Memaparkan catatan dengan label Datuk K Rajagobal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk K Rajagobal. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Oktober 2013

Pening lagi!

Mohd Fitrie Muhamad | mfitrie@bh.com.my 
Berita Harian 
 
Pening lagi!
Rajagobal gelisah kecederaan tonggak Harimau sebelum temu Bahrain

Kuala Lumpur: Berbaki dua hari sebelum perlawanan penting Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, Selasa ini jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal terus dihantui dengan masalah kecederaan pemain.

Selepas kehilangan khidmat Nik Shahrul Azim Ab Halim di posisi pertahanan, Rajagobal sekali lagi pening kepala apabila seorang lagi tonggak benteng Mahalli Jasuli disahkan cedera pangkal paha ketika latihan petang kelmarin.
“Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Razak sudah kembali menjalani latihan dan mereka tidak menunjukkan kecederaan yang serius. Tetapi saya perlu lihat perkembangan mereka pada sesi latihan hari ini (semalam).



Mahalli pasrah


“Ini berita baik buat pasukan tetapi tadi saya dimaklumkan Mahalli pula cedera dan doktor menasihatkan supaya dia berehat. Tetapi saya yakin Mahalli akan dapat kembali menyertai pasukan dan diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain,” katanya pada sesi latihan semalam.

Sementara itu, Mahalli yang ditemui jelas pasrah dengan kecederaan yang melanda dirinya, tetapi menaruh harapan untuk kembali menyertai pasukan.
“Kecederaan ini tidak membolehkan saya menyertai latihan. Saya tidak pasti tahap kecederaan ini, tetapi doktor suruh saya berehat untuk latihan hari ini (semalam) dan esok (hari ini).

“Kalau lepas itu masih ada rasa sakit, saya terpaksa lupakan hasrat untuk beraksi pada perlawanan menentang Bahrain. Namun, saya berdoa dan berharap dapat pulih segera sekali gus beraksi dalam perlawanan itu,” katanya.

Rabu, 2 Oktober 2013

Rajagobal tenang hadapi musibah


BARISAN pelatih Harimau Malaya mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (gambar kecil) tidak rela lagi kehilangan khidmat tonggak utama menjelang aksi menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Terdahulu, Rajagobal kehilangan tiga pemain – Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas dan Azamud- din Akil – yang ditimpa masalah kecederaan.

Justeru Rajagobal berkata, beliau akan cuba mencari pengganti tempat Wan Zack yang dijangka berehat sekurang-kurangnya enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan.

“Sebelum ini, Fadhli mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) dan terbaharu, Wan Zack pula ditimpa kecederaan ACL.

“Sudah tentu ia mengganggu perancangan pasukan selepas kehilangan dua tonggak utama ini.
“Namun, saya kena fikir pemain mana mampu menggantikan tempat mereka pada perlawanan menentang Bahrain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal berkata, beliau juga masih memantau perkembangan Azamuddin yang dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha.

“Kita masih ada Khyril (Muhymeen Zambri), Fakri Saaraani dan saya akan tengok siapa yang sesuai ganti (tempat) Wan Zack. 

“Saya mahu bagi kelonggaran kepada pemain-pemain (beraksi pada suku akhir Piala Malaysia) kerana saya tidak mahu lagi kehilangan pemain utama.

“Sebaik mereka kembali bersama pasukan, baru saya akan lihat siapa yang mampu beraksi menentang Bahrain nanti,” tambahnya.

Ketika ini, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pelatih bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya.

Ini kerana 17 lagi pemain masih mempunyai tugasan bersama pasukan masing-masing bagi mengharungi aksi suku akhir Piala Malaysia.

Ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk mengadakan latihan bersama skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee, Rajagobal memberitahu: “Saya ada cara tersendiri untuk mengatasi situasi tersebut.

“Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pasukan. Bukan kita tidak mahu main (dengan Harimau Muda) tetapi saya ada perancangan tersendiri.

“Kecederaan bila-bila masa boleh berlaku. Saya tidak mahu gangguan kepada para pemain dan cukuplah latihan ini buat sementara.”

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 17 September 2013

Troussier pengganti Rajagobal?


JAWATAN ketua jurulatih Harimau Malaya kembali hangat diperkatakan apabila bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier dilapor semakin hampir mengambil alih tempat Datuk K. Rajagobal.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memujuk Troussier, 58, untuk mengemudi skuad Harimau Malaya dengan menawarkan gaji bulanan sebanyak AS$18,000 (RM59,000).

Begitupun, Troussier dikatakan hanya akan menerima jawatan itu jika ditawarkan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) yang menyaksikan dia bakal meraih gaji bulanan berjumlah AS$126,805 (RM416,000).

Begitupun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu sambil memberitahu: "Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan enggan memberikan komen lanjut.

"Senarai (permohonan jurulatih) terus bertambah (dan) sehingga kini, kami telah menerima 37 permohonan yang mana semakin ramai berminat membuatkan kita rasa gembira.

"Namun ingin saya tegaskan, itu adalah hak jurulatih yang berminat untuk menghantar permohonan," kata Hamidin pada sidang akhbar selepas Kursus Persediaan Fizikal Jurulatih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Masa depan Rajagobal terus menjadi tanda tanya apabila FAM dilapor telah menerima 30 permohonan daripada pengendali tempatan mahupun luar negara yang berminat untuk mengambil alih skuad Harimau Malaya.

Antara nama-nama yang disebut sebagai pengganti Rajagobal ialah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan juga bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan.

Rajagobal kini masih mempunyai tugasan bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Beliau yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Disember depan diletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan membantu Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015. 

Hamidin menegaskan, buat masa ini FAM belum memberi kata putus mengenai masa depan Rajagobal yang berkemungkinan akan dilanjutkan kontraknya jika beliau berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.

"Sebenarnya, FAM tidak pernah membuka jawatan ini (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan mungkin ramai (jurulatih) telah mengetahui bahawa kontrak Rajagobal akan tamat pada 31 Disember depan.

"Oleh sebab itu, mereka yang terdiri dari jurulatih tempatan mahupun luar negara telah menghantar surat permohonan tersebut tetapi FAM akan menilai terlebih dahulu dan belum membuat sebarang keputusan.

