Memaparkan catatan dengan label Maria Sharapova. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Maria Sharapova. Papar semua catatan

Khamis, 27 Jun 2013

'Hari gila Wimbledon'

Maria Sharapova tergelincir ketika menentang Michelle Larcher De Brito pada kejohanan Wimbledon, semalam. - REUTERS 
 
LONDON - 'Raja Wimbledon', Roger Federer dan Maria Sharapova mengalami kejutan apabila kalah pada pusingan kedua kepada lawan yang menduduki ranking di luar kelompok 100 dunia pada hari penuh dramatik yang menyaksikan tujuh pemain menarik diri.

Pilihan kedua, Victoria Azarenka, pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga malah Steve Darcis, pemain yang mencatat kejutan terbesar menyingkirkan Rafael Nadal pada hari pertama kejohanan, antara pemain yang menarik diri akibat kecederaan.

Ketika semakin ramai calon juara yang kecundang, malah sesetengahnya menarik diri sebelum memulakan perlawanan, pemain tuan rumah, Andy Murray lega apabila mengelak kejutan setelah menang pusingan kedua ke atas pemain Taiwan, Lu Yen-Hsun.

Harapan Murray untuk menjadi calon juara semakin cerah selepas ketiadaan Nadal, Federer dan pemain pilihan keenam, Tsonga.

Sehari selepas aksi yang menyaksikan Federer tergelincir, terjatuh dan mengalami sakit bahu serta lutut, juara tujuh kali itu dijangka menang mudah apabila masuk ke gelanggang menentang pemain Ukraine, Sergiy Stakhovsky.

Tiga jam kemudian, apa yang disifatkan bekas juara, John McEnroe sebagai 'hari paling gila', impian Federer untuk merangkul kejuaraan kelapan berakhir.

Melakukan servis cara lama, juga gaya pukulan voli yang sepatutnya tidak lagi dimainkan, pemain berusia 27 tahun yang menduduki ranking ke-116 dunia, menang 6-7(5), 7-6(5), 7-5, 7-6(5) untuk menyekat pilihan ketiga, Federer daripada mara ke suku akhir 36 kali berturut-turut pada kejohanan grand slam.

"Saya masih tidak percaya. Saya mempamerkan aksi terbaik dalam permainan saya. Apabila anda berdepan Roger Federer, ia umpama anda menentang dua orang pemain," kata Stakhovsky.

Pilihan ketiga, Sharapova pula kalah kepada pemain Portugal, Michelle Larcher de Brito namun gagal mengatasi pemain dari pusingan kelayakan itu akibat kerap tergelincir dan kalah 6-3, 6-4.
Sharapova memerlukan rawatan selama 10 minit akibat terjatuh dan menyifatkan permukaan gelanggang 'merbahaya'.

"Saya rasa tidak pernah terjatuh dalam perlawanan dalam karier saya, jadi ini menimbulkan keraguan," kata Sharapova.

Pilihan kesembilan, Caroline Wozniacki juga terjatuh ketika kalah kepada pemain Republik Czech, Petra Cetkovska manakala pilihan kedua, Azarenka tidak sempat untuk memulakan perlawanan menentang pemain Itali, Itali, Flavia Pennetta kerana kecederaan lutut kerana terjatuh ketika perlawanan pusingan pertama.

Tsonga pula tidak menyalahkan gelanggang akibat kecederaan lutut yang memaksa dia menghentikan perlawanan ketika menentang pemain Latvia, Ernests Gulbis manakala pemain Republik Czech, Radek Stepanek juga menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan kepada pemain Poland, Jerzey Janowicz. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 12 Mei 2013

Serena belasah Sharapova


MADRID - Serena Williams mengukuhkan statusnya sebagai pemain No. 1 dunia dengan menewaskan Maria Sharapova untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Madrid. 

Pada aksi akhir semalam, Serena menundukkan pemain No. 2 dunia itu 6-1, 6-4, sekali gus melengkapkan kemenangan ke-50 dalam kariernya. 

"Terima kasih kepada semua. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini," ujar Serena yang mempertahankan rekod tanpa kalah ke atas Sharapova dalam 12 pertemuan sejak 2004. 

Sementara itu, Sharapova menyifatkan kekalahan ke atas Serena sebagai petanda untuknya untuk terus bekerja keras dalam menentang pemain No. 1 dunia itu. 

"Ia amat istimewa buat saya dan secara jujur, saya berharap dapat bermain lebih banyak pusingan. 

"Bagaimanapun, saya akan menunggu pertemuan seterusnya dalam kejohanan akan datang," ulas pemain dari Rusia itu. 

Serena yang pernah terlepas kedudukan sebagai ratu tenis dunia, menguasai gelanggang sejak permainan bermula dengan mendahului 4-0. 

Bagaimanapun, Sharapova yang enggan memberi kemenangan mudah kepada pemain dari Amerika Syarikat itu, bangkit pada permainan kelima sebelum sekali lagi hilang rentak permainan dan tewas dengan 6-1. 

