Memaparkan catatan dengan label Manchester City. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manchester City. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2013

Rentak sempurna Fernandinho



FERNANDINHO (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika aksi menentang Arsenal di Stadium Etihad kelmarin. City menang 6-3.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menyifatkan Fernandinho telah menampilkan corak permainan sempurna sewaktu kemenangan besar 6-3 ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

Fernandinho yang dibeli dari kelab Ukraine, Shakhtar Donest dengan nilai RM158 juta pada Jun lalu mula dilabel antara pemain terbaik City selepas membuat 13 penampilan musim ini.

Pada aksi di Stadium Etihad kelmarin, pemain antarabangsa Brazil itu meledak dua gol dan ia merupakan jaringan pertamanya dalam saingan liga domestik.

"Fernandinho telah beraksi dengan sangat hebat. Ia bukanlah hanya sekadar dua gol, malah dia kerap kali berjaya merampas bola daripada pihak lawan dan membuka ruang kepada pemain lain.

"Saya sangat gembira dengan persembahannya, namun kamu boleh menilai dia sendiri apabila tamat musim nanti. Prestasinya akan meningkat dari setiap minggu.

"Fernandinho adalah pemain tengah Brazil yang sangat tipikal. Dia mengawal bola dengan cantik dan kelajuan yang dimiliki membolehkannya kerap naik untuk menyerang. Dia juga mempunyai gandingan serasi bersama Yaya Toure.

"Yaya Toure, Samir Nasri dan David Silva juga telah beraksi cemerlang. Dengan adanya pemain-pemain ini (termasuk Fernandinho) membuatkan pihak lawan sukar untuk menembusi benteng tengah kami," kata Pellegrini.

Pellegrini turut mengakui bahawa Fernandinho telah membuktikan City membuat keputusan berbaloi walaupun yuran perpindahannya dianggap terlalu tinggi.

"Pemain yang berkualiti tidak murah," jelas bekas pengendali Real Madrid dan Malaga itu.

Pada aksi kelmarin, enam gol City telah dijaringkan oleh Sergio Aguero pada minit ke-14, Alvaro Negredo (39), Fernandinho (50 dan 88), Silva (66) dan sepakan penalti daripada Toure (90).

Tiga gol Arsenal telah dijaringkan oleh Walcott yang meledak dua gol pada minit ke-32 dan 63 sementara satu lagi menerusi tonggak pertahanan, Per Mertesacker. 

The Citizen meneruskan jumlah jaringan besar di Stadium Etihad apabila merekodkan 35 gol dalam lapan perlawanan di laman sendiri setakat ini. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 November 2013

Aura England mampu gamit perhatian Messi


LONDON - Penyerang Manchester City, Alvaro Negredo percaya Lionel Messi bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana England dalam tempoh dua tahun lagi.

Biarpun Messi membayangkan bakal menamatkan karier bersama Barcelona, Negredo yakin Messi akan mengikuti jejak langkah ramai pemain bintang berhijrah ke England.

"Saya percaya Messi akan datang ke England suatu hari nanti.

"Dia pasti mengikut jejak langkah beberapa pemain seperti David Silva, Juan Mata, Santi Cazorla, David de Gea dan termasuk saya.

"Bagi saya, Messi mampu beraksi dengan baik dalam mana-mana liga di dunia.

"Jika dia telah bosan dengan saingan Liga Sepanyol dalam tempoh dua atau lima tahun lagi, saya percaya dia akan datang ke England," kata Negredo.

Negredo yang menyertai City dari Sevilla musim ini, tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri apabila mencetak empat gol dalam saingan liga domestik.

Dia juga cemerlang memastikan City layak ke pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara musim ini selepas The Citizens terkandas di peringkat kumpulan dalam dua edisi terdahulu.

Pada masa sama, Negredo juga mengakui terkejut dengan kualiti yang dimiliki setiap pasukan dalam aksi Liga Perdana England.

"Liga Perdana England merupakan medan terbaik buat pemain terkemuka dunia.