"Ini kerana perlawanan terakhir menentang Yemen bakal menjadi penentu nasib Harimau Malaya dalam pentas Piala Asia, selepas itu baru FAM akan tampil membuat satu kenyataan sama ada mahu melanjutkan kontrak Rajagobal atau sebaliknya.

"Semua ini adalah hak FAM sebagai majikan dan kami akan menentukan apabila tiba masanya. Buat masa ini, KPI Rajagobal adalah layak ke Piala Asia," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Sultan Ahmad cabar Kim Swee, Raja menangi baki kejohanan

Kuala Lumpur: Sultan Ahmad Shah melontarkan cabaran kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjelang dua kejohanan penting hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mahu anak buah Rajagobal memenangi semua baki perlawanan dalam Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Asia 2015 yang akan bermula Oktober ini, sekali gus mara ke pusingan akhir di Australia.

“Apa jua yang berlaku sekalipun, skuad negara perlu menang dalam dua baki perlawanan (menentang Bahrain dan Qatar) selepas ini sekali gus mara ke pusingan akhir,” kata Sultan Ahmad Shah ketika berucap menyempurnakan Kongres Tahunan FAM ke-49 di Hotel Royal Chulan, di sini semalam.


Selepas dua perlawanan, skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata, hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dan tewas 0-2 di tangan Qatar.

Anak buah Rajagobal akan meneruskan kempen kali ini dengan melayan kunjungan Bahrain di Stadium Shah Alam 19 Oktober ini sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Bahrain untuk aksi kedua pada 15 November.

Malaysia berdepan aksi kedua menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada 19 November sebelum menutup tirai kempen berdepan Yemen pada 5 Mac.

Sementara itu, bagi Kim Swee, beliau tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut apabila edisi 201 temasya dwitahunan itu berlangsung di Myanmar Disember ini seperti sasaran ditetapkan Sultan Ahmad Shah.
Malaysia berjaya memenangi emas ketika edisi 2009 di Laos ketika skuad negara dikendalikan Rajagobal sebelum Kim Swee mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Indonesia.

Isnin, 5 Ogos 2013

Rajagobal harus terima hakikat



RAJAGOBAL (kiri) memerlukan keajaiban bagi memulihkan semula reputasi Harimau Malaya yang makin tercalar.


‘TARIKH luput’ Datuk K. Rajagobal sebagai pengendali Harimau Malaya dilihat semakin hampir menjelang 31 Disember depan.

Ketika ini, hanya slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia sahaja dilihat satu-satunya ‘talian hayat’ bagi pengendali berusia 57 tahun itu untuk terus mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Jika gagal, Rajagobal sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ gara-gara tidak melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Bagi pengkritik bola sepak tempatan, Rizal Hashim, beliau berharap Rajagobal bersedia menerima hakikat jika ‘jodoh’ beliau sebagai pengendali Harimau Malaya akhirnya terlerai penghujung tahun ini.

“Ini lumrah dalam bola sepak. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah.
“Beliau sudah bergelar Datuk dan berjaya membantu negara mendakap trofi Piala Suzuki AFF dan emas temasya Sukan SEA.

“Sudah tiba masanya beliau kena terima hakikat jika kontraknya tidak lagi disambung.
“Saya juga percaya Rajagobal cukup profesional melaksanakan tanggungjawabnya mengendalikan Harimau Malaya sehingga kontraknya tamat 31 Disember depan,” kata Rizal kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Rizal juga mempertahankan pendedahan awal Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung masa depan Rajagobal baru-baru ini.

“Ia satu perkara yang normal... tiga bulan sebelum kontrak mana-mana jurulatih tamat, beliau perlu dimaklumkan supaya jurulatih tersebut mencari hala tuju termasuk pasukan baharu selepas ini.
“Saya tidak menganggap pengumuman itu menyebabkan Rajagobal bersikap ‘lepas tangan’ bagi menghadapi baki saingan kempen kelayakan Piala Asia.

“Tidak mustahil ia dianggap satu cabaran buat beliau memberikan yang terbaik pada ‘masa kecederaan’,” katanya.

Dalam pada itu, Rizal turut menggesa FAM supaya segera mencari pengganti Rajagobal sekiranya kontrak jurulatih itu tidak disambung selepas ini.

“Ini kerana masih ada satu lagi baki aksi kelayakan Piala Asia berdepan Yemen (5 Mac 2014).
“Bagi saya, sudah tiba masanya skuad kebangsaan kembali dikendalikan jurulatih asing selepas kali terakhir diterajui Bertalan Bicskei (2004-2005) sebelum ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

'Hentikan spekulasi'

Oleh Syed Riduan Ahmad 
'Hentikan spekulasi'
Kuala Lumpur: Ong Kim Swee bersuara tegas betapa dia tidak mahu namanya dikaitkan dengan jawatan panas selaku ketua jurulatih kebangsaan sambil menjelaskan masih ada misi penting yang belum diselesaikan bersama skuad Harimau Muda.

Cukup-cukuplah spekulasi, saya mahu tumpu kepada misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar kerana itu adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya, kata Kim Swee merujuk kepada laporan BH Sukan semalam yang melaporkan namanya ada dicadangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Datuk K Rajagobal.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Sudah tiba masanya



RAJAGOBAL (dua dari kanan) dikecam hebat selepas Harimau Malaya dibelasah kelab Jepun baru-baru ini.


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh memberikan saranan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melantik individu yang benar-benar memahami Liga Malaysia (Liga M) sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu.

Shukor berkata, kemerosotan prestasi skuad negara berpunca daripada pendekatan pengendali ketika ini, Datuk K. Rajagobal yang lebih gemar menguji para pemain.

Situasi itu antara faktor menyebabkan Harimau Malaya gagal memberikan persembahan yang menyakinkan.

Bekas pemain Pulau Pinang itu berkata, sudah tiba masanya FAM menilai latar belakang calon-calon yang akan menggantikan Rajagobal yang tidak akan disambung kontrak pada Disember depan.
Jelasnya, persefahaman antara jurulatih dan pemain sangat penting demi menjamin kesinambungan persembahan skuad negara pada masa akan datang.

"Kenapa nak uji pemain? Adakah Rajagobal masih belum arif dengan pemain-pemain yang beraksi di Liga M?

