Memaparkan catatan dengan label Lumba basikal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lumba basikal. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Ogos 2013

Anuar sekadar 'panas badan'


ANUAR (kiri) berbincang dengan pengurus pasukannya, David McCann mengenai laluan Jelajah Borneo 2013 di Kota Kinabalu, Sabah semalam.


PELUMBA pecut negara, Anuar Manan mahu untuk menggunakan peluang beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Borneo (ToB) 2013 sebagai medan pemanas badan selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya berehat lebih sebulan akibat kecederaan tulang belakang dan kaki (selepas terlibat dengan kemalangan semasa latihan pada Mei lepas). Saya hanya mula menjalani latihan ringan dua minggu lepas. Itupun hanya pada sebelah malam semasa bulan puasa lalu.

"Selepas Hari Raya kedua, saya terus menjalani latihan untuk menghadapi ToB 2013. Perlumbaan ini dianggap sebagai pemanas badan untuk persediaan saya menghadapi perlumbaan lain selepas ini," katanya semalam.

Pelumba berusia 26 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu mewakili pasukan benua, Synergy Baku Cycling Team dari Azerbaijan.

Akibat kecederaan itu, pakar fisiologi Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan Anuar agar berehat daripada menyertai mana-mana perlumbaan untuk pulih sepenuhnya.

Mengulas mengenai ToB 2013, Anuar itu tidak meletak sasaran yang tinggi berdasarkan pada tahap kecergasan dirinya selepas pulih daripada kecederaan.

"Bagaimanapun, jika ada peluang dan ruang untuk saya, sudah pasti saya tidak akan lepaskan peluang itu," katanya.

Berdasarkan pengalaman bersaing di Eropah, Anuar melihat laluan yang bakal ditempuhi peserta agak berpihak kepadanya, jika kecergasan beliau berada di tahap terbaik.

"Untuk perlumbaan ini, pasukan lain juga mempunyai pakar pecut masing-masing. Jika dilihat tahap kecergasan saya sebelum cedera, memang saya mempunyai peluang untuk menaiki podium.
"Kali ini, saya kena tengoklah sejauh mana kemampuan saya," katanya.

Selepas edisi kedua ToB 2013, Anuar dijadual menyertai Tour of East Java, Tour of China I, Tour of China II dan Tour of Hainan. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 18 Mac 2013

ACC 2013: Skuad lebuh raya menghampakan


MUHAMMAD Rauf sekadar menduduki tempat ke-15 pada hari terakhir acara lebuh raya pada ACC 2013 semalam.


NEW DELHI - Impian pemecut handalan Malaysia, Mohd. Harrif Salleh untuk menyumbang pingat tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat kelapan pada perlumbaan lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 sejauh 156.2 kilometer (km) di Litar Formula Satu Buddha International Circuit, Uttar Pradesh semalam.
Pemecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu muncul sebagai pelumba terbaik negara pada perlumbaan tersebut apabila melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 36 minit 38 saat.
Muhammad Rauf Misbah pula menduduki tempat ke-15 (3:37.17s), Mohd. Zamri Salleh menduduki tempat ke-16 (3:39.38s) manakala Amir Mustafa Rusli menamatkan saingan di tempat ke-24 dengan catatan masa 3:39.43s.

Acara tersebut dimenangi pelumba Uzbekistan, Muradjan Halmuratov yang merakam masa 3:33.59s diikuti tonggak Iran, Arvin Moazemi Goudarzi yang meraih pingat perak dengan masa 3:34.11s.
Andrey Mizurov dari Kazakhstan pula memenangi pingat gangsa dengan masa 3:34.16s.
Dengan kemenangan tersebut, Halmuratov telah mendominasi pingat emas acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki dan acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

Namun, pada satu ketika, impian Malaysia dilihat cerah apabila Amir Mustafa melakukan pemecahan bersama pelumba Indonesia sejauh 70km.

Mohd. Zamri pula melakukan pemecahan pada pusingan kedua tetapi dia tidak mampu bertahan lama.
Mohd. Harrif bagaimanapun berikrar untuk menyumbang pingat pada ACC 2014 yang bakal diadakan di Astana, Kazakhstan.