"Berada di sini dalam tempoh beberapa bulan dilihat lebih baik daripada apa yang saya jangka pada mulanya," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 27 Oktober 2013

Pellegrini perlekeh Mourinho


LONDON - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mengakui bahawa beliau tidak berminat untuk melayan serangan psikologi yang dilancarkan pengendali Chelsea, Jose Mourinho.


Kedua-dua pengendali itu pernah bertemu pada kempen Liga Sepanyol selepas Pellegrini mengemudi Malaga dan Mourinho bersama Real Madrid.

Bagaimanapun, aksi malam ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pengendali itu di England.
Pellegrini berkata, beliau tidak mahu terlibat dengan serangan psikologi yang dilancarkan Mourinho.
"Saya tidak terlibat dengan situasi itu dan saya tidak mahu melibatkan diri.
"Saya tidak mengenali beliau (Mourinho). Dia pernah bekerja di Sepanyol manakala saya dengan kelab lain (Malaga).

"Kami pernah bertemu ketika Real menentang Malaga. Itu sahaja dan saya tidak perlu memberikan apa-apa kenyataan terhadap beliau," kata Pellegrini.

Chelsea kini menduduki tangga kedua liga selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Cardiff City manakala City menduduki tangga keempat selepas menewaskan West Ham United 3-1 hujung minggu lalu.

Selain aksi liga domestik, kedua-dua kelab itu turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara apabila skuad The Blues berjaya menewaskan Schalke 04 3-0.

Skuad The Citizens pula memperoleh kemenangan tipis 2-1 ke atas CSKA Moscow, Rabu lalu. - AFP

Selasa, 22 Oktober 2013

Pelligrini tuntut City ambil kesempatan benam CSKA

 
Berita Harian
 
Moscow: Gergasi Inggeris, Manchester City bersedia untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua Kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan kedua berturut-turut di laman lawan ketika bertemu jaguh Russia, CSKA Moscow awal pagi ini.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2012 dan naib juara tahun lalu City hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan di laman lawan pada dua kempen Liga Juara-Juara sebelum ini namun memulakan saingan musim ini dengan kemenangan 3-0 ke atas wakil Republik Czech, Viktoria Pilsen.

Begitupun, kekalahan kepada pendahulu kumpulan yang juga penyandang juara Liga Juara-Juara, Bayern Munich mencerminkan sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Manuel Pelligrini ini untuk bergelar pencabar utama namun melangkah ke pusingan kalah mati turut menandakan kebangkitan City yang sebelum ini gagal mara ke pusingan kedua dua kali berturut-turut di bawah bimbingan Roberto Mancini.


Gagal cipta kemenangan

“Kini kami bermain empat perlawanan berturut-turut di laman lawan jadi ia masa terbaik, pertama menang di laman lawan menentang West Ham dan kemudian mengulangi kejayaan itu ketika menentang Pilsen dalam Liga Juara-Juara,” kata Pellegrini.

City bakal menentang CSKA yang gagal mencatat sebarang kemenangan mahupun gol dalam lima perlawanan liga setakat ini dengan penyerang Argentina, Sergio Aguero membuktikan ketajamannya ketika meledak dua kali ketika menewaskan West Ham 3-1, minggu lalu.

Pelligrini dalam pada itu masih berharap pertahanan Belgium, Vincent Kompany akan cergas untuk beraksi namun lebih bimbang dengan keadaan padang di Moscow yang sebelum ini tidak mendapat kelulusan untuk menganjurkan perlawanan.
“Kami tidak tahu bagaimana keadaan padang (Khimki arena),” Pellegrini. “Kami berharap UEFA membenarkan mereka bermain di sana kerana ia padang yang baik.”

Begitupun, sebelum ini laporan daripada delegasi UEFA yang mengadakan ujian terhadap keadaan padang berkata ia cukup baik untuk digunakan. - AFP

Khamis, 3 Oktober 2013

Everton ujian terbaik buat City


PEMAIN-PEMAIN City kelihatan kecewa selepas tewas 1-3 kepada Bayern pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi semalam.


