Memaparkan catatan dengan label Safiq Rahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Safiq Rahim. Papar semua catatan

Selasa, 11 Jun 2013

Harimau Malaya pamer belang


SAFIQ meledak gol sulung Harimau Malaya ketika menentang Sydney Olympic FC semalam.


"SUATU peningkatan yang bagus tetapi kita masih perlu mencari skuad yang kuat... itu yang mustahak."

Itu reaksi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Syukor Salleh ketika diminta mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya ketika membenam Sydney Olympic FC 4-0 pada aksi persahabatan di Padang Sukan Belmore, Australia semalam.

"Perlawanan persahabatan adalah untuk menguji pemain dan mendapatkan kombinasi pemain-pemain dalam setiap posisi.

"Jurulatih ada hak untuk menerapkan taktikal yang sesuai dan kunci kejayaan sesebuah pasukan adalah dapat mengawal bola dengan baik," jelas Shukor kepada Kosmo! semalam.

Pada aksi semalam, Harimau Malaya yang tewas 2-3 kepada Canberra FC dalam aksi sulung persahabatan Khamis lalu, membuka tirai jaringan menerusi perancang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim seawal minit kesembilan.

Penyerang gantian, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya dengan meledak hatrik pada minit ke-50, ke-73 dan ke-89.

"Kita tidak boleh terlalu cepat untuk mendabik dada dengan kemenangan ini kerana perjalanan kita masih jauh. 

"Ini kerana kita akan berdepan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober depan.
"Saya berharap jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat mengambil kesempatan ini dengan membentuk skuad yang mantap," kata Syukor yang membuat 215 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustafa turut senada dengan pandangan Syukor. 

Hashim berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan suntikan moral buat Harimau Malaya untuk terus memburu kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Ia akan menjadi satu motivasi yang bagus dengan kejayaan itu. Pada pendapat saya, menang atau kalah dalam perlawanan persahabatan itu bukan perkara utama.

"Sebaliknya, kita harus mencari satu formula untuk menguatkan skuad negara. Para pemain dipilih berdasarkan prestasi terbaik mereka dalam Liga Malaysia (Liga M). 

"Apa pun, saya percaya Safee (Sali) dan Safiq masih mampu memberikan sumbangan besar kepada skuad negara," katanya yang masih gah sebagai penjaring terbanyak Liga M edisi 1994 apabila meledak 29 gol.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 Mac 2013

Safiq nafi wujud pertelingkahan dalam kem Johor

PETALING JAYA - Pemain tengah Johor Darul Takzim, Safiq Rahim semalam menafikan kononnya berlaku pergaduhan antara pemain dalam bilik persalinan Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Safiq mengakui terkejut dengan laporan media, kelmarin yang turut mengaitkan namanya dalam dakwaan itu selepas pasukan Johor tewas 1-4 kepada Selangor dalam aksi Liga Super.

“Memang seluruh pasukan berasa kecewa selepas kami tewas besar dalam perlawanan tersebut tetapi saya nafi dan tidak mahu selindung apa-apa tentang apa yang berlaku," katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pertama pasukan kebangsaan di sini, semalam. 

Malaysia akan menentang Arab Saudi dalam aksi persahabatan pada 17 Mac ini sebelum melayan Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac dan perlawanan amal dengan Palestin, empat hari kemudian.

“Apa yang berlaku adalah di antara kita-kita (pemain) sahaja, apabila prestasi tidak bagus sudah pasti semua akan berasa kecewa termasuk saya. Bagaimanapun semua pemain tetap bersatu walaupun menang atau kalah, kami sentiasa bersama-sama mengharunginya,’’ ujarnya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bilik persalinan pasukan tersebut kecoh ketika wartawan sedang menemuramah jurulatih kedua-dua pasukan sebaik tamat perlawanan.

Jeritan ‘Safiq’ kedengaran dari luar bilik persalinan ketika jurulatih mereka, Fandi Ahmad meluru masuk ke dalam bilik persalinan selepas dipanggil oleh seorang pegawai.

Bekas pemain Selangor dan ketua pasukan kebangsaan itu berkata, hubungan seluruh pasukan sentiasa kukuh dan menolak dakwaan berlaku situasi berpuak-puak antara pemain berstatus bintang dengan pemain lain.

“Kami semua setaraf, tidak ada layanan istimewa baik pemain bintang atau pemain lain, semuanya mendapat perhatian yang sama rata. Kalah atau menang kami tetap bersama dan terus fokus dalam pasukan ini.

