Memaparkan catatan dengan label Gareth Bale. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gareth Bale. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Oktober 2013

El Clasico dijangka lebih 'panas'


SEJAUH mana gandingan Neymar-Messi mampu menggegar akan teruji malam ini terutama dalam merobek gawang Real.


MADRID - Pertemuan El Clasico di Nou Camp malam ini bakal menjadi pengalaman pertama buat Neymar dan Gareth Bale sejak masing-masing menyertai Barcelona dan Real Madrid awal musim ini.

Barca ketika ini mendahului tiga mata ke atas Real dalam Liga Sepanyol, namun sejak kebelakangan ini, skuad kendalian Carlo Ancelotti dilihat seperti sudah menemui kembali prestasi sebenar mereka.
Barca pula gagal mengekalkan rekod kemenangan mereka buat pertama kali musim ini selepas seri 0-0 dengan Osasuna minggu lepas dan kemudian diikat 1-1 oleh AC Milan di San Siro pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Real berjaya menggunakan kelebihan itu untuk merapatkan jurang perbezaan mata dengan menewaskan Malaga 2-0 dan hampir pasti menjamin tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas mengatasi Juventus 2-1.

Berdasarkan situasi itu, pertahanan Real, Sergio Ramos percaya pertemuan kali ini lebih terbuka dan menolak sama sekali ia akan banyak dipengaruhi keputusan musim lalu.

"Sabtu ini, kami turun dalam perlawanan penting dan akan menjadi langkah utama untuk menang di Nou Camp," jelas Ramos.

"Namun, kami tahu pertemuan ini selalunya amat sukar dan semua perkara boleh berlaku.

"Apabila menilai El Clasico, kita tidak boleh hanya melihatnya berdasarkan keputusan sebelum ini ataupun perlawanan terakhir. Pertemuan ini biasanya penuh dengan intensiti dan tahap yang tertinggi.
"Ada beberapa perkara yang kami perlu terus pertingkatkan, namun yang pasti kami gembira kerana dapat turun di Nou Camp selepas mencatat kemenangan demi kemenangan baru-baru ini," ujarnya.

Real mungkin menurunkan Bale sebagai pemain gantian pada perlawanan esok dan Ancelotti juga dilihat masih mengekalkan kepercayaannya terhadap penyerang bermasalah, Karim Benzema.

Barca pula sudah pasti akan menurun- kan Neymar bersama-sama dengan Lionel Messi di jentera serangan dan penyerang Brazil itu mengakui yang dia sudah tidak lagi sabar untuk merasai suasana perte- muan El Clasico pertamanya sejak menyertai Barca, Jun lalu.

"El Clasico adalah satu perlawanan penting bagi mana-mana pemain. Ini akan menjadi perlawanan pertama saya dan saya mahu menjadikan ia penampilan yang paling hebat, kalau boleh meraih kejayaan," jelas Neymar. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 13 Oktober 2013

Bale disah cedera tulang belakang


REAL mengesahkan kecederaan Bale (kiri) tidak serius dan mampu beraksi menentang Juventus pada 23 Oktober dan Barcelona pada 26 Oktober ini.


MADRID - Pemain sayap bernilai £86 juta (RM433 juta), Gareth Bale disahkan mengalami kecederaan tulang belakang, demikian dedah kelabnya, Real Madrid semalam.

Namun Real menafikan bahawa Bale terpaksa menjalani pembedahan gara-gara kecederaan itu.
Tahap kecergasan Bale mula mengundang tanda tanya apabila hanya tampil sebagai pemain gantian The Galacticos dalam beberapa perlawanan Liga Sepanyol musim ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Bale mengalami kecederaan discal hernia sehingga menyebabkan dia gagal diturunkan sepenuh masa oleh pengendali Real, Carlo Ancelotti musim ini, namun ia disangkal pihak pengurusan Real.

"Bale tidak mengalami discal hernia sehingga memerlukan pembedahan, sebaliknya dia hanya mengalami kecederaan kecil pada disk spinal tulang belakang yang tidak akan menjejaskan peluangnya beraksi," kata Real dalam satu kenyataan semalam.

Ejen Bale, Jonathan Barnett juga membidas laporan media berkenaan dan menyifatkannya sesuatu yang tidak masuk akal.

"Bale pemain termahal dalam sejarah bola sepak. Jika ada sebarang masalah, sudah tentu Real menghentikan usaha mendapatkan khidmatnya sebelum ini," katanya.