LONDON - Manchester City dijangka berdepan satu lagi ujian sukar dalam saingan Liga Perdana England menentang Everton di Stadium Etihad malam esok.

Berbanding Everton yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah musim ini, anak-anak buah Manuel Pellegrini dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Aston Villa, Sabtu lalu. 

Selain itu, skuad The Citizens turut dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri awal pagi semalam.

"Sudah tentu saya bimbang mengenai kesilapan yang dilakukan pemain-pemain tetapi saya rasa, ia bukan satu perlawanan yang mudah. Kami menentang salah sebuah pasukan yang hebat.

"Persembahan kami tidak seperti yang dirancang. Sesuatu yang penting untuk memikirkan mengenai masa depan dan mencari jalan penyelesaiannya," kata Pellegrini mengenai kekalahan kepada Bayern.
Everton menjadi pasukan tunggal yang masih belum tewas sepanjang enam perlawanan pertama musim ini dan memenangi tiga perlawanan terakhir berturut-turut.

Situasi itu meletakkan Everton di tangga keempat selepas mengumpul 12 mata iaitu tiga mata di depan pendahulu, Arsenal.

Sementara itu, David Moyes dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sunderland yang hanya mengutip satu mata musim ini dan tiada pengurus tetap selepas Paolo Di Canio di pecat.

Wayne Rooney yang tidak beraksi ketika United seri 1-1 dengan Shakhtar Donetsk pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam dijangka kembali mengemudi jentera serangan skuad The Red Devils.

Bagi pengendali sementara Sunderland, Kevin Ball, perlawanan menentang United dianggap sebagai medan terbaik untuk mendapatkan jawatan itu secara tetap. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 2 Oktober 2013

City tagih pengalaman Pellegrini



PEMAIN-PEMAIN City perlu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Bayern di Stadium Etihad awal pagi esok.


LONDON - Manuel Pellegrini berdepan ujian getir pertama pada aksi Liga Juara-Juara selaku pengurus Manchester City apabila bertemu juara bertahan, Bayern Munich pada aksi Kumpulan D di Stadium Etihad awal pagi esok.

City tersingkir di peringkat kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara sepanjang dua musim lalu dan salah satu sebab Pellegrini dipilih untuk menggantikan Roberto Mancini adalah kerana trek rekodnya di peringkat benua.

Pellegrini sekadar membawa Real Madrid ke kelompok 16 pasukan terakhir pada 2010 tetapi beliau membantu Villarreal mara ke separuh akhir pada 2006 dan Malaga ke peringkat suku akhir musim lalu.

Pada aksi menentang Bayern yang memegang status selaku juara Jerman dan Eropah, Pellegrini tidak meletakkan harapan yang besar pada aksi Eropah pertama di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman yang dikutip di Sepanyol terutamanya ketika jurulatih Bayern, Pep Guardiola membimbing Barcelona selama empat tahun, pengendali kelahiran Chile itu yakin beliau tahu bagaimana mahu menghadapi situasi tersebut.

"Sangat sukar buat masa ini kerana Bayern semakin meningkat kerana mereka memenangi tiga pertandingan terakhir tetapi dia (Guardiola) akan mencari jalan sebab dia adalah seorang pengurus yang hebat.

"Dia tahu bagaimana untuk menghadapi sesuatu perlawanan. Jadi, dia akan melakukan perkara yang berlainan tetapi kami juga mengenali Guardiola. Saya berada di Sepanyol selama sembilan tahun. Jadi, saya tahu bagaimana corak permainan yang akan ditampilkan Guardiola," kata Pellegrini.
Kedua-dua pasukan membuka tirai Kumpulan D dengan kemenangan 3-0.

Bayern menewaskan CSKA Moscow di Allianz Arena dan City meledakkan tiga gol di gelanggang lawan ketika berdepan juara Republik Czech, Viktoria Pilsen.