“Kerjasama perlu antara satu sama lain untuk memperbaiki segala kelemahan, terutama menjelang baki perlawanan pada masa akan datang," katanya.

Sabtu, 26 Januari 2013

Bintang Johor DT tenggelam



AIDIL (kiri) menanduk masuk gol kemenangan Johor Darul Takzim ketika menentang Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.


BARISAN pemain bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) masih belum menyinar.
Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu Piala FA setakat ini, kelibat mereka masih menjadi tanda tanya.

Prestasi mereka masih berada pada tahap yang meragukan, tidak setanding dengan reputasi selaku pemain bintang.

Senario tersebut mula mengundang resah ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad yang menyifatkan sebahagian besar pemain bintangnya belum menemui rentak yang diharapkan.

Itu kebimbangan Fandi walaupun skuad kendaliannya berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.
Fandi secara terbuka mendedahkan, barisan pemain-pemain bintangnya masih belum menemui keserasian bersama pemain-pemain yang lain.

"Secara keseluruhannya kita gembira (dengan kejayaan mengalahkan Perak) tetapi kita masih perlu memperbaikinya kerana komunikasi (sesama pemain) sangat teruk," katanya selepas aksi menentang Perak itu.

Musim ini, skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu membariskan pemain-pemain berstatus bintang yang diketuai oleh kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Mohd. Safee Sali.

Turut menyarung jersi Johor DT ialah pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad serta Nurul Azuan Roya.

Melengkapkan koleksi pemain bintang dalam pasukan itu ialah bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain Serie A, Simone Del Nero dari Itali.

"Ia bukan mudah, kita dengar ada (pemain) yang mengatakan kita tak boleh buat ini, serang dan bertahan, kita hanya perlu menyerang. Jadi, saya merasakan mereka perlu mengubah sikap dan minda masing-masing.
"Dalam permainan bola sepak kamu tidak boleh katakan yang tugas kamu hanya menyerang dan kawan yang lain pula bertahan. Sikap seperti ini tidak boleh diamalkan, kamu perlu menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan, sekarang (permainan) perlu dilakukan bersama," jelasnya.

Mengulas mengenai aksi menentang Perak itu, Fandi mengakui dia berpuas hati dengan prestasi pemain terutama pada babak kedua yang menyaksikan anak-anak buahnya lebih banyak melakukan serangan dan tidak mudah kehilangan bola.

"Sokongan antara pemain sangat bagus, Mat Yo pegang bola, sementara Safiq dan Azwan menyokong, dan di situ kita telah banyak membuka ruang.

"Percaturan membawa Mohd. Zaquan juga menjadi apabila dia bersama Nurul Azwan bermain dengan baik dan bukan mudah untuk bermain dengan sembilan barisan pertahanan dalam kotak penalti yang mana memerlukan kita melakukan sesuatu," ulasnya.

Pemain di bangku simpanan, Muhammad Akram Mahinan, turut menunjukkan aksi yang cemerlang selepas dia dibawa masuk menggantikan Guiza pada separuh masa kedua.

"Saya berharap, semua pemain terus bekerja keras untuk mengembalikan prestasi masing-masing selain meningkatkan keserasian dalam pasukan.

"Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana ia akan membawa padah kepada pasukan," jelas Fandi.
Sepanjang saingan liga yang berehat seketika selepas ini, Johor DT akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab dari negara jiran, Singapura seperti Geylang United, Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) dan Young Lions.
Tarikhnya masih belum diputuskan lagi.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Januari 2013

Muslihat Johor DT


FANDI (dua dari kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi pembuka tirai menentang Pahang malam ini.


PASUKAN tumpuan, Johor Darul Takzim (Johor DT) tidak akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, belum tiba masanya untuk beliau menurunkan barisan terbaik meskipun memiliki paling ramai pemain berstatus bintang.

Jelas Fandi, tindakannya itu bukan kerana memandang rendah pasukan lawan tetapi beliau mempunyai strategi tertentu.

“Kami perlu ‘simpan’ barisan terbaik kami. Ini semua saya pandang dari sudut taktikal, bukan kerana kami ingin memperkecil pasukan Pahang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun tanpa barisan terbaik, Fandi tetap memberi amaran bahawa Harimau Selatan mempunyai satu misi iaitu untuk meraih kemenangan, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

Katanya, Johor Darul Takzim kini mempunyai semangat berpasukan yang lebih baik berbanding ketika tewas kepada pasukan Johor pada perlawanan akhir kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor, 28 Disember lalu.