Pemain sayap kelahiran Wales itu dijangka cergas sepenuhnya menjelang dua perlawanan getir berdepan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara pada 23 Oktober depan sebelum berdepan Barcelona dalam aksi liga domestik tiga hari kemudian. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 29 September 2013

Bale bermula dengan kekalahan


MADRID - Penantian panjang Gareth Bale untuk membuat penampilan sulung di Santiago Bernabeu berakhir dengan kekecewaan semalam, apabila Real Madrid kalah mengejut 0-1 kepada Atletico Madrid dalam perlawanan Liga Sepanyol.

Ini merupakan kekalahan pertama Los Blancos kepada musuh berjiran itu dalam tempoh 14 tahun, sekali gus ditinggalkan dengan lima mata di belakang dua pasukan teratas La Liga, Barcelona dan Atletico. 

Bale sekadar memanaskan bangku simpanan pada awal permainan dan hanya mampu melihat Koke melakukan hantaran untuk disempurnakan Diego Coasta, bagi meletakkan Atletico mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Pemain antarabangsa Wales itu kemudian dibawa masuk oleh Carlo Ancelotti pada babak kedua, namun dia tidak mampu memberi impak besar ketika Atletico mengekalkan rekod bersih 100 peratus pada kempen musim baharu. 

Atletico kini mengumpul 21 mata daripada tujuh perlawanan, hanya dipisahkan dengan perbezaan gol di belakang Barcelona, yang turut mencatat kemenangan ketujuh dengan menumpaskan Almeria 2-0, kelmarin. 

Biarpun memulakan musim dengan cemerlang, namun Koke menegaskan, Atletico masih belum memikirkan tentang kejuaraan kerana perjalanan liga masih panjang. 

"Kami sangat gembira dengan keputusan yang dicatat hari ini, ia adalah usaha bersama seluruh pasukan.

"Kami sedang mengharungi detik yang cemerlang dan mahu ia berterusan begini. Pengurus memberi beberapa arahan dan kami berjaya menjaringkan gol pembukaan dengan baik," ujar Koke. 

Ketua pasukan Real, Sergio Ramos pula mengakui, pasukannya perlu bangkit daripada kekalahan pertama musim ini dengan menunjukkan reaksi yang tepat. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 6 September 2013

Spurs dedah kenapa jual Bale


PEMBELIAN Bale (kiri) antara penyumbang utama kos pembelian pemain
di Liga Sepanyol meningkat dan tertinggi di dunia musim ini.


LONDON - Pengendali Tottenham Hotspur (Spurs), Andre Villas-Boas mengakui pihaknya tidak mempunyai pilihan selain daripada menjual Gareth Bale ke Real Madrid.

Penyerang berusia 24 tahun itu melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai £85.3 juta (RM438.4 juta) ke Santiago Bernabeu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, Isnin lalu.
"Kami menerima tekanan daripada pelbagai pihak untuk melepaskan Bale.

"Pengaruh yang dimiliki Real cukup besar, jadi tiada apa yang boleh kami lakukan berhubung perkara itu," jelas Villas-Boas.

Namun, Villas-Boas enggan berterusan memikirkan kehilangan Bale selepas ini.
"Sejujurnya, kami gembira dengan yuran perpindahan berkenaan.

"Saya percaya Bale memasang impian untuk beraksi bersama kelab yang besar seperti Real.
"Segala-galanya terpulang kepada pemain sama ada mahu kekal ataupun tidak," katanya.

Pada masa sama, Villas-Boas juga mempertikaikan tempoh perpindahan pemain yang dilihat mengganggu persiapan mana-mana pasukan.
"Ia sepatutnya ditutup lebih awal. Sebagai pengurus, saya memerlukan lebih masa untuk memperkuatkan pasukan.
"Tetapi ia sukar dilakukan jika mana-mana pemain mahu dibeli pasukan lain," katanya.
- AGENSI

Rabu, 4 September 2013

Gareth Bale

Nama Lengkap : Gareth Frank Bale
Tempat Lahir : Cardiff, Wales
Tanggal Lahir : 16 Juli 1989
Kebangsaan : Wales
Posisi : Bek kiri
Bermain di Kelab : Real Madrid

Gareth Frank Bale lahir 16 Julai 1989 adalah seorang pemain bola sepak yang berasal dari wales dan ketika ini dia bermain di Liga Premier bersama kelab Tottenham Hotspur selain itu dia juga merupakan pemain Pasukan Wales. Posisi sebenar  Bale adalah sebagai wingback kiri, namun baru-baru ini ia sering digunakan sebagai winger kiri. Bale memulai karier profesionalnya di Kejuaraan liga  Southampton pada tahun 2005 dan telah dipindahkan ke Tottenham dua tahun kemudian.

