester United musim ini juga semakin tipis.

United bakal memiliki kelebihan 12 mata selesa mendahului taktha liga sekiranya menang dengan Everton dengan baki 12 lagi perlawanan, sekali gus menyaksikan mereka sukar dikejar oleh City.

Pengurus dari Itali itu juga mengakui prestasi tidak konsisten mereka sejak kebelakangan ini adalah disebabkan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya ketika bertahan. 

"Dua belas mata adalah terlalu jauh untuk dikejar ketika ini dan kami juga sejak kebelakangan ini gagal beraksi dengan baik," kata Mancini.
"Kami bermain sangat teruk, malah lebih teruk pada aksi tadi (semalam). 

"Saya kecewa dengan persembahan kami. Kami melepaskan satu gol yang tidak pernah saya saksikan dalam hidup saya.

"Kini tiada apa-apa yang boleh kami buat, selain mengucapkan tahniah kepada Southampton di atas permainan mereka. 

"Ini adalah aksi paling buruk kami dalam masa dua atau tiga tahun. Pemain bermain sangat teruk, tanpa kekuatan dan tanpa personaliti. Saya sangat kecewa dengan mereka," katanya.

Kekalahan City semalam berpunca daripada beberapa kesilapan mudah ketika bertahan, termasuk kesilapan daripada pertahanan, Gareth Barry yang menjaringkan gol sendiri.

Penjaga gol England, Joe Hart juga membuat kesilapan mudah dengan membenarkan bola menembusi celah kangkangnya, sekaligus memberi peluang Steven Davis menyentuh bola masuk ke gawangnya.
"Ia satu kesilapan yang teruk daripada Joe Hart. Ia bukan perkara yang pelik kerana dia telah melakukan beberapa kesilapan musim ini," kata Mancini.

"Situasi ini tidak bagus bagi kami. Joe seorang penjaga gol yang baik, tetapi mana-mana penjaga gol juga akan melakukan kesilapan." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Robinho keluar, Balotelli masuk


LONDON - AC Milan bakal menawarkan Mario Balotelli jalan keluar dari Manchester City seandainya mereka sendiri dapat mengeluarkan Robinho pada pasaran perpindahan bulan ini. 

City sedia menjual Balotelli selepas bintang penyerang itu terlibat dengan kontroversi terbaru bersama pengurus pasukan, Roberto Mancini. 

Begitupun cabaran terbesar yang dihadapi juara Liga Perdana Inggeris itu adalah cuba mencari pembeli yang sanggup membayar sekurang-kurangnya 25 juta pound (RM122.5 juta). 

Gergasi bola sepak Itali itu sedia menjadikan perpindahan itu berjaya dengan syarat, ada ruang kosong dalam skuad mereka dan seseorang perlu dikorbankan, iaitu Robinho. 

Mereka sudahpun menjual penyerang Brazil, Pato ke Corinthians pada awal bulan ini dengan harga 12 juta pound (RM58.8 juta) tetapi ironinya, Robinho pula menjadi penghalang terbesar untuk membawa masuk Balotelli. 

Di England, City amat berharap sesuatu dapat dilakukan untuk 'menghapuskan' Balotelli, pemain yang sekali lagi mencuri tumpuan jurugambar semalam apabila tampil ke sesi latihan dengan rambut berwarna perang. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 6 Januari 2013

'Saya hanya arahkan dia keluar padang'



TIDAK SEHALUAN... Mancini (kanan) dan Balotelli sering bertikam lidah sehingga menimbulkan pelbagai persepsi terhadap skuad The Citizen sejak beberapa musim lalu.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan bahawa beliau masih mendapatkan sokongan penuh daripada pihak pengurusan The Citizen.

Kenyataan Mancini itu hadir sehari selepas beliau dilapor sekali lagi bertikam lidah dengan penyerang kontroversi City, Mario Balotelli ketika sesi latihan di Carrington, Manchester Khamis lalu.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Inter Milan itu mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menyesal atas tindakannya terhadap pemain berusia 22 tahun itu.

Mancini menjelaskan, beliau masih sanggup menawarkan 100 peluang buat Balotelli yang meninggalkan sesi latihan selepas insiden tersebut.

Mengulas insiden pergeseran tersebut, Mancini berkata: "Saya tidak melakukan apa-apa. Saya hanya mengarahkan Balotelli meninggalkan padang tetapi dia enggan berbuat demikian.

"Saya tahu perkara itu tidak bagus buat pengurus tetapi saya tidak menyesal."
Kemarahan pengendali kelahiran Itali itu tercetus selepas beliau tidak berpuas hati dengan kekasaran yang dilakukan Balotelli terhadap Scott Sinclair.

"Tidak mudah untuk saya memaafkan Balotelli. Saya selalu mengharapkan dia akan berubah menjadi lebih matang. Sepatutnya dia kini sudah boleh menumpukan kariernya sahaja.

