Memaparkan catatan dengan label Simone Del Nero. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Simone Del Nero. Papar semua catatan

Rabu, 20 Mac 2013

Nasib Del Nero cetus tanda tanya


DEL NERO (dua dari kiri) dilihat masih menjalani latihan bersama skuad Johor DT semalam.


MASA depan pemain import, Simone Del Nero bersama pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) terus menjadi tanda tanya.

Bekas pemain Lazio itu dilihat masih menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan semalam meskipun terdapat laporan pemain berusia 31 tahun tersebut bakal ditamatkan kontraknya lebih awal.

Malah, jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad ketika ditemui mengakui, beliau masih belum mendapat sebarang kata putus daripada Del Nero mahupun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sendiri.

Jelas Fandi, meskipun akan ada rombakan dilakukan apabila pintu perpindahan dibuka 8 hingga 22 April depan, namun beliau masih belum dapat memastikan siapa yang akan disingkirkan.

“Buat masa ini, Del Nero masih mempunyai kontrak bersama Johor DT dan selagi itu, saya boleh terus menggunakan khidmatnya.

“April nanti akan ada pemain baharu yang akan menyertai Johor DT tetapi saya masih belum tahu siapa yang akan meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Sebuah portal sukan semalam melaporkan, kontrak Del Nero bersama Johor DT akan ditamatkan lebih awal dan pemain tengah itu akan pulang ke negara asalnya selepas selesai urusan bayaran pampasan.

Portal tersebut juga menyatakan, Del Nero mengakui tidak tahu alasan dia akan disingkirkan tetapi menegaskan, dia sama sekali tidak akan beraksi dalam Liga Premier bersama pasukan Johor.

Sebelum ini, terdapat spekulasi Del Nero serta tiga lagi pemain Johor DT, Ezaidy Khadar, K. Sathiya dan Faizal Mansor akan beraksi dalam Liga Premier bersama Johor bagi ditukar dengan Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain Brazil, Andre Francisco.

Del Nero memulakan karier bola sepak secara profesional ketika bersama kelab Empoli pada musim 1998 hingga 2000.

Dia kemudian berhijrah ke kelab Brescia (2000- 2007) dan turut beraksi dengan kelab Livingston pada saingan Liga Divisyen Satu Scotland (2001-2002) secara pinjaman sebelum membuat 22 penampilan bersama Lazio.

Pencapaian terhebatnya apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 tahun Itali bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun yang sama.

Selain Del Nero, Johor DT pada ketika ini mempunyai seorang lagi pemain import, Daniel Gonzales Guiza.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 26 Januari 2013

Bintang Johor DT tenggelam



AIDIL (kiri) menanduk masuk gol kemenangan Johor Darul Takzim ketika menentang Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.


BARISAN pemain bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) masih belum menyinar.
Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu Piala FA setakat ini, kelibat mereka masih menjadi tanda tanya.

Prestasi mereka masih berada pada tahap yang meragukan, tidak setanding dengan reputasi selaku pemain bintang.

Senario tersebut mula mengundang resah ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad yang menyifatkan sebahagian besar pemain bintangnya belum menemui rentak yang diharapkan.

Itu kebimbangan Fandi walaupun skuad kendaliannya berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.
Fandi secara terbuka mendedahkan, barisan pemain-pemain bintangnya masih belum menemui keserasian bersama pemain-pemain yang lain.

"Secara keseluruhannya kita gembira (dengan kejayaan mengalahkan Perak) tetapi kita masih perlu memperbaikinya kerana komunikasi (sesama pemain) sangat teruk," katanya selepas aksi menentang Perak itu.

Musim ini, skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu membariskan pemain-pemain berstatus bintang yang diketuai oleh kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim serta gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Mohd. Safee Sali.

Turut menyarung jersi Johor DT ialah pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad serta Nurul Azuan Roya.

Melengkapkan koleksi pemain bintang dalam pasukan itu ialah bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain Serie A, Simone Del Nero dari Itali.