Karier Junior:
2005–2006 : Southampton

Karier Senior:
2006–2007 : Southampton
2007–2013 : Tottenham
2013-           : Real Madrid

Karier Antarabangsa:
2005–2006 : Wales U-17
2006 : Wales U-19
2006–2008 : Wales U-21
2006–Sekarang : Wales

Selasa, 27 Ogos 2013

Moyes 'kunci mulut' isu Bale

Berita Harian
 
Manchester: Pengurus Manchester United, David Moyes terus mengunci mulut mengenai cakap-cakap mahu membida bintang ternama Tottenham Gareth Bale selepas skuad kendaliannya seri 0-0 menentang Chelsea, awal pagi semalam.

Bale dilihat lebih menjurus menyertai Real Madrid tetapi selepas Tottenham mendakwa terdapat kelab kedua yang menawarkan tawaran ke atas pemain sayap The Wales itu kelmarin, Moyes ditanya mengenai minatnya itu.
Pengurus dari Scotland itu memberitahu Sky Sports: Saya sudah berkata sejak mula betapa Manchester United akan sentiasa berminat dengan pemain terbaik dan kami selalu cuba untuk membangunkan lagi pasukan.


Pemilik kelab sudah memberi saya segala peluang untuk mendapatkan siapa yang saya mahukan, jadi kami akan terus mencari pemain itu. Ia sukar pada perpindahan jendela tetapi kami selalu mencari pemain yang terbaik.

Tingkat tawaran Fellaini

Mengenai perlawanan menentang The Blues, Moyes berkata: Saya fikir kami sudah bermain dengan baik dan saya kecewa kami tidak dapat menyumbat jaringan. Mungkin kami kekurangan dari segi hantaran.

Saya fikir pertahanan Chelsea bermain dengan sangat baik. Jika sesiapa yang mempunyai peluang, ia sudah tentunya daripada kami. Kami memasuki padang dengan tiga penyerang tengah dan kami cuba untuk memenangi perlawanan.
Kami sudah mencuba sedaya upaya dan mungkin sebab bola jarang diterima Robin van Persie atau Wayne Rooney menyebabkan peluang jaringan itu kurang. Anda boleh bermain bola sepak dengan banyak cara.

Sementara itu, Moyes sudah bersiap sedia menawarkan tawaran baru bernilai 25 juta pound (RM129.62 juta) ke atas bekas pemainnya dari Everton, Marouane Fellaini dalam tempoh 24 jam ini. - Agensi

Isnin, 26 Ogos 2013

48 jam lagi 'episod Bale' berakhir: AVB

Berita Harian

London: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menegaskan perpindahan pemainnya, Gareth Bale ke Real Madrid masih belum dimuktamadkan tetapi menjangkakan rundingannya itu akan selesai dalam tempoh 48 jam.

Bale berada di Madrid ketika rakan sepasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Swansea di White Hart Lane, malam kelmarin untuk Tottenham meraih enam mata maksimum selepas menang dengan jaringan sama ke atas Crystal Palace, minggu lalu.
Sama ada perpindahan Bale terjadi atau tidak, harap ada berita mengenainya dalam tempoh beberapa hari ini dan buat masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan.


Kami benarkan dia (Bale) cuti dua hari. Ini bukan kali pertama. Kami tak pernah paksa pemain yang tidak disenaraikan untuk hadir menonton perlawanan kami. Latihan akan kembali bersambung Selasa (hari ini) dan saya jangka dia akan berada di sana, kata Villas-Boas.

Mentaliti baru

Usaha Tottenham mencari pengganti Bale terjejas apabila hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian tidak kesampaian apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Chelsea meskipun sudah menjalani ujian perubatan bersama Tottenham.

Lantas Villas-Boas dipercayai cuba mendapatkan penyerang Zenit St Petersburg, Hulk serta pemain pertahanan tengah Steaua Bucharest, Vlad Chiriches.
Biarpun tanpa Bale, Tottenham meraih tiga mata penuh ke atas Swansea menerusi sepakan penalti Roberto Soldado, jaringan keempat pemain Sepanyol itu dalam tiga perlawanan bersama Tottenham. - AFP

Bale menanti detik bersejarah


BALE dilapor hampir pasti menjadi milik Real musim ini.


MADRID - Bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale telah bersetuju dengan tawaran kontrak bernilai £97 juta (RM498.7 juta) untuk menyertai Real Madrid.

Kelab gergasi Sepanyol itu dilapor telah bersedia membuat pengumuman rasmi untuk mengikat Bale dengan nilai perpindahan sebanyak £86 juta (RM442.1 juta).