"Adakah dia turun padang dengan menyaksikan perlawanan liga-liga tempatan? Sebenarnya, perkara ini telah banyak menimbulkan persoalan kepada pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat Harimau Malaya.

"Pada pendapat saya, sudah tiba masanya FAM mencari individu yang betul-betul arif dengan Liga M. Bukan sahaja senang untuk berkomunikasi dengan para pemain tetapi ia turut memudahkan jurulatih membuat perancangan yang lebih teliti.

"Jangan pula mengambil alasan prestasi jatuh disebabkan bulan Ramadhan, pada hal beliau sendiri yang merancang perlawanan persahabatan ini di Jepun dan persoalan saya, adakah skuad negara asyik menang selain beraksi di bulan puasa?

"Carilah jurulatih yang berkaliber, merendah diri dan sentiasa mendengar pandangan orang lain. Tidak kisah sama ada jurulatih tempatan mahupun import, asalkan mereka arif dengan perjalanan Liga M," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, skuad kendalian Rajagabol dikritik hebat selepas sekadar memenangi dua perlawanan dan satu seri sepanjang 13 aksi pemanas badan antarabangsa sejak 1 Februari lalu.

Harimau Malaya mencatat tiga kekalahan ketika berdepan Shimizu S Pulse (0-2), Shonan Bellmare (0-5) dan Tokyo Verdy (0-5) dalam siri perlawanan persahabatan di bumi Jepun sejak 23 Julai lalu.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak berpuas hati dengan prestasi itu mengesahkan, pihaknya telah bersetuju untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali berusia 57 tahun itu dan kini sedang mengintai calon-calon berpotensi sebagai pengganti Rajagobal.
Rajagobal masih diberikan kepercayaan oleh FAM dalam usaha meneruskan baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 sehingga kontraknya tamat pada Disember ini.

Dalam perkembangan sama, Shukor menegaskan, semua pihak tidak boleh menuding jari terhadap Rajagobal di atas prestasi hambar tersebut.

"Tidak adil untuk mengatakan semua ini berpunca dari Rajagobal tetapi pemain juga harus dipersalahkan.

"Namun, beliau sendiri yang memilih pemain-pemain dan saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan nasihat kepada pemain generasi kini.

"Sudah tiba masanya mereka mengubah mentaliti untuk beraksi dengan lebih baik," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 2 Ogos 2013

Kekal bimbing Harimau Malaya



TENGKU ABDULLAH (kanan) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memberi peluang kepada Datuk K. Rajagobal untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, jika penilaian dibuat berdasarkan kiraan merit, Rajagobal gagal mencapai markah yang ditetapkan badan induk itu.

Bagaimanapun, FAM masih ‘berlembut hati’ apabila membuat keputusan untuk mengekalkan khidmat pengendali berusia 57 tahun itu sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan.

“Memang sukar untuk mencari pengganti dalam masa terdekat dan kita perlu menyokong beliau (Rajagobal) untuk terus meniup semangat para pemain skuad Harimau Malaya.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mempersoalkan tentang pengguguran jawatannya kerana masa sangat singkat.

“Jadi kita perlu guna masa yang ada ini untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia pada Oktober nanti,” titah Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menerima beberapa calon yang memohon jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya dan pihaknya akan menapis secara terperinci individu terbabit sebelum membuat keputusan muktamad.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menegaskan bahawa para pemain juga perlu bermuhasabah diri serta menetapkan mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Selepas ini saya juga akan memastikan skuad negara hanya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Tengku Abdullah turut memberitahu, FAM akan mewujudkan dua jawatan baharu bagi memantapkan sistem pengurusan badan induk itu dengan memperkenalkan jawatan Pengarah Teknikal serta Pengarah Pembangunan.

“Dua jawatan tersebut amat penting dalam aspek pembangunan pemain-pemain belia serta menguruskan pelbagai urusan rasmi skuad Harimau Malaya selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, prestasi Rajagobal akan dinilai berdasarkan Indeks Penilaian Pencapaian (KPI) yang telah ditetapkan FAM dan jika baik, kemungkinan kontraknya akan disambung

“Seandainya keputusannya gagal, maka kemungkinan beliau akan ditamatkan kontrak, namun saya berpendapat ia bergantung kepada pencapaiannya pada kempen kelayakan Piala Asia 2015.
“Buat masa ini, kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat denegan apa yang mampu dilakukannya untuk memulihkan keadaan,” jelas Khairy.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 1 Ogos 2013

'Jangan ganggu bidang tugas saya'


RAJAGOBAL dikerumuni pemberita sebaik skuad Harimau Malaya tiba di KLIA, Sepang petang semalam.


DATUK K. Rajagobal tidak peduli dengan desakan sesetengah pihak agar beliau meletak jawatan sebagai pengendali skuad bola sepak Harimau Malaya.

Ini kerana pengendali berusia 57 tahun itu akan terus membimbing skuad tersebut sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan.

Ternyata kritikan daripada para pemerhati dan peminat bola sepak tempatan yang mendesak Rajagobal meletak jawatan gara-gara keputusan hambar skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini tidak menjejaskan fokus beliau.

Sebaliknya, Rajagobal turut menempelak para pengkritik yang disifatkannya sebagai tidak sabar-sabar menuntut beliau meletak jawatan gara-gara prestasi hambar Harimau Malaya.

"Saya tidak akan letak jawatan, kontrak saya hanya akan tamat pada 31 Disember depan.

"Selepas itu, terpulang kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sama ada mahu menyambung kontrak saya atau tidak.

"Mereka (pengkritik) bukannya ada di Jepun dan tidak melihat bagaimana anak-anak buah saya beraksi. Sekarang bulan Ramadan, jadi jangan tambah dosa dengan mengkritik yang bukan-bukan.
"Mereka sepatutnya jangan ganggu saya dan persiapan pasukan kerana kami mempunyai misi besar untuk dilaksanakan iaitu layak ke Piala Asia (2015) selain persiapan berdepan Barcelona (10 Ogos)," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam.

Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan, satu pencapaian yang cukup memalukan.

Pada masa sama, Rajagobal yang dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada 20 April 2009 turut dikecam hebat selepas gagal memperbaiki kedudukan skuad negara dalam ranking dunia apabila kini sekadar menghuni tangga ke-159.