"Ia bukan mudah, kita dengar ada (pemain) yang mengatakan kita tak boleh buat ini, serang dan bertahan, kita hanya perlu menyerang. Jadi, saya merasakan mereka perlu mengubah sikap dan minda masing-masing.
"Dalam permainan bola sepak kamu tidak boleh katakan yang tugas kamu hanya menyerang dan kawan yang lain pula bertahan. Sikap seperti ini tidak boleh diamalkan, kamu perlu menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan, sekarang (permainan) perlu dilakukan bersama," jelasnya.

Mengulas mengenai aksi menentang Perak itu, Fandi mengakui dia berpuas hati dengan prestasi pemain terutama pada babak kedua yang menyaksikan anak-anak buahnya lebih banyak melakukan serangan dan tidak mudah kehilangan bola.

"Sokongan antara pemain sangat bagus, Mat Yo pegang bola, sementara Safiq dan Azwan menyokong, dan di situ kita telah banyak membuka ruang.

"Percaturan membawa Mohd. Zaquan juga menjadi apabila dia bersama Nurul Azwan bermain dengan baik dan bukan mudah untuk bermain dengan sembilan barisan pertahanan dalam kotak penalti yang mana memerlukan kita melakukan sesuatu," ulasnya.

Pemain di bangku simpanan, Muhammad Akram Mahinan, turut menunjukkan aksi yang cemerlang selepas dia dibawa masuk menggantikan Guiza pada separuh masa kedua.

"Saya berharap, semua pemain terus bekerja keras untuk mengembalikan prestasi masing-masing selain meningkatkan keserasian dalam pasukan.

"Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana ia akan membawa padah kepada pasukan," jelas Fandi.
Sepanjang saingan liga yang berehat seketika selepas ini, Johor DT akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab dari negara jiran, Singapura seperti Geylang United, Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) dan Young Lions.
Tarikhnya masih belum diputuskan lagi.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Januari 2013

Muslihat Johor DT


FANDI (dua dari kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi pembuka tirai menentang Pahang malam ini.


PASUKAN tumpuan, Johor Darul Takzim (Johor DT) tidak akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, belum tiba masanya untuk beliau menurunkan barisan terbaik meskipun memiliki paling ramai pemain berstatus bintang.

Jelas Fandi, tindakannya itu bukan kerana memandang rendah pasukan lawan tetapi beliau mempunyai strategi tertentu.

“Kami perlu ‘simpan’ barisan terbaik kami. Ini semua saya pandang dari sudut taktikal, bukan kerana kami ingin memperkecil pasukan Pahang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun tanpa barisan terbaik, Fandi tetap memberi amaran bahawa Harimau Selatan mempunyai satu misi iaitu untuk meraih kemenangan, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

Katanya, Johor Darul Takzim kini mempunyai semangat berpasukan yang lebih baik berbanding ketika tewas kepada pasukan Johor pada perlawanan akhir kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor, 28 Disember lalu.

Begitupun Fandi mengakui, pasukannya pasti berdepan saingan sengit kerana yakin pasukan lawan akan memberikan komitmen yang lebih apabila bertemu Johor Darul Takzim.

“Dengan dibarisi pemain-pemain ternama, sudah tentu semua pasukan akan berusaha bermati-matian untuk menewaskan kami.

“Oleh itu, saya sering menasihati pemain-pemain saya agar sentiasa berhati-hati dan malam esok (hari ini) saya ingin mereka mencipta seberapa banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Johor Darul Takzim atau dahulunya dikenali sebagai Johor FC mula mencuri tumpuan apabila menandatangani kontrak bersama barisan pemain-pemain handalan seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak serta Mohamad Azmi Muslim.

Johor Darul Takzim juga berjaya mengikat dua pemain import, Daniel Gonzales Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga serta pemain Serie A, Simone Del Nero.
Del Nero dan bekas pemain Sabah, K. Thanaraj bagaimanapun tidak akan diturunkan malam ini kerana masih cedera.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/