Jumlah itu sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan Bale menyertai Real ialah £183 juta (941 juta).
Real juga bersedia membayar gaji sebanyak £310,000 (RM1.59 juta) seminggu buat Bale bagi melengkapkan perpindahannya dari White Hart Lane dan dia akan menyarung jersi No. 11.

Dengan cukai pendapatan sekitar 52 peratus di Sepanyol, Bale bakal mendapat gaji bersih berjumlah £150,000 (RM771,330) seminggu.

Dengan jumlah itu, Bale bakal menerima gaji kedua tertinggi di Santiago Bernabeu setakat ini di belakang kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang masih lagi berusaha meminta pihak pengurusan Real menaikkan lagi gajinya.

Dalam pada itu, pentas juga sudah disiapkan di Santiago Bernabeu bagi memperkenalkan Bale kepada para peminat kelab gergasi Sepanyol tersebut sedikit masa lagi.

Ketika ini, Spurs berusaha keras bagi mendapatkan pengganti Bale selepas mereka terlepas peluang mendapatkan pemain tengah Brazil, Willian apabila pemain itu memilih menyertai Chelsea.

Spurs kemudiannya beralih tumpuan kepada penyerang AS Roma, Erik Lamela dan mereka bersedia mengeluarkan belanja bernilai £25.8 juta (RM132.6 juta).

Spurs juga berhasrat mendapatkan pemain pertahanan Romania dan Steaua Bucharest, Vlad Chiriches dengan nilai £8 juta (RM41.1 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 25 Ogos 2013

Imej Bale tiada lagi dalam laman web Spurs

 
London: Khabar yang mengatakan bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale akan menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid seakan menjadi kenyataan apabila gambar pemain itu sudah tidak kelihatan dalam laman web rasmi kelab Inggeris itu.

Selepas menyaksikan ‘drama’ Real yang menyenaraikan jersi dengan nama Bale dalam talian jualan mereka, gambar yang memaparkan Bale sebagai imej utama dalam laman web Spurs itu juga hilang, seakan memuktamadkan perpindahan pemain itu ke Sepanyol.
Adakah ia secara kebetulan? Walaupun masih belum terdapat sebarang pengesahan mengenai perpindahan Bale antara Spurs dan Real namun peminat kelab itu seperti sudah rela bakal kehilangan aset penting buat pasukan.


Sepanjang minggu ini, topik mengenai perpindahan Bale begitu hangat diperkatakan selepas Real memasukan jersi kelab itu dalam jualan secara online, Khamis lalu dengan memaparkan nama Bale pada jersi bernombor 11. - Agensi

Jumaat, 23 Ogos 2013

Real mula jual jersi Bale


MADRID - Real Madrid sudah mula 'menjual' Gareth Bale apabila jersi yang tertera nama bintang antarabangsa Wales itu sudah mula berada di pasaran semalam, meskipun pemain tersebut masih miliki Tottenham.

Difahamkan, rundingan di antara gergasi bola sepak Sepanyol itu dan Tottenham kini berada di peringkat akhir serta bersedia untuk mencapai persetujuan dalam tempoh terdekat, namun Bale masih belum berpindah atau mengorak langkah untuk ke Bernabeu. 

Akhbar Britain, Telegraph melaporkan, Bale dijangka melengkapkan perjanjian rekod dunia bernilai 93 juta pound (RM479.46 juta) pada hujung minggu ini.

Akhbar yang berpengkalan di Madrid, Marca dan AS pula menyiarkan gambar yang diambil daripada laman web Real, mempamerkan jersi No. 11 yang bakal dipakai oleh Bale yang sudahpun berada di pasaran. 

AS bagaimanapun berkata, penjualan jersi tersebut dilakukan oleh pengeluar sukan, Adidas sendiri bukan oleh kelab. 

Pengerusi Spurs, Daniel Levy dilaporkan telah mengadakan rundingan peringkat akhir dengan Real sejak dua hari lalu untuk dan persetujuan sudah dicapai, namun ia cuma melibatkan Bale dan tiada pemain lain terlibat. 

Real sebelum ini menawarkan beberapa pemainnya sebagai pertukaran untuk Bale.
Namun Spurs menegaskan, rundingan setiap pemain harus diadakan secara berasingan, termasuk yang melibatkan tonggak pertahanan Portugal, Fabio Coentrao. 

Perpindahan Bale dijangka tertangguh hingga Khamis depan kerana Real mengharungi perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Saad, yang merupakan pasukan kepada bekas penyerang mereka, Raul. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Real menyerah kalah?