Begitupun Fandi mengakui, pasukannya pasti berdepan saingan sengit kerana yakin pasukan lawan akan memberikan komitmen yang lebih apabila bertemu Johor Darul Takzim.

“Dengan dibarisi pemain-pemain ternama, sudah tentu semua pasukan akan berusaha bermati-matian untuk menewaskan kami.

“Oleh itu, saya sering menasihati pemain-pemain saya agar sentiasa berhati-hati dan malam esok (hari ini) saya ingin mereka mencipta seberapa banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Johor Darul Takzim atau dahulunya dikenali sebagai Johor FC mula mencuri tumpuan apabila menandatangani kontrak bersama barisan pemain-pemain handalan seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak serta Mohamad Azmi Muslim.

Johor Darul Takzim juga berjaya mengikat dua pemain import, Daniel Gonzales Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga serta pemain Serie A, Simone Del Nero.
Del Nero dan bekas pemain Sabah, K. Thanaraj bagaimanapun tidak akan diturunkan malam ini kerana masih cedera.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 5 Januari 2013

Wajah baharu Selangor



IRFAN (duduk, lima dari kiri) bergambar bersama barisan pemain dan para pegawai skuad Liga Super Selangor di Stadium Shah Alam semalam.


TAMPIL menggantikan tempat ‘arkitek’ Selangor, Safiq Rahim ternyata tidak memberikan sebarang tekanan kepada pemain baharu Gergasi Merah, Abdul Shukur Jusoh.

Sebaliknya, bekas tonggak Terengganu itu berazam untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang dalam usaha membantu Selangor mendakap sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Ini kerana Shukur, 24, antara pemain yang tidak asing bagi pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang pernah mengemudi skuad Penyu pada musim 2011 dengan menjuarai Piala FA selain muncul naib juara Liga Super. 

Menurut Shukur, dia percaya dengan barisan pemain-pemain Gergasi Merah musim ini, mereka mampu mencapai sasaran tersebut.

“Saya langsung tidak tertekan menggantikan posisi Safiq. Saya percaya kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan akan memberikan manfaat kepada kami.

“Sudah tentu saya mahu membantu Selangor untuk menjulang piala, namun biarlah kami menumpukan satu demi satu perlawanan terlebih dulu,” kata Shukur semalam.

Turut berkongsi pandangan dengan Shukur ialah rakan senegerinya dari Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli yang juga penjaga gol baharu Selangor.

Selain berhasrat membantu Selangor meraih kejayaan musim ini, Sharbinee turut teruja membuat penampilan sulung bersama Gergasi Merah musim ini.

Jelasnya, kerancakan perpindahan pemain-pemain menjadikan kempen Liga Malaysia 2013 lebih menarik.

“Pada saya, bukan sahaja Johor (Darul Takzim) perlu diberikan perhatian tetapi kesemua pasukan.
“Namun, kami sudah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan kerana saya yakin dengan kebolehan Irfan sebagai jurulatih,” katanya.

Rabu, 26 Disember 2012

Asraruddin calon ketua pasukan Selangor


SHAH ALAM - Dua musim tanpa sebarang piala sudah cukup membuatkan para peminat setia Selangor berasa kecewa memandangkan Red Giants masih dilihat kuasa utama bola sepak dalam persaingan Liga Malaysia selain daripada Kelantan.

Ditambah kehilangan ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Takzim FC, ramai bimbang kekuatan Selangor semakin berkurangan.

Namun, Asraruddin Putra Omar, yang kini dilihat antara calon pilihan memakai lilitan ketua pasukan pada musim 2013 melaungkan keazaman untuk menamatkan kemarau kejuaraan Selangor selepas sekadar menduduki tempat ketiga dalam persaingan Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. 

Malahan dia memberikan amaran kepada pencabar-pencabar lain bahawa Selangor akan lebih perkasa berbanding musim lalu, ditambah kehadiran beberapa pemain berkualiti ke dalam pasukan.

"Jika pengurusan memberi penghormatan kepada saya untuk menjadi ketua pasukan, impian utama saya sudah pasti mahu menamatkan kemarau kejuaraan Selangor kerana telah dua musim kami tidak memenangi apa-apa.
"Saya harap ia mampu dicapai kerana dengan pemain baru yang dibawa masuk oleh pihak pengurusan, saya rasa cukup yakin Selangor mampu mencapai sesuatu pada musim ini dan kami nampak kuat berbanding musim lalu.