Terbaharu, Harimau Malaya diaibkan di bumi Jepun apabila mengalami tiga kekalahan ketika menentang kelab dari negara Matahari Terbit itu.

Selepas tewas 0-5 kepada Shonan Bellmare, Harimau Malaya tumbang 0-2 ketika menentang Shimizu S Pulse sebelum dimalukan kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy dengan kekalahan 0-5 kelmarin.

Meskipun dilihat 'sudah terlambat', Rajagobal mengakui perlu meneliti semula mana-mana aksi persahabatan jika ia berlangsung pada bulan Ramadan selepas ini.

"Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi pemain tampak kepenatan apabila terpaksa beraksi pada siang hari di bulan Ramadan sehingga sering membuat kesilapan mudah," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada kritikan demi kritikan sedemikian seolah-olah tidak mengenang jasa beliau selama ini, jelas Rajagobal: "Jangan tanya saya. Tanya orang ramai. Mereka tahu siapa yang membantu negara menamatkan kemarau selama 20 tahun bagi meraih pingat emas Sukan SEA."

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 31 Julai 2013

Apa nasib Rajagobal?


RAJAGOBAL (kiri) berdepan tekanan khususnya daripada pemerhati dan peminat bola sepak tempatan.


SPEKULASI tentang masa depan Datuk K. Rajagobal, sama ada beliau akan terus membimbing skuad Harimau Malaya atau sebaliknya bakal diketahui hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membuat keputusan mengenai masa depan ‘Raja Eksperimen’ itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Biarpun ramai menjangkakan bahawa Rajagobal akan terus membimbing Harimau Malaya, namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika pengendali berusia 57 tahun itu diarah meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Prestasi buruk skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini menjadi antara punca isu pemecatan Rajagobal mula timbul dan dibangkitkan oleh pengkritik, pemerhati mahu pun peminat bola sepak tempatan.

Semalam, anak-anak buah Rajagobal seakan-akan sengaja mahu menampah ‘bala’ apabila diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy.

Sebelum itu, Harimau Malaya tewas kepada dua kelab Divisyen Satu Liga Jepun iaitu Shonan Bellmare (0-5) dan Shimizu S Pulse (0-2).

Ketika diminta reaksi berhubung kekalahan ketiga Harimau Malaya di bumi Jepun semalam, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata: “Saya tak mahu komen. Tunggu sahaja kejutan esok (hari ini).”

Sejak beberapa bulan lalu, kalangan pemerhati dan peminat Harimau Malaya sudah hilang sabar dengan prestasi merudum Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat atau berundur secara terhormat.

Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan - satu rekod yang cukup memalukan.

Dua kemenangan itu direkodkan ketika Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu dan menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada aksi persahabatan bulan lalu.

Pada masa sama, Rajagobal turut dikecam hebat selepas skuad Harimau Malaya gagal memperbaiki kedudukan lebih baik dalam ranking dunia apabila kini menghuni tangga ke-159.

Harimau Malaya dijangka tiba ke ibu negara hari ini selepas ‘berguru’ hampir dua minggu di Jepun sebelum mereka dijadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil 10 Ogos depan.

Selepas menentang The Catalan, anak-anak buah Rajagobal bertemu China dalam satu lagi aksi persahabatan pada 10 September sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Raja Eksperimen' gagal



SKUAD Harimau Malaya terus dikecam ekoran prestasi hambar dalam aksi persahabatan di Jepun.


EKSPERIMEN ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ternyata tidak menjadi sepanjang hampir dua minggu anak-anak buahnya ‘berguru’ di Jepun.

Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan di negara Matahari Terbit itu membuktikan betapa skuad kendalian Rajagobal tiada lagi taring sebenar.

Selepas tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse, anak-anak buah Rajagobal terus longlai apabila dibelasah 0-5, masing-masing kepada Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

Situasi itu sudah pasti memberi tekanan kepada Rajagobal bagi merencana strategi terbaik menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang akan kembali berlangsung Oktober depan.

Sebelum berlepas ke Jepun, prestasi Harimau Malaya sudah menjadi perdebatan dalam kalangan pemerhati dan peminat bola sepak tanah air.

Tatkala kedudukan mereka dalam ranking dunia sekali lagi menjadi persoalan, keputusan hambar yang dicatat Harimau Malaya dalam 10 perlawanan (kelayakan Piala Asia 2012, aksi persahabatan dan perlawanan ujian) terus diperkatakan.

Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Shukor Salleh, beliau menggesa Rajagobal mencari satu jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kepincangan prestasi Harimau Malaya.

“Kita kena jaga imej negara. Kalau main dengan pasukan kuat dalam perlawanan kelas A, jangan sesekali cari masalah dengan menguji pemain.

“Bila kita kalah dan imej kita akan sedikit tercalar, lebih-lebih lagi apabila kita tewas besar kepada pasukan berstatus kelab.

“Saya tahu Rajagobal seorang jurulatih yang hebat tetapi pada masa sama, kejayaan lalu tidak boleh lagi dijadikan sebagai penanda aras.

“Nasihat saya, beliau tidak boleh lagi bereskperimen pada perlawanan-perlawanan penting sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia nanti,” kata Shukor ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dali Omar turut bersetuju pandangan Shukor.

Dali berkata, Harimau Malaya akan kekal statik sekiranya Rajagobal masih mengambil pendekatan yang sama untuk menghadapi perlawanan akan datang.

“Kita bukan tiada pemain yang boleh diketengahkan tetapi jika pendekatan eksperimen berterusan, bagaimana kita hendak melihat kemampuan setiap pemain dalam tempoh jangka panjang.

“Saya berpendapat, kita sudah terlambat untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana kita tidak mempunyai banyak masa sebelum saingan kelayakan Piala Asia kembali bersambung.

“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang mengatakan ranking itu tidak penting dan pendirian itu harus kita perbaiki terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 30 Julai 2013

'Beri Rajagobal peluang'


BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad berpendapat Datuk K. Rajagobal harus diberi peluang membimbing skuad Harimau Malaya sehingga berakhirya kempen kelayakan Piala Asia 2015 tahun depan.

Ibrahim berkata, tindakan untuk memecat Rajagobal, 57, bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan prestasi merudum skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, Ibrahim menjelaskan bahawa Rajagobal dan anak-anak buahnya harus mengembalikan semula keyakinan serta kepercayaan peminat tempatan.

