Memaparkan catatan dengan label Anzalna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anzalna. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Disember 2012

Adrea benci lelaki miang


Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Beberapa adegan lakonan Adrea dalam filem Kahwin 5, salah satu daripadanya babak di atas katil bersama Shy8.
 
SEMALAM filem Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions mula menemui peminat di sekitar 70 buah pawagam seluruh tanah air. Filem arahan Nizam Zakaria itu dibintangi oleh Shy8 atau Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian P.Ramlee, Adrea Abdullah, Norish Karman, Marsha Milan, Anzalna Nasir dan Soffi Jikan.
Antara watak yang menonjol dalam Kahwin 5 adalah Sahara lakonan Adrea yang merupakan isteri kedua kepada Dr. K, yang dilakonkan oleh Shy8.

Menariknya, Sahara bukan sahaja garang tetapi pekat dengan dialek Kelantan kerana wanita itu ditemui Dr. K sewaktu menjual tupperware di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Pembawa watak Sahara adalah Adrea dan dia tidak mempunyai masalah untuk bertutur dialek Kelantan kerana dia memang berasal dari negeri itu.

Menurut Adrea atau nama sebenarnya Nik Adrea Nik Abdullah, dia memilih untuk berlakon Kahwin 5 kerana jalan ceritanya yang menarik, lucu dan berkisarkan tentang realiti.

Bagaimanapun kata Adrea, dia amat malu ketika melakonkan adegan atas katil dengan Usop Wilcha walaupun ini adalah filem ke lima lakonannya.

“Sumpah Adrea malu! Segan sangat! Tapi nasib baik Adrea dapat padamkan rasa malu ketika rakaman adegan itu, kalau tidak pasti tak menjadi babak itu.

“Apa pun Adrea bernasib baik sebab abang Usop profesional orangnya. Dia tak menganggu fokus Adrea untuk menghidupkan karakter Sahara dan menggambarkan keadaan mereka sebagai suami isteri ketika itu," katanya mengulas adegan yang tampak menggoda itu.

Kata Adrea, dia bukanlah jenis yang berani untuk melakonkan adegan daring namun bersetuju untuk filem Kahwin 5 kerana watak Sahara yang pelbagai.

“Realitinya Adrea memang takut untuk melakonkan adegan berani kerana Adrea tidak mahu dianggap sebagai pelakon yang bukan-bukan pula. 

“Selalunya Adrea akan tapis dulu sebelum buat keputusan untuk memilih watak yang ada unsur-unsur panas, tapi kalau boleh elak mesti elak. 

“Lagipun Adrea ini pelakon serius. Adrea tidak mahu mencari glamor murahan dengan menerima watak yang tak mencabar dan tidak membantu Adrea untuk membina nama sebagai pelakon. Untuk watak Sahara itu ada sebabnya kenapa Adrea terima," jelasnya.

Tambah Adrea, dia bersetuju untuk berlakon Kahwin 5 bukan kerana ia filem komedi semata-mata tapi kerana filem itu sarat dengan mesej. 

“Kahwin 5 bukan sekadar komedi tetapi memaparkan masalah yang logik dan sering berlaku dalam kehidupan seharian. Banyak mesej positif yang dapat diambil biarpun cara penyampaian dalam bentuk lawak.

“Saya suka bekerja dengan Nizam kerana dia seorang pengarah yang senang untuk diajak berbincang dan sering memberi kebebasan kepada pelakon untuk melakonkan watak mengikut pendekatan masing-masing," katanya.

Menyentuh mengenai watak Sahara yang ada ketikanya garang macam harimau itu katanya, tidak ada kena mengena dengan peribadi dan semua itu hanyalah lakonan.

Lagipun watak Sahara yang digambarkan dalam Kahwin 5 adalah isteri kedua yang suka cakap kuat-kuat apabila marah pada Dr. K.