"Saya dimaklumkan laluan di Astana juga landai. Saya akan berusaha lebih keras lagi selepas ini untuk menang pingat. Saya memang mengidam pingat menerusi acara lebuh raya," katanya.
Bagi jurulatih negara, Aminuddin Sulaiman pula berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun mereka gagal berada di podium.

"Apa yang saya lihat, prestasi para pelumba negara menunjukkan peningkatan sejak Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu. Ini cukup membanggakan saya kerana mereka sudah dapat memperlihatkan kerjasama berpasukan yang cukup baik.

"Pada perlumbaan hari ini (semalam), setiap pelumba melakukan kerja masing-masing dengan baik. Mereka sudah tahu tugas yang perlu dilakukan dan hanya disebabkan kesilapan strategi, kita gagal untuk melihat seorang pelumba negara berada di podium." katanya.

Menurut Aminuddin, barisan pelumba yang dipertaruhkan semalam merupakan antara yang terbaik, sekali gus memberi petanda awal betapa skuad lebuh raya negara mampu menampilkan prestasi lebih baik pada temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.

"Ini adalah barisan pelumba terbaik yang kita ada. Selain itu, saya akan tetap memantau perkembangan Anuar (Manan) biarpun dia tidak beraksi pada ACC kali ini.
"Melihatkan prestasi Anuar pada LTdL lalu, dia masih dianggap antara pakar pecut terbaik di negara selain Harrif," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 Mac 2013

Malaysia sapu lima emas

Oleh FERZALFIE FAUZI

FATEHAH cemerlang meraih emas acara pecut wanita di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, semalam. 
 
KUALA LUMPUR - Pelumba senior dan remaja cemerlang pada hari terakhir acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, semalam apabila menggondol lima pingat emas dalam acara pecut dan keirin.

Mengetuai pungutan emas di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi ialah pelumba veteran, Josiah Ng yang membuktikan dirinya masih berbisa selepas meraih dua pingat emas dalam acara pecut dan keirin walaupun usianya sekarang menjangkau 33 tahun.

Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa juga tidak ketinggalan menyumbang emas buat negara selepas cemerlang dalam acara pecut, namun dia gagal mempertahankan pingat emas acara keirin yang dimenanginya tahun lalu di Kuala Lumpur apabila sekadar meraih perak.

Turut cemerlang ialah pelumba remaja, Muhamad Firdaus Mohd. Zonis yang berjaya mengikut jejak Josiah menyapu bersih emas dalam kedua-dua acara keirin dan pecut. 

Lebih manis pelumba kelahiran Selangor itu telah mengumpul keseluruhan tiga emas selepas Khamis lalu dia berjaya muncul juara dalam acara satu kilometer ujian masa.

Menurut Josiah yang menang saingan akhir pecut selepas menewaskan pelumba Iran, Hassanali Varposhti, semuanya seakan berjalan lancar buat kem negara, semalam adalah hari terbaik mereka dan semuanya telah menjalankan tugas dengan profesional serta saling bekerjasama antara satu sama lain.

"Kemenangan yang amat bermakna, sebelum ini saya fikir hanya untuk meraih satu pingat tidak kira apa warna sekali pun dalam kejohanan ini. Bagaimanapun selepas menang satu demi satu perlumbaan dalam acara pecut, saya mula mendapat keyakinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pelumba kelahiran Manila, Filipina itu berkata, perlumbaan paling sukar dalam acara pecut adalah ketika bertemu rakan senegara, Azizulhasni Awang pada peringkat suku akhir kerana kedua-duanya sentiasa bersaing sesama sendiri termasuk ketika dalam latihan.

Dalam perlumbaan akhir keirin, Josiah tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan pelumba Iran, Mahmoud Parash di tempat kedua dan Jun Wun Gu dari Korea Selatan tempat ketiga. 

Malah, menceritakan kembali perlumbaan itu dia amat berhati-hati dengan pelumba Iran kerana mempunyai dua wakil dalam saingan akhir Mahmoud dan Mohammad Parash. 

"Saya berseorangan sedangkan Iran mempunyai dua pelumba, saya juga memberi fokus kepada pelumba Jepun, Yuta Wakimoto kerana dia seperti dijangka akan meluru ke depan lebih awal. Bagaimanapun saya bangkit selepas menduduki kedudukan ketiga untuk memecut melintasi garisan penamat terlebih dahulu," katanya.