MADRID - Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mula meragui keupayaan gergasi Sepanyol itu dalam mendapatkan khidmat bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale.

Bale yang juga pemain sayap Wales dijangka menninggalkan Spurs untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dan pihak Real juga dikatakan sudah bersedia memecahkan rekod perpindahan dunia pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ketika masa semakin suntuk dengan hanya tinggal lebih kurang dua minggu lagi untuk tarikh akhir perpindahan pemain, Ancelotti mula meragui keupayaan mereka membawa Bales ke Sepanyol dan beliau mendakwa yang pemain itu mungkin akan kekal di London.

Ancelotti, 54, tidak mahu lagi membicarakan tentang ketibaan Bale selepas dia dibidas oleh pengurus Spurs, Andre Villas-Boas baru-baru ini.

"Adakah Bale akan tiba di sini? Hari ini saya katakan tidak dan masih tiada perkembangan positif mengenai perkara itu.

"Ketika saya bercakap mengenai perkara ini baru-baru ini, (pengurus Spurs) Andre Villas-Boas telah menempelak saya. Jadi, ia bukanlah suatu isu yang ingin saya perjelaskan ketika ini," kata Ancelotti.
Ancelotti turut membuat perbandingan antara Real dengan AC Milan yang merupakan antara enam kelab yang pernah dibimbingnya setakat ini.

Menurut jurulatih kelahiran Itali itu, kedua-dua kelab tersebut memiliki persekitaran yang hampir serupa.

Katanya, Presiden Real, Florentino Perez serta Presiden Milan, Silvio Berlusconi merupakan individu yang sangat istimewa.

"Kedua-dua presiden kelab itu sangat menakjubkan. Terdapat suasana sangat baik antara kedua-dua kelab ini dan begitu juga sejarahnya," Ancelotti. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

Villas-Boas enggan lagi ulas perpindahan Bale


LONDON - Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas tidak mahu lagi mengulas mengenai masa depan Gareth Bale, yang dikatakan akan mencatat rekod perpindahan termahal di dunia ke Real Madrid sebelum tarikh akhir perpindahan pemain 2 September ini.

Bale mengalami kecederaan kaki dan sekali lagi tidak dapat beraksi ketika pasukannya seri 1-1 dengan Espanyol dalam aksi persahabatan di White Hart Lane kelmarin, di mana pemain baharu Roberto Soldado membuat kemunculan sulung dengan jaringan hasil sepakan penalti.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan mengenai Bale ialah saya tidak akan mengulas apa-apa lagi kerana semua orang membuat banyak spekulasi.

"Terbanyak pelbagai cerita yang berbeza yang mana ia tidak benar, ramai yang mengadakan-adakan cerita tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Apa yang boleh saya katakan ialah Bale sedang menjalani rawatan kerana kecederaan kaki.

"Mengenai spekulasi, saya tidak mahu menambahkan lagi apa yang telah saya beritahu anda," kata Villas-Boas.

Spurs meningkatkan kekuatan skuad dengan memecahkan rekod kelab dengan membeli Soldado dari Valencia pada harga 26 juta pound (RM131.2 juta).

Soldado berkata: "Apa yang seorang penyerang mahukan ialah menjaringkan gol, saya harap ini adalah yang pertama dan akan lebih banyak gol menyusul selepas ini."

Tottenham akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang pendatang baru Crystal Palace pada 18 Ogos. - AFP

Ahad, 4 Ogos 2013

Bale ucap selamat tinggal kepada Spurs


Gareth Bale 
 
LONDON - Gareth Bale mengucapkan 'selamat tinggal' kepada rakan sepasukannya di Tottenham dengan penuh emosi semalam dengan menandatangani autograf pada jersi sebelum skuad Andre Villas-Boas berlepas ke Monte Carlo untuk aksi persahabatan menentang Monaco.
Tottenham ke Monte Carlo tanpa membawa Bale, yang mengalami kecederaan kepala ketika pemain itu dikhabarkan diambang untuk menyertai Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bale juga mungkin terlepas aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan Wales yang akan menentang Ireland pada 14 Ogos ini kerana kecederaan.

Ketika Bale berusaha untuk mengembalikan kecergasannya, pengerusi Tottenham, Daniel Levy akan bersemuka dengan Presiden Real, Florentino Perez untuk membincangkan perpindahan Bale.
Real bersungguh-sungguh untuk melihat Bale beraksi di Bernabeu menjelang aksi pembukaan mereka menentang Real Betis pada 18 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu mungkin menjadi pemain termahal di dunia mengatasi rekod yang dipegang Cristiano Ronaldo, yang berpindah dari Manchester United ke Real dengan bayaran 94 juta euro (RM406 juta) pada 2009.

