Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Selasa, 3 Disember 2013

Sabah mahu Rozaimi kembali


SABAH akan berusaha mendapatkan semula khidmat penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengharungi saingan Liga Premier musim depan. 

Kehadiran anak kelahiran Bongawan ini pasti dinantikan penyokong setia Sabah dalam mengembalikan kembali kehebatan skuad Badak itu. 

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Joehari Ayob berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan khidmat Rozaimi selepas berakhirnya temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung bulan ini. 

"Dia (Rozaimi) akan kembali dan menyertai rakan-rakan sepasukannya selepas tamat Sukan SEA.
"Sememangnya, kita amat menantikan kehadirannya yang dijangka mampu meningkatkan semangat pemain-pemain lain," kata Joehari di Kota Kinabalu semalam. 

Sementara itu, Rozaimi berkata, dia belum membuat sebarang keputusan, sama ada kembali menyertai Sabah atau kekal bersama skuad Harimau Muda A.

"Ya, saya ada mendengar tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum berikan sebarang kata dua dengan saya secara rasmi... mungkin selepas Sukan SEA nanti," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!

Untuk rekod, Sabah telah mengikat kontrak dengan lima pemain baharu termasuk dua bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) - Redzuan Nawi dan Ezaidy Khadir.

Tiga pemain yang lain yang akan memperkuatkan Sabah adalah bekas pemain tengah Sime Darby FC, Hasmarul Fadzir Hassan, Fazli Paat (Johor) dan A. Varathan (ATM).

Sabah juga akan diperkuat dengan kehadiran tiga awang import - Altin Grbovic dari Serbia, Srecko Mitrovic (Australia) serta Predrag Pocuca (Croatia). 

Joehari berkata, barisan pemain Sabah hampir dimuktamadkan dengan terbaharu, bekas pemain skuad Piala Presiden, Rexjeson Pitrus dari Keningau merupakan pemain tempatan diambil oleh SAFA. 

"Keputusan muktamad akan dilakukan selepas siri perlawanan pramusim di Malang, Jawa Timur, Indonesia. 

"Sasaran utama kita adalah tahun depan adalah untuk menduduki sekurang-kurangnya dua teratas Liga Premier serta layak ke Piala Malaysia," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 21 Januari 2013

Sabah tersungkur, Johor garang


PEMAIN Johor, Juan Muriel Orlando (dua dari kanan) melepasi halangan pemain UiTM FC pada aksi Liga Premier di Pasir Gudang semalam.


REKOD kebal Sabah di gelanggang sendiri musim ini akhirnya lebur apabila tumpas 0-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Premier di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang semalam.

Penyerang berbisa Sang Kenari, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri meletakkan pasukan pelawat di depan apabila tenang menyempurnakan hantaran cantik Arman Fareez Mohd. Ali pada minit ke-40.
Muhammad Fiqkry Md. Isa melengkapkan derita Sang Badak apabila meledak gol kedua pada penghujung babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Marijo Tot kini melonjak ke tangga kedua liga dengan 12 mata, kurang satu mata di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jurulatih Sabah, David McCreery ternyata kecewa dengan kekalahan tersebut.
"Pemain dilihat tidak begitu bekerjasama, saya sendiri tidak tahu mengapa," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Di Stadium MP Pasir Gudang, Johor menepati ramalan apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan tercorot, UiTM FC dengan keputusan 2-0.

Beraksi buat pertama kali di stadium berkenaan dalam saingan liga musim ini, Johor dilihat mempunyai peluang terbaik untuk berpesta gol, namun sering kali mempersia-siakan peluang yang ada.

Meskipun menguasai sejak awal permainan, namun gol pertama Johor hanya hadir pada minit ke-37 menerusi jaringan Mohd. Khairul Ismail, hasil hantaran lintang Mohd. Alif Mohd. Yusof.

Anak-anak buah Azmi Mohamad sebelum itu mempunyai beberapa peluang, namun percubaan terbaik daripada pemain import, Juan Muriel Orlando pada minit ke-20 berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Muhd. Nor Haziq Mohd. Aris manakala percubaannya tiga minit kemudian sekadar melepasi gawang.
Pada babak kedua, skuad Harimau Selatan terus menggandakan asakan, namun gol kedua hanya diperoleh pada minit-minit terakhir perlawanan apabila kapten pasukan, Mohd. Farid Ramli membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti.

UiTM yang tewas dalam semua perlawanan terdahulu turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58, namun tandukan Muhammad Afham Zulkipeli berjaya ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Mohd. Fazli Paat.

Dengan kemenangan itu, Johor kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan apabila seri tanpa jaringan menentang Sime Darby, menang 2-0 menentang NS Betaria, membelasah Kuala Lumpur 5-1 dan tewas 1-2 kepada Kedah sebelum ini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM kekal menerajui Liga Premier meskipun sekadar seri 1-1 dengan Pos Malaysia.

Sime Darby pula sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium MP Selayang manakala Perlis tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Di Stadium KLFA, Cheras, NS Betaria melakar kemenangan sulung musim ini apa- bila menewaskan KL SPA dengan keputu- san 3-2.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my