"Caranya ialah meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilalui termasuk aksi persahabatan.

"Saya fikir Rajagobal masih belum terlambat tetapi kali ini, beliau harus mendengar pendapat dan pandangan daripada 'orang-orang lama' serta bekas pemain kebangsaan.

"Saya lihat pendekatan itu tidak akan merugikan Rajagobal, malah beliau akan mendapat input tambahan dan berguna bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap.

"Secara peribadi, saya berasakan bahawa Rajagobal harus diberi peluang, sekurang-kurangnya hingga tamat kelayakan Piala Asia nanti," jelas Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan seakan-akan sudah hilang sabar dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat.

Semuanya gara-gara keputusan buruk yang dilakar oleh anak-anak buah Rajagobal yang menyaksikan mereka sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 12 perlawanan yang diharungi tahun ini.

Selain meraih kemenangan 2-1 ke atas Yemen dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu, Harimau Malaya menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada perlawanan persahabatan bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, Rajagobal tidak perlu 'berdendam' dengan setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya dan skuad Harimau Malaya.

"Rajagobal tidak boleh berkecil hati, sudah menjadi perkara biasa seseorang jurulatih dihentam atau dikritik.

"Kita beri peluang dahulu kepada Rajagobal untuk meneruskan perancangannya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015. 

"Harap peminat dapat bersabar kerana pertukaran jurulatih belum tentu dapat memperbaiki prestasi skuad negara dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 29 Julai 2013

Masa untuk Rajagobal berundur


RAJAGOBAL (kanan) dikritik hebat selepas Harimau Malaya dibelasah 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare pada Sabtu lalu.


SITUASI Harimau Malaya semakin kritikal selepas mempamerkan persembahan tidak menentu sepanjang mengharungi siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 23 Julai lalu.

Ramai pemerhati menganggap rekod dua kemenangan daripada 12 perlawanan persahabatan di pentas antarabangsa itu tidak dapat memberikan satu keputusan yang positif buat skuad negara.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare Sabtu lalu.

Kekalahan itu tidak dapat membendung kemarahan khususnya dalam kalangan peminat-peminat Harimau Malaya.

Rajagobal turut dikecam hebat selepas ranking skuad negara statik di tangga ke-159 dunia kerana Harimau Malaya lebih berminat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan berstatus kelab.
Ramai pengkritik menganggap tindakan tepat untuk menyelamatkan maruah skuad negara ialah dengan memecat Rajagobal yang cukup sinonim dengan pendekatan mahu menguji pemain atau bereksperimen.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) berkata beliau menganggap tindakan untuk memecat Rajagobal bukan satu jalan penyelesaian tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh menilai keupayaan bekas jurulatih Selangor itu.

"Saya rasa, prestasi pasukan negara selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak mampu bertahan sehingga sekarang.

"Rajagobal dilihat semakin 'kuat' biarpun beliau sering menerima kritikan dan pandangan sinis daripada bekas-bekas pemain serta jurulatih kebangsaan.

"Pecat jurulatih bukan satu titik noktah atau sesuatu yang baik buat pasukan tetapi pengurusan (FAM) perlu memandang serius terhadap teguran daripada pihak luar.

"Tidak hanya berminat untuk mencuba pemain bagi mewakili negara tetapi paling mustahak, beliau harus mengambil berat mengenai ranking skuad negara dan pandangan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM) serta Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Tengku Abdullah menggesa Rajagobal memantapkan skuad kendaliannya bagi menghadapi perlawanan penting termasuk menentang Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Baginda bertitah, ia bukan masa terbaik buat Rajagobal untuk terus menguji skuad kendaliannya selain mendesak Harimau Malaya mempamerkan persembahan lebih menyakinkan.

Sementara itu, pemain legenda Kelantan, Dali Omar tampil dengan nada berbeza apabila beliau menganggap jurulatih berusia 57 tahun itu telah kehabisan idea untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya.

"Kalau saya, sudah lama pecat (Rajagobal) dan perkara ini sepatut berlaku dua tahun lalu. Dulu beliau pernah berjanji nak letak jawatan secara sukarela.

"Saya sangat menyokong kenyataan Tengku Abdullah. Bagi saya, taktik Rajagobal sudah hancur. Jangan nak eksperimen lagi. Mungkin (kaedah) itu sesuai dengan budak sekolah sahaja," katanya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong penuh kenyataan Dali dengan menegaskan, Rajagobal perlu berundur dengan cara hormat.

"Rajagobal memang bagus tetapi beliau sudah sampai ke tahap tepu. Setiap orang ada batas dan tahapnya.

"Sejujurnya, beliau tidak boleh lagi untuk membimbing Harimau Malaya. Nasihat saya, berundurlah. Orang akan marah jika anda kekal lebih lama.
"Kita perlukan seseorang yang lebih baik," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rombak Harimau Malaya


RAJAGOBAL (tiga dari kanan) dikritik hebat selepas Harimau Malaya gagal mencatat keputusan yang positif sejak akhir-akhir ini.


SUDAH tiba masanya buat ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menilai tahap sebenar keupayaan skuad negara di pentas antarabangsa.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah berkata, pendekatan Rajagobal untuk menguji muka-muka baharu dalam skuad kebangsaan dianggap sudah tidak relevan.

Namat menyuarakan kenyataan lantang itu selepas skuad negara diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare kelmarin.

Bekas pemain Kedah itu menganggap, tindakan Rajagobal memakan diri sendiri apabila skuad kebangsaan terpaksa menanggung malu besar terutamanya diaibkan dengan kekalahan terbesar kepada pasukan Divisyen Satu Jepun itu.

Namat berkata, persembahan yang tidak konsisten ditambah dengan eksperimen terhadap pemain-pemain langsung tidak memberikan sebarang manfaat kepada Harimau Malaya.
“Senang cerita, tak payah uji pemain. Rombak satu pasukan.

“Jika inilah hasilnya untuk menguji pemain-pemain baharu tetapi skuad negara diaibkan dengan kekalahan besar, saya tidak menganggap ia sebagai satu pendedahan yang bagus.