Set kedua menyaksikan Sharapova berjaya mengikat kedudukan dengan 3-3 sebelum berjaya dibolosi Serena dengan corak permainan yang lebih agresif. 

Sharapova yang bermain di bawah tekanan memberi kelebihan kepada Serena untuk menamatkan saingan dengan 6-4 dalam masa satu jam 15 minit. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 18 Mac 2013

Sharapova tekad sekat Wozniacki


WOZNIACKI bersedia hadapi ancaman Sharapova.


INDIAN WELLS, California - Maria Sharapova sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan apabila turun beraksi menentang Caroline Wozniacki pada final Kejohanan Tenis Masters Indian Wells.

Wozniacki, sama seperti Sharapova, merupakan bekas pemain No. 1 dunia dan bekas juara di Indian Wells.
Pemain dari Denmark itu terkenal dengan corak permainan yang berbeza dan gemar membuat hantaran ke garisan belakang, sekali gus menyukarkan lawannya untuk melakukan pukulan balas.

"Dia seorang pemain yang sukar untuk ditewaskan," kata pemain pilihan kedua dari Rusia, Sharapova.
"Dia akan memaksa kamu bekerja keras di atas gelanggang dan banyak melakukan hantaran ke belakang serta menampilkan corak permainan yang berbeza.

"Sudah tentu saya tidak mahu memberinya ruang untuk bermain seperti itu kerana dia seorang pemain yang hebat.

"Dia amat berbahaya apabila memiliki peluang terbuka, dan dia juga akan memperdaya kamu di segenap gelanggang," katanya lagi.

Sharapova, juara edisi 2006 kejohanan ini, mara ke final selepas menang 6-4, 6-3 ke atas rakan senegara, Maria Kirilenko manakala pilihan kelapan, Wozniacki dipaksa berhempas pulas sebelum mara dengan kemenangan 2-6, 6-4, 7-5 ke atas pilihan keempat, Angelique Kerber dari Jerman.

Wozniacki, 22, yang menjuarai edisi 2011 dengan mengalahkan Marion Bartoli di final, mempunyai rekod kemenangan 2-4 yang tidak memihak kepadanya ketika ini.

"Corak permainannya sangat agresif, dia akan cuba membalas setiap pukulan," kata Wozniacki. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 14 Januari 2013

Serena pilihan terhangat



SHARAPOVA antara pemain yang turut diletakkan sebagai pencabar terkuat Serena.


MELBOURNE – Pemain Amerika Syarikat (AS) Serena Williams diletakkan sebagai pemain pilihan utama untuk bergelar juara apabila saingan kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia bermula hari ini.

Malah pencabar terdekatnya, Victoria Azarenka sendiri mengakui, Serena, 31, adalah pemain yang perlu ditewaskan mana-mana lawan yang berhasrat untuk muncul juara.

Apatah lagi, Serena ketika ini memiliki motivasi untuk bermain lebih baik kerana sedang memburu gelaran juara buat kali keenam di Melbourne nanti.

Memulakan kempen ke-13 di kejohanan ini, Serena yang masih segar daripada kejayaan merangkul kejuaraan di Brisbane minggu lalu, dijadual bertemu pemain Romania, Edina Gallovits-Hall pada perlawanan pembukaannya esok.

Namun berdasarkan prestasi semasa, tumpuan kepada Serena bukan sekadar untuk mengungguli Terbuka Australia tetapi kemampuannya untuk menyapu bersih kesemua empat kejohanan Grand Slam tahun ini.

“Ia satu matlamat yang terlalu besar untuk saya dicapai,” katanya ketika bercakap tentang memenangi kejuaraan di Terbuka Australia, Roland Garros, Wimbledon dan Terbuka AS dalam tahun yang sama seperti mana yang pernah dilakukan Steffi Graf pada 1988. 

“Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya. Mungkin orang lain boleh tetapi bagi saya, tunggu sahaja kerana ia sangat sukar diterjemahkan dengan kata-kata,” jelasnya. 

Juara Olimpik, Terbuka AS dan Wimbledon pada tahun lalu kini berada di separuh jalan untuk mengulangi semula kejayaan `Serena Slam’ yang dilakar pada 2002-2003 lalu.

“Saya rasa saya berada di tempat dan masa yang betul sekarang. Buat masa ini, saya bermain dengan baik. Saya harap dapat bermain dengan lebih cemerlang dan memperbaiki kelemahan saya,” tambah Serena. 

Juara 15 kali Grand Slam ini berada di belakang juara bertahan, Azarenka dan Maria Sharapova dalam senarai ranking dunia namun nekad mengubahnya sebaik saja musim perlawanan tahun ini bermula. 

Sementara itu, Azarenka yang menarik diri dari aksi separuh akhir Brisbane ketika menentang Serena gara-gara mengalami jangkitan pada ibu jari, gembira apabila pemain AS itu menjadi pilihan. 

“Perhatian beralih kepadanya dan ia membuatkan tekanan ke atas saya berkurangan,” ujarnya yang mengakui Serena bakal menjadi halangan terbesarnya untuk muncul juara. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my