“Adrea bukan jenis yang suka cari gaduh kerana saya seorang yang tenang. Kalau Sahara marah, dia terus sembur tapi Adrea pula lebih senang mendiamkan diri kalau sedang marah.
“Sahara mencabar Adrea kerana perlu melakonkan watak itu melucukan walaupun dalam keadaan manja atau garang.

“Kalau zaman sekolah dulu, mungkin watak Sahara itu ada pada diri Adrea. Cepat panas baran kerana Adrea dulu tomboy, tapi bukan pengkid ya kerana Adrea ada teman lelaki. Tapi cabaran Adrea ialah untuk membuat watak itu melucukan walaupun dlm keadaan manja atau garang," ceritanya.

Sebelum ini Adrea pernah berlakon filem Sh3, Dua Alam, CE1, Abuya dan Hantu Tok Mudim yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. 

Selain itu dia juga muncul dalam filem Sifu dan Tongga serta Omni versus Ponti.

“Setakat ini alhamdulillah, tawaran berlakon tidak henti-henti baik filem atau drama. Antara drama yang orang ingat kemunculan Adrea adalah Elly dan Epit serta 7 Gerhana," katanya yang idamkan watak seperti Jennifer Garner dalam drama Alias.

Sudah ada teman 
Baru-baru ini di laman sosial tersebar cerita kononnya Adrea berkawan dengan pengkid dan apabila soalan itu diaju, dia hanya ketawa mendengarnya.

“Kelakarnya... Adrea ada teman lelaki lah. Alhamdulillah. Tapi boyfriend Adrea selalu sibuk. Dia yang nak Adrea ada pembantu peribadi (PA) sebenarnya untuk jaga Adrea. 

“Teman lelaki Adrea risau melihat Adrea yang kadang-kadang balik sendiri pada waktu malam dan memandu dalam keadaan penat. 

“Apabila ada pembantu peribadi, orang tak mengatal dengan Adrea sangat, sebab ada body guard katanya," tangkis Adrea tentang dakwaan dia berkasih dengan pengkid.

Tambah Adrea, yang dimaksudkan itu adalah PA dan sekali gus kawan rapatnya yang sudah dikenali sejak lapan tahun lalu dan sudah dianggap seperti adik sendiri. 

“Dari zaman sekolah Adrea ramai kawan. Macam-macam jenis ada. Adrea tak kisah siapa mereka, jadi mereka ikhlas dan jujur sebagai kawan dan tak mengambil kesempatan sudah. 

“Adrea bukan jenis yang suka menilai orang. Asal mereka baik dan sudi berkawan itu sudah memadai. Kebanyakan kawan-kawan Adrea dikenali keluarga," katanya.
Ibu tunggal

Berkenaan dengan status diri, sejujurnya Adrea memilih untuk lebih terbuka. Malah, dia mengakui sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga tetapi jodohnya tidak lama.
Hari ini, dia sedang mengayam cinta dengan seorang jejaka yang diharap mampu membawanya ke jinjang pelamin sekali lagi. 

“Memang saya pernah berkahwin, namun sayangnya jodoh tak lama.
“Dugaan Allah Adrea terima dengan penuh reda dan tabah melaluinya. Adrea juga bersyukur kerana ada seorang anak lelaki yang menjadi kekuatan dan penyeri hidup Adrea. 

“Kini hati Adrea sudah dimiliki. Dia cuma orang biasa bukan dari kalangan artis. Doalah dia yang terakhir untuk Adrea. Insya-Allah. Kita mampu merancang hanya tuhan menentukan," ujarnya.

Rabu, 26 Disember 2012

Kahwin 5 tiada dialog lucah

 
TENAGA lakonan utama filem Kahwin 5 diterajui oleh Usop Wilcha.

http://kakibola.forumado.net/t1242-kahwin-5-tiada-dialog-lucah#1786


FILEM tempatan hanya untuk tontonan penonton berumur 18 tahun ke atas. Itu fakta utama filem berjudul Kahwin 5. Ia mengisahkan tentang seorang usahawan kaya bernama Dr. K yang telah berkahwin empat orang dan secara tidak langsung terlibat dengan komplot seorang gadis bernama Fara yang memaksanya untuk berkahwin lagi seorang.