"Saya fikir dia patut tahu bahawa karier sebagai pemain bola sepak amat singkat," tegas Mancini.
Meskipun sering mencetuskan kontroversi, Balotelli tidak akan berada dalam senarai pemain untuk dijual ketika jendela perpindahan pemain kembali dibuka bulan ini.

Ini kerana pemilik City, Sheikh Mansour merupakan peminat No. 1 bintang Itali itu dan percaya Balotelli mampu menjulang The Citizen pada masa akan datang. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 5 Januari 2013

Mancini, Balotelli bertelingkah



MANCINI (kanan) menarik baju Balotelli selepas berang dengan sikap penyerang Manchester City itu.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan bahawa Mario Balotelli tidak akan dihukum selepas terbabit dalam satu pertelingkahan di padang latihan kelmarin.

Mancini berkata, penyerang kontroversi Itali tersebut masih mempunyai masa depan bersama juara bertahan Liga Perdana England itu.

Pada insiden terbaharu, Mancini yang tidak berpuas hati dengan sikap Balotelli dilihat menarik baju penyerang tersebut sebelum dileraikan.

Bagaimanapun, Mancini menegaskan bahawa tidak ada pergaduhan berlaku antara mereka, sebaliknya beliau berang selepas rakan senegaranya itu enggan meninggalkan padang.

Ketika ditanya sama ada Balotelli akan berdepan sebarang tindakan disiplin, Mancini berkata: Tidak. Ini adalah sesuatu yang boleh berlaku."

Balotelli menyertai City daripada Inter Milan pada 2010 tetapi sering kali menjadi tajuk berita ekoran sikapnya yang dianggap liar ketika berada di dalam dan luar padang.

"Kami akan memberikannya 100 lagi peluang," kata Mancini ketika ditanya mengenai cadangan untuk menjual Balotelli.

Dalam insiden terbaharu kelmarin, Mancini meluru ke arah Balotelli selepas penyerang itu mengasari rakan sepasukan, Scott Sinclair dalam sesi latihan.

"Mancini dilihat bertengkar dengan Balotelli gara-gara kekasaran itu," menurut seorang saksi di tempat kejadian.

"Pada mulanya, Balotelli hanya berdiam diri kerana kekasaran yang dilakukannya tidak serius.
"Namun, Balotelli mula melawan apabila Mancini tidak berhenti memarahinya."

Insiden itu menyebabkan kedua-dua individu terbabit mula menolak sesama sendiri. Beberapa jurulatih cuba menenangkan keadaan manakala pemain lain hanya memerhatikan insiden itu," kata- nya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 26 Disember 2012

City mampu pintas United

-Utusan Malaysia

SUNDERLAND - Gareth Barry berkeyakinan Manchester City berupaya untuk memintas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester United ketika penyandang juara itu bersedia untuk menghadapi Sunderland, hari ini.
Skuad Roberto Mancini mempamerkan reaksi positif selepas kekalahan 2-3 kepada United awal bulan ini apabila meraih kemenangan konsisten dalam dua perlawanan terakhir mereka.
Sabtu lalu, Barry menjadi wira City apabila menjaringkan gol kemenangan 1-0 ketika menentang Reading.
Kegagalan United meraih kemenangan ketika menentang Swansea Ahad, lepas membuka ruang buat City untuk mengurangkan perbezaan mata melalui perlawanan minggu ini.
"Ketika mempunyai jurang perbezaan yang tidak terlalu jauh, adalah penting buat kami untuk memastikan tiada ruang buat pasukan di belakang memintas kami.
"Jika kami mampu meneruskannya, diharap kami mampu berada pada tangga teratas pada penghujung musim ini.
"Ini akan menjadi sambutan Hari Natal yang paling bermakna yang kami perlu laluinya.
"Malah saingan kali ini dijangka menjadi antara yang paling hebat buat kami.
"Namun kami tetap akan mempamerkan prestasi terbaik seperti mana kami lakukan ketika menentang Newcastle terutama pada Hari Natal kali ini," kata Barry.
Pada perlawanan Sabtu lalu, ketua pasukan City, Vincent Kompany hanya berada di bangku simpanan ketika kelab itu meraih kemenangan ke atas Reading berikutan mengalami masalah kecederaan namun pemain itu dijangka cergas untuk kembali beraksi pada perlawanan hari ini.
Dalam pada itu, penyerang Itali, Mario Balotelli juga bakal kembali beraksi selepas pulih daripada masalah kesihatan.
Malah Mancini turut berharap pemain pertahanan Gael Clichy dan Aleksander Kolarov dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan ringan untuk diturunkan pada perlawanan menentang Sunderland.
Sebaliknya Samir Nasri, Micah Richards dan Jack Rodwell masih belum cukup cergas untuk perlawanan hari ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my