Azizulhasni yang gagal melayakkan diri ke saingan akhir hanya menduduki tempat ketujuh, diikuti Edrus Yunos kelapan dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12.

Fatehah yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 500 meter ujian masa tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pelumba China, Shi Jingjing dalam saingan akhir pecut wanita.

Bagaimanapun pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze membalas kembali kekalahannya kepada Fatehah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras tahun lalu dalam acara keirin. Gangsa bagi acara tersebut milik pelumba China, Li Xuemei.

Malaysia meraih keseluruhan tujuh emas, tiga perak dan tujuh gangsa termasuk satu emas yang disumbangkan seorang lagi pelumba remaja Irwandie Lakasek dalam acara scratch lelaki, Khamis lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 9 Mac 2013

Azizulhasni naik angin


KUALA LUMPUR - Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang (gambar) mencetus kontroversi apabila secara terbuka menyelar pengurus pasukan kerana ‘hilang’ ketika pelumba negara sedang bertungkus lumus beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, kelmarin. 

Malah, pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocket Man itu mendakwa, Ibrahim Mustapha pergi ke Taj Mahal ketika saingan berlangsung hingga menyebabkan lagu Negaraku tidak dapat diperdengarkan apabila pelumba muda, Muhammad Firdaus Mohd Zonis naik ke pentas untuk menerima emas sulung Malaysia. 

“Kecewa dengan pengurus pasukan di ACC India... Kami semua dalam pasukan berlumba di velodrom sementara dia ke Taj Mahal.

“Tiada lagu kebangsaan untuk pingat emas pertama Malaysia kerana (rakaman) audio ada dengan pengurus pasukan kita. Tak munasabah!," kata Azizulhasni dalam sosial Twitter dan Facebook. 

Pada ACC kelmarin, Malaysia merangkul dua emas menerusi Firdaus dalam acara satu kilometer ujian masa remaja, manakala Irwandie Lakasek menyumbang emas 10 kilometer Scratch remaja. 

Dua pingat perak turut diraih menerusi pecut berpasukan elit lelaki dan pecut berpasukan remaja lelaki, manakala gangsa melalui pecut berpasukan elit wanita.

Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menyifatkan andai apa yang didakwa Azizulhasni adalah benar, maka insiden itu sesuatu yang sangat memalukan Malaysia. 

“Kami akan bincang dengan pihak PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) berhubung masalah ini kerana sepatutnya pegawai yang menggalas tugas itu perlu tahu tanggungjawabnya.
“Bagaimanapun saya tidak pasti adakah dia tidak mempunyai harapan untuk atlet kita memenangi pertandingan itu. 

“Saya juga telah menghubungi pegawai kami di sana untuk pastikan kita ada salinan lagu Negaraku agar perkara yang sama tidak berulang," katanya ketika ditemui pada mesyuarat Program Pembangunan Bola Sepak Negara, di sini, semalam.

Menurut Zolkples, perkara ini amat mengecewakan kerana MSN sentiasa mengingatkan atlet supaya berjuang dengan semangat tinggi dalam mana-mana kejohanan agar Jalur Gemilang dapat dikibarkan dan lagu kebangsaan dinyanyikan. 

Ibrahim ketika menjelaskan apa berlaku berkata, rakaman lagu Negaraku sudah diserah kepada penganjur beberapa hari sebelum kejohanan bermula dan ia berjalan lancar ketika penyampaian pingat emas kepada dua atlet paralimpik negara yang turut berlangsung di tempat yang sama. 

“Mungkin berlaku masalah komunikasi dengan pihak sekretariat. Saya tidak berada di velodrom kerana menguruskan beberapa perkara melibatkan atlet paralimpik negara namun lagu kebangsaan tetap dimainkan cuma lewat beberapa minit dengan pegawai kita bertindak memuat turun lagu di internet. Bukan tidak dimainkan langsung," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azizulhasni dan Josiah Ng melepasi pusingan awal acara pecut individu dengan menjadi antara 16 pelumba terbaik, namun menurut Ibrahim, Azizulhasni didenda Swiss Franc 200 (RM656) kerana menggunakan seluar melepasi bahagian lutut sekali gus menyebabkan beliau sebagai pengurus turut didenda 250 Swiss Franc (RM820).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my