Levy dikatakan hanya menerima bidaan melepasi 105 euro (RM454 juta) untuk Bale. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Bola sepak dunia makin gila: Wenger

 
London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendakwa bidaan Real Madrid untuk memancing Gareth Bale dari Tottenham dengan nilai sekitar 85 juta pound (RM423.2 juta) membuatkan peraturan kewangan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebagai bahan jenaka.

Real dilaporkan sanggup berbelanja jumlah yang bakal memecah rekod dunia untuk mengatasi pembelian terdahulu kelab gergasi Sepanyol itu yang menambat Cristiano Ronaldo pada 2009 untuk memancing Bale angkat kaki dari White Hart Lane.
Lawan peraturan


Dan Wenger merasakan jumlah yang cukup besar dari Real itu bagaikan melawan peraturan dikeluarkan badan induk Eropah itu yang mensasarkan mengawal perbelanjaan kelab selain gagal menghalang perbelanjaan besar kelab seperti Manchester City dan Paris Saint German yang dimiliki jutawan kaya raya dari Timur Tengah.

Ia menjadikannya sebagai bahan jenaka. Ia cukup menakjubkan dalam pada tahun peraturan kewangan diperkenalkan, bola sepak dunia menjadi semakin gila, kata Wenger.

Kamu berfikir apakan impak dan kesan kepada bola sepak dunia. Ia nampaknya menjadikan semua orang lebih teruk berbanding sebelum ini.

Begitupun, sekiranya Bale meninggalkan Spurs, ia memberi kesan besar kepada Arsenal yang bersaing sengit dengan pencabarnya dari London itu untuk tempat ke Liga Juara-Juara musim lalu namun Wenger menegaskan dia tidak gembira pemain tinggi lampai itu meninggalkan Liga Perdana.
Ia sesuatu yang tidak pernah baik jika kamu kehilangan pemain yang hebat, kata Wenger. Dia seorang pemain British dan saya percaya adalah penting untuk Liga Perdana Inggeris mengekalkan pemain terbaiknya, kata Wenger.
AFP

Jumaat, 2 Ogos 2013

Bale ganti Ronaldo?


Gareth Bale 
 
LONDON - Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya usaha kelab itu untuk membeli pemain Tottenham Hotspur, Gareth Bale bertujuan untuk menggantikan Cristiano Ronaldo.

Madrid membuat bidaan rekod dunia 85 juta pound (RM418 juta) untuk Bale, yang menyatakan hasrat untuk berpindah dan Calderon mendakwa penggantinya, Florentino Perez mahu membuat persediaan dengan mendapatkan Bale, bimbang jika mereka kehilangan Ronaldo.

Ronaldo sudah lama dikaitkan dengan perpindahan semula ke bekas kelabnya Manchester United dan ada laporan bahawa tuntutan gaji baharu oleh pemain itu sukar untuk dipenuhi oleh Real.

Perez pernah mengisytiharkan Ronaldo akan kekal di Bernabeu sehingga pemain itu bersara namun penyerang mereka menafikan dia telah menandatangani kontrak baharu pada awal musim panas ini.

Calderon berkata, ketibaan Bale akan melegakan penyokong jika mereka Ronaldo memilih tidak mahu kekal di Madrid.

“Saya tahu Ronaldo tidak gembira dengan sikap dan tindak tanduk presiden kelab. Dia menuntut gaji baharu 20 juta Euro (RM86 juta) setahun yang sukar diterima oleh Real.

“Saya rasa presiden kelab mahu membuat persediaan sebaik mungkin jika Cristiano tidak mahu menandatangani kontrak baharu. Itu andaian saya.

“Presiden bimbang pada suatu ketika Cristiano mungkin akan berkata ‘saya tidak mahu terus berada di kelab ini’.

“Ia pastinya berita buruk buat Madrid. Saya memang mahu melihat dia bersara di Real namun sekarang keadaannya sukar. Sama-sama kita tengok minggu depan atau bulan depan sama ada masalah ini boleh diselesaikan dan dia mungkin kekal," kata Calderon.

Bale memberitahu bos Spurs, Andre Villas Boas bahawa dia mahu menyertai Carlo Ancelotti di Real Madrid pada hari pertama dia kembali memulakan latihan selepas bidaan sensasi Real.

Pengarah Sukan Real, Zinedine Zidane berkata, Bale sepatutnya dibenarkan merealisasikan impiannya untuk berpindah ke Sepanyol sambil menambah dia mungkin boleh menjadi pemain terbaik dunia di Bernabeu.