Bagaimanapun, City dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.

Kini, Pellegrini berharap untuk menurunkan David Silva dan Sergio Aguero selepas kedua-dua pemain itu terlepas kunjungan ke Villa Park kerana mengalami kecederaan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 September 2013

United, Chelsea pencabar City


AGUERO (kiri) memilih United dan Chelsea sebagai pencabar utama City dalam merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.


LONDON - Sergio Aguero percaya Manchester United dan Chelsea merupakan dua pencabar utama Manchester City dalam kempen Liga Perdana England musim ini.

Selain itu, penyerang berusia 25 tahun itu yang membantu The Citizens menamatkan kemarau trofi liga selama 44 tahun dua musim lalu turut memasang impian memburu anugerah Kasut Emas musim ini.

Pada masa sama, Aguero juga memuji pendekatan pengurus baharu, Manuel Pellegrini sejak tiba di Etihad Jun lalu.

"United pastinya cuba mempertahankan trofi yang dimenangi mereka di bawah kendalian pengurus baharu.

"Chelsea juga tidak kurang berbahaya kerana tampil di bawah sentuhan Jose Mourinho.

"Cuma, kami juga dikendalikan pengurus baharu. Sudah tentu kesemua pasukan memiliki peluang seimbang musim ini," kata Aguero.

Aguero juga percaya semangat juang pemain The Citizens jauh lebih baik musim ini.

"Setiap pengurus berbeza, tetapi pemain gembira dengan apa yang diamalkan Pellegrini.

"Dia gemar berbincang bersama pemain, selain hubungan baik dengan pemain-pemain baharu juga menakjubkan.

"Saya harap dapat meledak banyak gol musim ini bagi merampas semula trofi liga.

"Asalkan kami memenangi perlawanan demi perlawanan, saya sudah cukup gembira," jelasnya. - AGENSI

Isnin, 26 Ogos 2013

'Saya tabik pemain, penyokong'

Berita Harian
 
Cardiff: Congakan Malky Mackay yang membelanjakan 28 juta pound (RM143.9 juta) untuk pembelian pemain baru bagi mengelak Cardiff City daripada tersingkir jelas berbaloi ketika ini.

Pasukan dengan jolokan The Blue Birds mencipta kejutan terbesar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini selepas menewaskan barisan kaya, Manchester City 3-2 di gelanggang sendiri kelmarin yang turut menyaksikan pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan dari Malaysia tersenyum lebar tanda puas hati.
Saya benar-benar gembira. Untuk semua orang di kelab ini, hari ini (kelmarin) adalah sesuatu yang sudah lama ditunggu-tunggu.


Ia cukup bermakna untuk semua di sini sejurus wisel penamat ditiup. Saya perlu akui cukup bangga dengan semua orang di sini. Sudah tentu saya bangga dengan pemain tetapi penyokong juga tidak boleh dilupa. Mereka bersama-sama ketika mengharungi waktu sukar, kata Mackay.

Pellegrini salahkan benteng

Jaringan penyamaan Aron Gunnarsson disusuli dua tandukan Fraizer Campbell memberi kesukaran buat City yang terlebih dulu di hadapan hasil jaringan Edin Dzeko dan biarpun berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Alvaro Negredo pada masa kecederaan, ia sudah terlewat.

Namun, ia bukan hari yang menggembirakan buat pasukan pelawat biarpun pengurus City, Manuel Pellegrini tidak mahu menyalahkan barisan pertahanannya.
Saya tak rasa pertahanan menjadi punca kekalahan ini. Tiada masalah di posisi pertahanan tengah. Cardiff tidak memberikan banyak masalah tetapi perlawanan ditentukan menerusi dua sepakan penjuru lawan itu.

Kemenangan 51 tahun

Cara bertahan adalah tugas seluruh pasukan, bukan hanya penjaga gol atau pemain pertahanan. Tidak kiralah siapa yang bersalah.