“Sebaliknya, skuad negara dimalukan dengan pasukan bertaraf kelab. Saya tidak mahu campur dalam hal pengurusan Rajagobal tetapi lebih baik rombak sahaja skuad yang sedia ada.

“Berdasarkan persembahan yang tidak konsisten terutamanya menjelang kejohanan besar yang semakin hampir (kelayakan Piala Asia 2015), mereka semakin kesuntukan masa.

“Nasihat saya, Harimau Malaya harus bangkit dengan memberikan persembahan menyakinkan kepada peminat-peminat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Impian Harimau Malaya untuk memburu slot automatik pada kelayakan Piala Asia 2015 dijangka berdepan kesukaran selepas mempamerkan prestasi tidak menentu sepanjang mengharungi aksi pemanas badan.

Selain itu, kemarahan peminat-peminat juga tidak dapat dibendung lagi apabila skuad negara lebih cenderung untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan menentang pasukan bertaraf kelab berbanding skuad kebangsaan.

Sebelum ini, anak-anak buah Rajagobal telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Australia yang berkesudahan mereka tewas 2-3 kepada Canberra FC, menang 4-0 ke atas Sydney Olimpik dan kalah 2-0 dengan Marconi Stallions, Jun lalu.

Harimau Malaya turut seri tanpa jaringan ketika menentang kelab Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai lalu.

Untuk rekod, Harimau Malaya hanya menewaskan Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan dan Yemen 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 sepanjang 12 perlawanan sejak 1 Februari lalu.
Skuad negara yang tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse pada aksi pertama siri perlawanan persahabatan di Jepun sebelum dibelasah 0-5 oleh Shonan Bellmare akan melengkapkan aksi terakhir dengan menentang Tokyo Verdy, Rabu ini.

Skuad bimbingan Rajagobal akan bertemu Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan sebelum melayan kunjungan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos depan.

Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, Harimau Malaya kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D apabila berkongsi tiga mata dengan Bahrain (kedua) selepas tewas 0-2 kepada pendahulu, Qatar dan menang 2-1 terhadap pasukan tercorot, Yemen sepanjang dua perlawanan pertama.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 26 Julai 2013

Rajagobal masih bereksperimen



PEMAIN-PEMAIN Harimau Malaya perlu menampilkan aksi terbaik pada perlawanan menentang kelab Jepun, Shonan Bellmare hari ini.


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menyifatkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berminat untuk menguji kebolehan barisan pemainnya berbanding mencatat keputusan yang baik pada siri perlawanan persahabatan.

Shukor menyuarakan kebimbangan itu selepas skuad negara tewas 0-2 kepada pasukan Divisyen Satu Jepun, Shimizu S-Pulse kelmarin, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong-penyokong selepas menyaksikan prestasi tidak menentu di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Harimau Malaya sekadar memenangi satu perlawanan persahabatan ketika menewaskan kelab Australia, Marconi Stallions 4-0 dan ketika menundukkan Yemen 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam sepanjang 11 perlawanan antarabangsa.

Justeru, Shukor menganggap Rajagobal dilihat masih sedang menilai beberapa muka baharu Harimau Malaya untuk dijadikan sebagai pemain simpanan terbaik buat skuad negara.

Jelasnya, bekas pengendali Selangor itu hanya mengundang padah sekiranya gemar melakukan banyak pertukaran untuk menguji tahap kemampuan pemain berbanding mencari keputusan positif buat skuad negara.

“Rajagobal masih dalam mood eksperimen. Tidak salah untuk menguji tetapi anda juga perlu kenal kesebelasan utama.

“Jika dulu, skuad kebangsaan mengambil masa selama enam atau tujuh tahun untuk tukar pemain lain. Ini sebab mengapa pasukan dahulu memiliki persefahaman yang lebih mantap berbanding sekarang.

“Apa yang saya nampak adalah Rajagobal masih nak uji pemain. Mungkin beliau mahu mencari pemain gantian terbaik untuk pasukannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, legenda Pulau Pinang itu menggesa Harimau Malaya supaya tampil lebih serius ketika menghadapi perlawanan persahabatan.

Ini kerana Shukor menganggap ia adalah peluang terbaik buat Rajagobal untuk menilai kelemahan dan kekuatan ketika menentang kelab Divisyen Satu Jepun, Shonan Bellmare pada hari ini.

“Sekiranya Rajagobal tidak dapat (menilai) pemain, perlawanan persahabatan adalah medan terbaik untuk menguji kelemahan dan kekuatan pasukan kita.

“Paling mustahak, turunkan barisan terkuat ketika menentang pasukan ini (Shonan Bellmare) dan mungkin anda akan dapat rumusan untuk memperkemaskan pasukan dengan lebih baik.

“Kadang-kadang, prestasi pasukan akan jatuh sekiranya terlalu kerap menguji pemain tetapi hasilnya tiada sebarang manfaat kepada pemain mahupun kepada negara,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 24 Julai 2013

Tindakan 'tidak beri muka' kepada Raja satu keputusan bijak

 
Tindakan 'tidak beri muka' kepada Raja  satu keputusan bijak Rajagobal memilih perlawanan persahabatan dengan kelab Chonburi FC dan mempersiakan peluang mengutip mata menentang lawan lebih baik seperti Arab Saudi dan Iraq, awal tahun ini. mempersiakan peluang mengutip mata ketika menentang lawan lebih baik seperti Arab Saudi dan Iraq, awal tahun ini. KUALA LUMPUR 16 Julai 2013. Ahmad Fakri Shaari (jersy 13) mengasak bola dengan pemain Chonburi FC perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Hasriyasyah Sabudin
 
Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘tidak memberi muka’ kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal membatalkan aksi persahabatan antarabangsa berstatus kelas A mulai tahun depan, adalah satu keputusan bijak.

Selepas mempersiakan peluang mengutip mata ketika menentang lawan lebih baik seperti Arab Sa udi dan Iraq, awal tahun ini, pendirian tegas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin itu sepatutnya dilihat dari sudut positif dalam usaha meningkatkan kualiti dan ranking skuad kebangsaan.
Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata setiap peluang harus digunakan sebaik mungkin bagi memperkasakan prestasi Harimau Malaya.