Kata Zidane: “Jika dia melahirkan hasrat untuk menyertai Madrid, Tottenham harus memberikan kebenaran kepadanya untuk berbincang dengan kami." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 31 Julai 2013

Tottenham mahu Modric



MODRIC (kiri) menjadi pemain pertukaran sekiranya Real berhasrat untuk mendapatkan Bale daripada Tottenham.


LONDON - Tottenham Hotspur dilaporkan bersedia menjual Gareth Bale kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana England itu mahukan Luka Modric sebagai pertukaran.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy yang berkeras untuk tidak melepaskan Bale sebelum ini mula berlembut, tetapi beliau akan berusaha sedaya upaya mahu 'menyusahkan' kelab Liga Sepanyol itu.
Levy dilaporkan mahu mendapatkan semula Modric sebagai pertukaran tambahan terhadap pembelian Bale.


Spurs bersetuju melepaskan Bale tetapi mereka berhasrat untuk membawa semula Modric ke White Hart Lane dengan harga melebihi £80 juta (RM395.7 juta) yang Real bayar kepada United ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo pada 2009.

Pendirian Levy berubah selepas beliau sedar tentang kesanggupan Real untuk membayar jumlah yang besar semata-semata mahu membawa pemain sayap Wales itu ke Stadium Santiago Bernabeu.

Sebelum ini, pemain pertahanan kiri, Fabio Coentrao dan pemain sayap Angel Di Maria dipertaruhkan sebagai pertukaran dalam syarat tambahan ke atas pembelian Bale.

Namun, Di Maria difahamkan enggan menyertai kelab London itu dan kini Modric dilihat sebagai pilihan kedua.

Perancang berusia 27 tahun itu menyertai Real dengan harga £33 juta (RM163.2 juta) musim lepas.
Spurs yakin Modric berminat untuk menyertai semula skuad itu dengan prospek kehadiran penyerang baharu dari Valencia, Roberto Soldado dan beberapa pemain lagi dalam perancangan.

Modric pula dilihat bergelut berada dalam kesebelasan utama Real, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa dia mungkin akan kembali ke Liga Perdana England. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 30 Julai 2013

Selesai segera isu Bale




LONDON - Penolong pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane mahu membawa Gareth Bale ke skuad Los Blancos secepat yang mungkin. 

Zidane mendedahkan keinginan itu selepas spekulasi perpindahan pemain tengah Tottenham Hotspur tersebut ke Stadium Santiago Bernabeu semakin hangat.

Pemain legenda Perancis itu berharap, perjanjian dengan pemain antarabangsa Wales yang turut menjadi buruan Manchester United itu akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.
"Kami tidak akan berputus asa dengan Bale.

"Mustahil kami akan melupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Sesuatu yang normal apabila Tottenham mahu dia menandatangani kontrak baharu tetapi kami menjelaskan bahawa dia adalah objektif utama kami," kata Zidane.

Bale dilaporkan telah memberitahu Tottenham bahawa dia mahu mengadakan perbincangan dengan Real berhubung satu rekod perpindahan dunia.

Real turut memberi amaran kepada Bale bahawa dia hanya memperoleh peluang itu sekali seumur hidup.

Kelab gergasi Sepanyol itu mahu perpindahan tersebut diselesaikan secepat mungkin atau mereka mungkin membeli pemain lain.

Presiden Real, Florentino Perez akan berbincang dengan pengerusi Spurs, Daniel Levy di Miami awal bulan Ogos depan apabila kelabnya menghadapi jelajah pra-musim di London.

Bale bakal ditawarkan kontrak baharu untuk membolehkannya kekal di White Hart Lane, namun dia dikatakan enggan menerimanya dan akan meminta Spurs supaya melepaskannya secara rasmi.

Sebelum ini Bale mendedahkan bahawa dia gembira berlatih di bawah bimbingan Andre Villas-Boas, namun dia juga sedar peluang untuk beraksi dengan kelab sehebat Real tidak mungkin akan datang sekali lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 29 Julai 2013

Levy 'kunci mulut'



BALE akan kekal dengan Tottenham musim depan meskipun mendapat tawaran lumayan daripada Real.


LONDON - Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy bertindak 'mengunci mulut' berhubung tawaran rekod dunia yang dikemukakan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale.

Levy, 51, memberi kata putus bahawa tiada lagi perbincangan berkaitan pemain antarabangsa Wales itu.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menjual Bale pada musim panas ini walaupun Real menawarkan bidaan yang berlipat kali ganda.