Apabila kami menjaringkan gol pertama, saya fikir ia akan menjadi lebih mudah kerana kami berdepan lawan yang meletakkan 10 pemainnya di kawasan sendiri. Tapi kami pula gagal bermain dengan baik, kata Pellegrini.

Selepas tewas 2-0 kepada West Ham minggu lalu, kejayaan menumpaskan City itu adalah kemenangan pertama Cardiff di liga tertinggi itu selepas kali terakhir melakukannya pada 1962. - AFP

Ahad, 25 Ogos 2013

Man. City tetap hormati Cardiff


LESCOTT (kanan) turut bimbang dengan ancaman Cardiff pada aksi kedua Liga Perdana England di Stadium Cardiff City malam ini.


CARDIFF - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah cabaran Cardiff City pada aksi kedua Liga Perdana England di Stadium Cardiff City malam ini.

City membuka tirai liga dengan penuh bergaya apabila membelasah Newcastle United 4-0 pada aksi kompetitif pertama Pellegrini selaku pengurus skuad The Citizens, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Cardiff bermula hambar apabila tewas 0-2 kepada West Ham United.

Pellegrini berkata, kemenangan ke atas skuad The Toon itu bukan satu jaminan buat City untuk menghadapi Cardiff.

"Kami tidak memandang rendah keupayaan Cardiff walaupun mereka baharu dinaikkan pangkat dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
"Cardiff akan menjadi lawan paling sukar terutamanya apabila kami bertandang ke gelanggang lawan. 

"Kami sedar, City perlu bermain dengan baik untuk mengutip tiga mata penuh di sana tetapi kami akan kekal fokus dan bersedia bagi menghadapi cabaran seterusnya," kata bekas jurulatih Malaga itu.
Pemain pertahanan City, Joleon Lescott turut bimbang dengan ancaman Cardiff.

Lescott mengakui kehebatan Cardiff kerana dia pernah menentang skuad kendalian Malky Mackay itu ketika bersama bekas pasukan, Wolverhampton Wanderers FC.

"Saya pernah beraksi dengan Wolves dan saya cukup arif dengan suasana hebat yang akan berlaku di sini (Stadium Cardiff City)

"Saya yakin bahawa (penyerang Cardiff) Craig Bellamy akan memainkan peranan penting, sekali gus membuktikan bahawa perlawanan ini sangat penting.

"Jika kami berjaya mengikut arahan pengurus dengan baik, kami sangat yakin untuk membawa pulang tiga mata penuh," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

Pellegrini puji aksi Dzeko



DZEKO (kanan) beraksi dengan baik ketika City menang 4-0 ke atas Newcastle di Stadium Etihad awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini yakin Edin Dzeko sudah bersedia untuk menampilkan potensi sebenarnya di Eastlands.

Dzeko menyertai City dari Wolfsburg dengan yuran perpindahan sebanyak £27 juta (RM139.3 juta) pada Januari 2011, namun penyerang Bosnia itu bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama skuad The Citizens.

Penyerang berusia 27 tahun itu menjadi penjaring terbanyak City musim lalu selepas meledakkan 14 gol.

Bagaimanapun, spekulasi tetap tersebar mengenai perpindahannya ke kelab lain selepas ketibaan beberapa pemain berprofil tinggi seperti Alvaro Negredo dan Stevan Jovetic musim panas lalu.

Begitupun, Dzeko beraksi dengan baik ketika City menang 4-0 ke atas Newcastle United pada aksi pertama Liga Perdana England di Stadium Etihad awal pagi semalam, sekali gus meyakinkan Pellegrini bahawa dia mampu menampilkan kemampuan sebenarnya sebagai penyerang utama di kelab itu.

"Saya mempunyai keyakinan penuh kepada Dzeko. Dia tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol ketika menentang Newcastle meskipun dia memiliki banyak peluang dan beraksi dengan baik.

"Kami tahu dia seorang pemain yang hebat ketika memegang bola.