"Kombinasi semua pemain nampak mantap terutama di bahagian pertahanan dengan kehadiran pemain seperti Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Mohd. Fairuz Abdul Aziz di bahagian bek kiri serta Mahalli Jasuli di bahagian kanan manakala saya cukup selesa bermain di bek tengah bersama Ramez Dayoub, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Selangor dan Sabah di Stadium Shah Alam, semalam.

Peranan selaku ketua pasukan bukanlah satu tugasan asing kepada Asraruddin kerana dia pernah memikul tugas yang sama sewaktu Piala Juara-Juara Remaja Dunia (CYC) 2007.
Dalam perlawanan itu, Selangor tidak berdepan banyak masalah menewaskan Sabah 3-0 dengan Abdul Shukor Jusoh menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama sementara Bunyamin Umar menambah satu lagi gol melalui sepakan penalti di babak kedua.

Biarpun lebih dikenali bermain bek kiri dalam pasukan Harimau Malaya, Asraruddin mengakui dia sebenarnya lebih selesa beraksi di bahagian tengah.

"Mana-mana posisi tidak menjadi masalah tetapi saya lebih gembar bermain di posisi tengah berbanding di sebelah kiri.

"Jika saya bermain dengan Ramez sepanjang musim ini di posisi tengah, ia bukan satu masalah dan memang itu yang saya harapkan, " katanya.

Berehat panjang pada penghujung musim lalu sehingga tidak dapat membantu Red Giants pada persaingan Piala Malaysia kerana mendapat kecederaan lutut, Asraruddin mengakui yang dia semakin hampir meraih kecergasan sepenuhnya.

"Perlawanan ini (berdepan Sabah) adalah aksi pertama saya selama 90 minit setelah pulih daripada kecederaan dan saya rasa gembira dengan perkembangan ini

"Sebelum ini, saya hanya bermain selama 15 minit sewaktu perlawanan terakhir di Piala Gabenor Acheh menentang DPMM Brunei (penentuan tempat ketiga), " katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Aidil kekok beralih posisi (Berita Harian)

'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD 'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD
 
Johor Bahru: Selepas sekian lama mendominasi posisi pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak bakal memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bersama kelab Johor Darul Takzim di posisi pertahanan kanan.

Pemain pertahanan Harimau Malaya mengakui dirinya agak kekok selepas ketua jurulatih skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad meletakkannya beraksi di posisi itu buat pertama pada sesi latihan pertama bersama skuad itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.
"Ini adalah pertama kali dalam karier bola sepak saya beraksi di posisi pertahanan kanan dan saya akui agak kekok pada sesi latihan pertama namun sebagai pemain profesional masalah itu mampu diatasi dan saya yakin segala kerumitan yang dihadapi akan dapat diselesaikan.


"Apapun semuanya bergantung kepada jurulatih (Fandi Ahmad) yang mencorakkan taktikal pasukan, dan dengan adanya latihan sebelum saingan Liga Super bermula sudah pasti saya akan bersedia menggalas tugas di posisi baru," kata Aidil Zafuan.

Bagi Fandi perubahan itu perlu dilakukan memandangkan pasukan itu sudah ada pemain pertahanan tengah yang mantap gandingan Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad malah tindakan itu juga bagi memastikan posisi pertahanan kanan memerlukan pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan.

"Salah satu faktor yang menyebabkan saya mengubah posisi Aidil Zafuan lebih terarah kepada perlu pemain pertahanan kanan yang mampu melakukan larian pantas untuk membuat serangan di posisi sayap kanan dan saya lihat beliau amat sesuai untuk diletakkan di posisi itu.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan posisi baru itu dan bakal bergandingan bersama kembarnya, Zaquan Adha (Abd Radzak) yang akan beraksi di posisi sayap kanan," katanya.
Fandi juga berpuas hati dengan komitmen dari lima pemain kebangsaan, Safee Sali, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Azmi Muslim dan Norshahrul Idlan Talaha yang memulakan latihan pertama bersama skuad Harimau Selatan yang tampak bersemangat tatkala masih perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan Johor Darul Takzim.

"Kita akan harungi saingan empat penjuru yang bermula malam esok namun kelima-lima pemain mempunyai tempoh singkat untuk menyesuaikan diri.

Bagaimanapun sebagai pemain profesional dan pernah beraksi dengan beberapa pasukan, saya yakin tidak timbul masalah buat mereka mempraktikkan corak permainan yang saya terapkan," kata Fandi.