Apabila judulnya sudah memaparkan perkataan kahwin, sudah pasti isi kandungannya meliputi isu-isu berkaitan alam perkahwinan dan rumah tangga.
Konteks yang lebih jelas, tentunya akan ada dialog atau aksi yang memaparkan hubungan intim atau romantis antara suami dan isteri.

Disebabkan itu, klasifikasi filem Kahwin 5 juga diletakkan di bawah 18sx iaitu untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Menjawab mengenai keberanian mempertaruhkan sebuah filem tempatan berbahasa Melayu yang adakalanya dilihat melanggar norma penonton di Malaysia, kata pengarahnya, Nizam Zakaria, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan selepas ini.

"Saya akan menjawab sejujur mungkin dan bertanggungjawab atas tindakan ini. Mengambil kira pandangan pengkarya sebelum ini, saya berpegang pada prinsip jika kita tidak berani mencetuskan polemik janganlah berani berkarya kerana dari situ datangnya idea," jelasnya yang ditemui ketika tayangan perdana filem Kahwin 5 di Cineleisure, E@Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini. 

Tambah Nizam, dia tidak melihat klasifikasi yang diberikan untuk filem kedua arahannya itu sebagai masalah atau suatu isu yang perlu diperbesarkan.

"Sasaran saya adalah penonton golongan dewasa yang merasakan diri mereka terpinggir apabila kita selalu menerbitkan filem-filem yang fokusnya hanya untuk golongan remaja sahaja.

"Saya tidak pernah fikirkan filem arahan saya untuk mendapat pulangan berlipat kali ganda atau dialog yang bersifat kontroversi, asalkan mampu menghiburkan penonton yang membeli tiket wayang," katanya yang kecewa dengan lambakan filem bercorak klise di pasaran semasa tempatan.

Katanya, pelakon dan penerbit telah bersetuju mengenai skrip dan aksi yang terkandung dalam Kahwin 5 sebelum memulakan penggambaran sekitar awal tahun ini.
ANZALNA (kanan) dan Marsha merupakan antara pelakon watak penting filem Kahwin 5.


Biarpun tiada dialog yang secara langsung menyebut perkataan lucah atau terlalu sensitif, masih ada antara dialognya terkandung mesej dwi makna.

Jelas Nizam, kebanyakan dialog yang dituturkan oleh barisan pelakon Kahwin 5 bersifat tokok tambah walaupun tiada dalam skrip agar babak tidak terlalu kaku dan mendatar.
"Kalau kita letakkan kekangan dalam karya seni, sudah pasti daya kreativiti kita akan tersekat dan mesej tidak sampai kepada penonton. Jadi saya berikan kebebasan kepada para pelakon untuk mempersembahkan hasil terbaik. Sefaham saya tiada langsung dialog lucah yang dituturkan dalam filem Kahwin 5," ujar Nizam lagi.

Menyokong hujah yang diberikan Nizam, kata Norish Karman yang merupakan salah seorang pendukung watak utama filem itu, Kahwin 5 merangsang orang luar untuk melihat mutu kerja pengkarya tempatan.
"Tidak perlu timbul isu 18sx kerana filem ini dikhususkan untuk golongan ibu bapa yang akan masuk ke pawagam untuk menonton tanpa anak-anak dan pulang ke rumah menceritakan semula kepada anak-anak mereka," celahnya.

Menarik mengenai filem Kahwin 5, pengarahnya turut mengetengahkan empat dialek berbeza dari negeri Kelantan, Perak, Sabah dan Negeri Sembilan bagi memperlihatkan kepelbagaian.
Kahwin 5 menampilkan barisan pelakon seperti Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Sofi Jikan, Anzalna Nasir, Dian P.Ramlee, Adrea Abdullah, Norish Karman dan Marsha Milan Londoh.
Filem terbitan Showbiz Productions itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini, 27 Disember 2012. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my