"Dia bekerja keras untuk merampas semula bola. Selain itu, dia turut memperoleh tiga atau empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

"Saya yakin, kami akan dapat melihat penampilan sebenar Dzeko musim ini seperti mana ketika City membelinya dari Wolfsburg dua tahun lalu," kata Pellegrini.

Pada aksi awal pagi semalam, David Silva meletakkan City di depan pada minit keenam sebelum Sergio Aguero menggandakan jaringan pada minit ke-22.

Yaya Toure menambah gol ketiga pada minit ke-50 sebelum Samir Nasri menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-75. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Pellegrini sokong Hart


HART dikritik hebat selepas England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa, Khamis lalu.


LONDON - Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini memberikan sokongan padu kepada penjaga gol, Joe Hart menjelang aksi sulung Liga Perdana England menentang Newcastle United di Stadium Etihad awal pagi Selasa ini.

Pellegrini masih menaruh kepercayaan kepada Hart meskipun prestasinya di kritik hebat ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa, Khamis lalu.
Hart yang bergelut dengan prestasi tidak menentu bersama City dan skuad England musim lalu, sekali lagi dikecam hebat kerana kegagalannya menghalang gol pembukaan Scotland menerusi James Morrison.

Begitupun, Pellegrini merancang untuk berbincang dengan Hart dan pemain itu perlu membuktikan musim ini bahawa dia masih layak menjadi penjaga gol No. 1 England.

"Saya masih belum bercakap dengannya lagi, mungkin esok (semalam), tetapi saya rasa Hart perlu membuktikannya setiap minggu mengapa dia masih menjadi penjaga gol No. 1 England.

"Dia seorang penjaga gol yang penting, saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadapnya. 

"Setiap orang boleh melakukan kesilapan tetapi saya tetap mempercayainya dan yakin dia akan menunjukkannya sekali lagi tahun ini mengapa dia masih menjadi penjaga gol terbaik di England," kata Pellegrini.

Sementara itu, Pellegrini mengesahkan bahawa penyerang Sergio Aguero akan diturunkan pada aksi pembuka kempen Liga Perdana England menentang Newcastle meskipun pemain Argentina itu tidak beraksi dalam tujuh aksi jelajah pra-musim baru-baru ini.

Pemain pertahanan Matija Nastasic yang pada awalnya diramal berehat selama enam minggu kerana kecederaan buku lali, mungkin akan diturunkan pada aksi kedua menentang Cardiff City selepas menjalani latihan lebih awal daripada jangkaan.

City kini masih memburu seorang pertahanan tengah, namun Pellegrini menegaskan, dia tetap gembira untuk memulakan kempen musim ini dengan pemain sedia ada selepas membelanjakan £90 juta (RM461 juta) pada musim panas lalu.

"Saya masih berpuas hati. Saya rasa kami memiliki satu skuad yang diperlukan bagi tahun ini, bukan sahaja dalam saingan domestik, malah Liga Juara-Juara.

"Kami akan lihat (ada pemain baharu atau tidak). Kami tidak perlu melakukannya hari ini. Jadi, mungkin ia tidak akan berlaku.

"Sebab itu kami melakukannya dengan cara kami sendiri, kami rasa ia adalah jalan terbaik kami. Kami tahu pemain mana yang diperlukan," tambahnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 23 Julai 2013

Man City iktiraf bahasa Melayu

Manchester: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City melancar laman web baru dengan tambahan 10 pilihan bahasa, termasuk bahasa Melayu untuk kemudahan peminat di luar negara.

Selain bahasa Melayu, pilihan bahasa lain ditawarkan ialah Sepanyol, Perancis, Portugis, Russia, Jepun, Korea, Cina Tradisional (Hong Kong), Thai dan Indonesia. Ia menambah laman web yang sedia ada dalam bahasa Inggeris, Arab dan Mandarin.
Projek di bawah GLOBAL City itu adalah untuk memenuhi kehendak peminat yang makin bertambah di luar United Kingdom terutama sejak City memenangi Piala FA tahun 2012.