“Kalau lawan kelab, ia lebih kepada kepuasan peminat yang mahu menyaksikan bintang dunia beraksi tetapi kalau menentang pasukan negara lain, ia ada kepentingan buat pasukan kebangsaan kita. Lupakan soal keputusan dan sekurang-kurangnya ia boleh memperbaiki kedudukan negara dalam ranking dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Namat sependapat

Semalam, Hamidin dilaporkan berkata tiada lagi keistimewaan untuk Rajagobal membatalkan sewenang-wenangnya perlawanan antarabangsa berstatus kelas A dan menukar kepada perlawanan ujian yang tidak menawarkan mata kepada ranking skuad negara, mulai tahun depan.

FAM sudah menghantar surat kepada beberapa negara dari rantau Asia Tenggara, Afrika serta Eropah untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa itu.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah yang sependapat dengan Raja Ahmad Zainuddin berkata, Rajagobal seharusnya tidak mempersia-siakan peluang yang ada.

“Jangan siakan peluang yang ada dan gunakan setiap peluang itu dengan sebaik mungkin sekali gus dapat membantu meningkatkan ranking pasukan negara,” katanya
 
 
BERITA HARIAN

Isnin, 22 Julai 2013

Pemain bola sepak perlu bijak merancang kerjaya, bina karakter, imej

KEKUATAN mental dan fizikal setiap pemain bola sepak Liga Malaysia sekali lagi akan diuji.

Persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia terus dilakukan setiap pasukan sepanjang Ramadan sebelum wisel saingan Piala Malaysia ditiup dua minggu selepas menyambut Syawal.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ini akan memberi sedikit tekanan kepada pemain ketika latihan dan menguji kebijaksanaan jurulatih menyusun program latihan ketika semua pemain-pemain beragama Islam menjalani ibadah puasa.

Tidak terkecuali, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal memanggil pemain terpilih untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Chelsea dan Barcelona di samping mempersiapkan pasukan untuk mencari ramuan taktikal dan strategik serta persefahaman pemain sebelum pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2015 diteruskan.

Namun, lebih menarik untuk saya ketengahkan ialah perbezaan 'karakter' dua jurulatih iaitu Rajagobal dan Jose Mourinho. 

Ini boleh dinilai ketika kedua-dua jurulatih melakukan sidang media beberapa hari sebelum pertemuan kedua-dua pasukan semalam. 

Sudah tentu dengan kembalinya Jose Mourinho kepangkuan Chelsea akan memberi erti kepada pemain dan peminat-peminat Chelsea di seluruh dunia. 

Kelihatan 'X faktor' dalam diri Mourinho begitu terserlah, setiap gerak-gerinya akan mendapat perhatian dan setiap perkataan daripada mulutnya juga dinanti-nantikan. 

Jawapan yang diberikan begitu yakin, termasuklah pandangan diberikan beliau tentang seseorang pemain itu perlu menunjukkan aksi yang konsisten dan kerap bermain dalam kelab layak bermain untuk pasukan kebangsaan mereka.

Begitu juga dengan sikap ketegasannya dalam ketepatan waktu, apabila meninggalkan sidang media baik sahaja masa yang diberikan tamat walaupun pada ketika itu beberapa jurugambar sedang sibuk menjalankan tugas. 

Inilah karakter yang akan memberi kesan mendalam kepada pemain-pemain apabila seseorang jurulatih itu mempunyai nilai integriti begitu tinggi.

Peluang begini perlulah diambil kesempatan oleh setiap jurulatih, pemain serta pegawai pasukan untuk dipelajari serta membuat kajian daripada seseorang yang berjaya dalam merealisasikan impian dan kerjayanya dalam urus tadbir diri.

Selain itu juga, kita boleh menjadikan satu contoh atas kejayaan seorang pemuda Vietnam, Vu Xuan Tien lebih dikenali dengan 'The Running Man' ketika berlari mengejar bas pasukan kegemaran beliau iaitu Arsenal sejauh 5 kilometer hanya untuk mendapatkan tandatangan pemain Arsenal ketika baru sahaja menjejakkan kaki di Vietnam dalam jelajah Asia yang mendapat liputan meluas media antarabangsa setelah video dimuat turun di youtube oleh penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.
Pepatah Melayu ada menyatakan 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. 

Begitulah mesej yang dapat kita pelajari daripada pemuda Vietnam ini, tidak ada kejayaan datang dengan mudah sekiranya kita tidak berusaha. 

Namun, lebih menarik tentang kejadian ini, terselindung satu nilai 'pemasaran' daripada Xuan Tien.
Setiap perancangan dan strategi dalam melakukan pemasaran amat penting. 

Ini perlu dipelajari setiap pemain-pemain bola sepak di negara kita, bagaimana cara menarik perhatian peminat, penaja dan kelab selain daripada persembahan yang konsisten, berkualiti serta bermutu. 

Mereka perlu bijak membina karakter dan imej dalam diri sendiri baik di dalam serta luar padang.
Ini akan mencerminkan seseorang pemain itu bijak merancang kerjayanya serta dipandang hormat.
Dalam era bola sepak profesional pemain perlu mengambil kesempatan di atas sambutan kemeriahan daripada peminat dan pihak media untuk menarik penaja bagi menambah pendapatan menjamin masa depan. 

Utusan Malaysia

Sabtu, 20 Julai 2013

Turunkan pemain yang terbaik

Oleh HAFIZ ABBAS

RAJAGOBAL ( kiri) m enyampaikan amanat kepada para pemain Harimau Malaya pada sesi latihan padang Wisma FAM, Kelana Jaya, 11 Julai lalu.


KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal perlu menurunkan pemain kesebelasan utama yang terbaik pada pertemuan menentang Chelsea FC Stadium Shah Alam malam ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) berkata, perlawanan itu sangat penting kerana ia antara pentas terakhir buat barisan pemain sedia ada sebelum menghadapi Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur 15 Oktober nanti.

“Saya harap Rajagobal akan membariskan pemain yang terbaik dalam kesebelasan utama, cukuplah terus bereksperimen, sebab kali ini kami mahu mereka bermain dengan serasi memandangkan pusingan kelayakan Piala Asia akan berlangsung tidak lama lagi.

“Jadikan perlawanan ini sebagai persiapan terakhir untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh tujuh badan korporat di Istana Abdul Aziz, Kuantan kelmarin.