Meskipun sebelum ini Bale semakin hampir untuk berpindah ke Real, Levy berkeras menolak tawaran lumayan Real bernilai £51 juta (RM253.4 juta) ditambah dengan dua bintang mereka, Angel Di Maria dan Fabio Coentrao, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan £95 juta (RM471.9 juta).

Minggu lalu, akhbar-akhbar tempatan kembali meniupkan spekulasi mengenai hasrat Real untuk menjadikan Bale sebagai pemain terbaharu skuad The Galactico.

Namun, Levi pantas menafikan hasrat Real tersebut dan Spurs juga turut membuat satu pembelian besar dengan membawa masuk bintang Valencia, Roberto Soldado dengan nilai £26 juta (RM129.1 juta).

Sementara itu, satu sumber daripada Real mendakwa Bale merupakan sasaran utama kelab itu.
"Bale merupakan pilihan utama. Kami akan berusaha mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Kami berharap proses bidaan terhadap Bale akan berjalan lancar," menurut sumber itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Real buat bidaan terakhir

BALE enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.


LONDON - Real Madrid dilaporkan bersedia untuk membuat bidaan terakhir sebanyak £95 juta (RM456 juta) bagi mendapatkan khidmat Gareth Bale daripada Tottenham Hotspurs.

Sebuah akhbar di London melaporkan, selain wang tunai berjumlah £51 juta (RM244.8 juta), kelab gergasi Sepanyol itu difahamkan turut menawarkan dua pemainnya, Angel Di Maria yang bernilai £25 juta (RM120 juta) dan Fabio Coentrao yang bernilai £19 juta (RM91.2 juta) sebagai pertukaran.

Jika menjadi kenyataan, ia merupakan rekod terbaharu dan tertinggi membabitkan pembelian pemain dalam tempoh satu abad yang lalu.

Real meningkatkan tawaran ke atas Bale selepas menyaksikan tawaran sebelum ini bernilai £81 juta (RM388.8 juta) ditolak Spurs mentah-mentah.

Kesediaan meningkatkan tawaran itu menunjukkan kesungguhan presiden Real, Florentino Perez untuk menjadikan Bale bintang terhebat kelab Liga Sepanyol itu.

Tawaran itu turut memberi tekanan kepada pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk memikirkan semula bidaan lumayan yang diterima mereka.

Bale sebelum ini pernah memberitahu Levy tentang minatnya untuk menyertai Real Madrid.

Namun, pemain sayap berusia 24 tahun itu enggan menulis surat permohonan untuk berpindah atau melancarkan mogok bagi memaksa Spurs melepaskannya.

Sementara itu, pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas berkata, beliau memang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap dari Argentina, Di Maria, 25, dan Coentrao, 25, yang boleh bermain di posisi bek kiri atau tengah. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 26 Julai 2013

Bale setia dengan Spurs

LONDON - Gareth Bale dijangka kekal dengan Tottenham Hotspur selepas melaungkan amaran untuk membantu kelab Liga Perdana England itu menyambar slot Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika ini, Real Madrid semakin serius untuk memburu khidmat pemain sayap berusia 24 tahun itu dan bersedia mengemukakan tawaran bernilai £80 juta (RM391.8 juta).

Skuad The Galacticos mahu menggandingkan Bale dengan Cristiano Ronaldo di Stadium Santiago Bernabeu di bawah pengurus baharu, Carlo Ancelotti.

Namun, Bale mahu kekal di White Hart Lane selepas Spurs dikatakan bersetuju menawarkan kontrak baharu yang menawarkan gaji mencecah £150,000 (RM734,626) seminggu.

"Sudah tentu Spurs mampu beraksi pada kempen Liga Juara-Juara, jika sebaliknya, tiada gunanya saya bersama kelab ini.

"Saya percaya masanya akan tiba dan akan memberikan yang terbaik bagi membuktikan bahawa kami mampu layak ke kempen Liga Juara-Juara," kata Bale.

Selain menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik, Bale juga percaya Spurs mampu mendakap trofi Liga Perdana England musim ini.

"Kami memiliki skuad yang terbaik untuk memberikan cabaran, jadi tiada alasan mengapa kami gagal melakukannya.

"Segala-galanya terpulang bagaimana kami mengekalkan corak permainan yang konsisten," kata Bale.

Pada masa sama, Bale turut mengalu-alukan kehadiran pemain baharu termasuk Paulinho yang dilihat berupaya membantu Spurs merealisasikan sasaran mereka musim depan.

"Saya menyaksikan cara Paulinho beraksi pada kempen Piala Konfederasi dan percaya dia pemain yang hebat.

"Sudah tentu kehadirannya menjadikan kami bertambah mantap musim depan," kata Bale. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my