Sebelum berdepan Bahrain, skuad negara terlebih dahulu akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab di Jepun dari 23 Julai hingga 1 Ogos dan seterusnya bertemu kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Tengku Abdullah turut menagih corak permainan yang baik daripada setiap pemain pada perlawanan menentang skuad The Blues ini dan mahu mereka cuba mendapatkan kemenangan walaupun dilihat sedikit mustahil.

“Kalau boleh kami nak menanglah, kami harap Harimau Malaya membuat percubaan lebih dan mudah-mudahan dapat jaringan yang setimpal, memang akui perlawanan ini susah tapi sekurang-kurangnya cuba pertahan kedudukan dan tunjukkan corak permainan yang baik.

“Kami mahu lihat benteng pertahanan pasukan negara sepanjang perlawanan itu serta keupayaan penyerang-penyerang kita dalam segi statistik percubaan pada separuh masa pertama dan kedua,” katanya.

Chelsea memulakan jelajah pra-musim 2013/14 di Asia dengan mengalahkan Singha All-Star XII, Thailand 1-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok pada Rabu lepas.

Skuad bimbingan jurulatih Jose Mourinho itu akan berada di Malaysia sehingga 23 Julai sebelum berkunjung ke Indonesia untuk mengakhiri lawatan mereka dengan menentang BNI Indonesia All-Stars di Stadium Bung Karno di Jakarta.

Ditanya mengenai desakan peminat bola sepak tanah air yang mahukan khidmat Rajagobal ditamatkan kerana gagal membimbing skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi, Tengku Abdullah berkata, perkara itu akan dilihat kemudian.

“Biar dia habiskan perjuangannya dulu (sebagai jurulatih Harimau Malaya) kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan apa sahaja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang fasal perkara lain.

“Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah Indeks Prestasi Utama (KPI) dia,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 19 Julai 2013

Tunjuk kemampuan sebenar

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berharap barisan pemainnya membuktikan tahap kemampuan sebenar mereka ketika berdepan Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam esok.

Meskipun Rajagobal menyedari The Blues tampil dengan reputasi yang cukup tinggi, pengendali berusia 57 tahun itu tetap tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan untuk anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar.

Justeru, Rajagobal mahu barisan Harimau Malaya menampilkan satu corak permainan terbaik ketika melayan kunjungan juara Liga Europa itu nanti.

"Bukan saya tidak mementingkan kemenangan tetapi kita seharusnya bersikap realistik.
"Kita harus terima hakikat bahawa jurang Chelsea dan Harimau Malaya berada pada tahap yang berbeza.

"Namun, saya ingin tegaskan bahawa kami akan mempamerkan satu persembahan positif ketika menentang Chelsea," katanya kepada pemberita pada sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambah Rajagobal, beliau berharap aksi tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemainnya sebelum menentang gergasi Sepanyol, Barcelona bulan depan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Semua tahu selepas aksi menentang Chelsea, kami akan menjalani sesi latihan di Jepun selama dua minggu bermula 23 Julai depan.

"Selepas itu, kami akan menentang Barcelona pada 10 Ogos depan. Saya percaya aksi menentang Chelsea dan Barcelona memberisatu pengalaman berguna kepada barisan pemain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya berharap mereka akan mempelajari sesuatu untuk meningkatkan tahap keupayaan masing-masing," jelasnya.

Sementara itu, tonggak pertahanan Chelsea, Gary Cahill yakin The Blues akan mempamerkan karakter sebenar mereka ketika berdepan Harimau Malaya.

"Saya fikir perlawanan dengan Malaysia nanti tidak jauh bezanya ketika kami menentang Thailand (Singha All Star) yang mempamerkan permainan agak tersusun.

"Mereka (Harimau Malaya) dijangka mempamerkan corak bertahan dan ia mungkin menyebabkan permainan kami sedikit terjejas," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 17 Julai 2013

Raja 'dendang lagu sama' beri alasan

Wan Fakhrul Bakar | wanfakhrul@mediaprima.com.my
Raja 'dendang lagu sama' beri alasan Mohd Nor Farhan Muhammad (kanan) berebut bola dengan pemain Chonburi FC, Anderson Dos Santos perlawanan persahabatan, kelmarin.
‘Kami berjaya cipta peluang, main dengan baik tetapi tak sempurnakan peluang terhidang’

Kuala Lumpur: Walaupun memperagakan aksi hambar dan gagal mencatat kemenangan ke atas kelab Thailand, Chonburi FC, peliknya pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap gembira serta berpuas hati dengan prestasi pemain bimbingannya.

Dan seperti biasa, Rajagobal turut ‘mendendangkan lagu sama’ ketika memberi alasan di sebalik kegagalan anak buahnya mempamerkan persembahan baik dan mencatat kemenangan ke atas pasukan berstatus kelab itu.
“Saya cukup gembira dan puas hati dengan persembahan pemain. Lagi pun, kelab ada masa panjang untuk melakukan banyak benda dalam latihan, tak sama seperti skuad kebangsaan. Saya rasa untuk tiga hari latihan dan terus main, saya cukup gembira dan puas hati dengan corak permainan pemain walaupun kami bermula agak perlahan.


“Sebagai jurulatih, saya perlu fikir positif. Kami berjaya cipta peluang, main dengan baik tetapi tidak menyempurnakan peluang terhidang. Itu semua memang boleh berlaku. Apa pun, untuk keputusan lebih adil, kami sepatutnya boleh menang,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan yang berkesudahan 0-0, malam kelmarin.

Piala Asia lebih penting

Hakikatnya, Rajagobal menurunkan semua pemain sepanjang perlawanan itu kecuali penjaga gol Norazlan Razali dan Khairul Fahmi Che Mat serta dua pemain yang cedera, Safiq Rahim dan Mahalli Jasuli tetapi skuad kendaliannya masih gagal menghasilkan kemenangan.

Namun Rajagobal tetap mempertahankan diri dengan berkata: “Fokus saya dari hari pertama ialah persiapan menentang Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia, Oktober ini. Kita tak mahu pasukan capai kemuncak prestasi awal ketika ini kerana menentang Bahrain lebih penting.”
Rajagobal turut memuji prestasi pemain baru seperti Azizi Mat Rose, Junior Eldstal dan Nizad Ayub

Berita Harian