“Populariti City dan kumpulan peminat global berkembang dengan kadar yang pesat. Kami ingin berbicara dengan peminat dalam bahasa ibunda mereka sendiri, dan menjadikan mereka lebih dekat dengan kelab,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Manchester City, Ferran Soriano.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat Manchester City Malaysia, Zoul Bake berkata: “Peminat Manchester City di Malaysia menyambut baik pelancaran web rasmi City dalam bahasa Melayu. Ia memudahkan peminat City yang kurang fasih berbahasa Inggeris untuk mendapatkan berita terkini mengenai kelab dalam bahasa Melayu.

Malaysia sasaran penting

“Dalam masa yang sama ia juga menunjukkan pengiktirafan Kelab terhadap bahasa Melayu. Ia juga hadiah kepada peminat yang bertutur dalam bahasa tersebut yang sudah menyokong kuat kelab selama ini.”
Rantau Asia termasuk Malaysia antara sasaran penting bagi City untuk memperluaskan populariti mereka. Malaysia sudah dimasukkan dalam jadual siri Jelajah City 2012, dan perlawanan persahabatan diadakan dengan pasukan Malaysia XI dengan City menang 3-1. Laman Web Manchester City dalam bahasa Melayu boleh dilawati di http://www.mcfc.com.my 
 
Berita Harian

Sabtu, 20 Julai 2013

Negredo pasang impian

LONDON - Penyerang Sepanyol, Alvaro Negredo berharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Jesus Navas selepas melengkapkan perpindahan ke Manchester City kelmarin.

City mengesahkan bahawa mereka telah melengkapkan yuran perpindahan bernilai £16.4 juta (RM79 juta) untuk Negredo dari Seville.

Negredo bakal menyertai bekas rakan sepasukan Sevilla, Jesus Navas yang turut menyertai skuad The Citizens menerusi perpindahan berjumlah £15 juta (RM72 juta) bulan lalu.

Selain itu, City turut menambah kekuatan di jentera serangan dengan menandatangani seorang lagi penyerang, Stevan Jovetic dari Fiorentina dengan harga £25.8 juta (RM125.9 juta).

Jovetic, 23, dari Montenegro menjadi pemain keempat yang ditandatangani City selepas Fernandinho, Navas dan Negredo.

Penyokong-penyokong fanatik City kini berharap gandingan Negredo dan Navas dapat memberikan impak seperti mana yang mereka lakukan di Sepanyol.

"Saya menghubungi Navas dan Javi Garcia sebelum pihak pengurusan mengesahkan perpindahan saya.

"Mereka berasa gembira dan begitu juga dengan saya. Kembali bersama dengan bekas rakan-rakan sepasukan merupakan detik yang sangat istimewa. Navas merupakan seorang pemain yang hebat dan berbakat besar.

"Saya berharap dapat menjaringkan lebih banyak gol hasil dengan bantuan Navas pada musim depan," kata Negredo.

Untuk rekod, Negredo yang membuat 14 penampilan bersama Sepanyol telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan City.

"Jovetic akan menyertai sesi latihan City minggu depan," menurut satu kenyataan kelmarin. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 19 Julai 2013

Pellegrini 'punca' City kalah lagi


PEMAIN City, Jack Rodwell (kanan) beraksi ketika menentang kelab Afrika Selatan, AmaZulu yang berakhir dengan kelab England itu dimalukan 1-2 kelmarin.


DURBAN, Afrika Selatan - Manuel Pellegrini mengejutkan ramai pihak apabila meninggalkan skuad Manchester City yang sedang mengikuti jelajah pra-musim di Afrika Selatan kelmarin.

Berikutan ketiadaan pengendali dari Chile itu, ia dikatakan menjadi antara penyebab City tumpas buat kali kedua pada jelajah tersebut - kali ini kepada AmaZulu 1-2.

Pengendali baharu The Citizens itu dikatakan pulang ke kampung halamannya di Chile atas sebab peribadi.

Pellegrini dilihat tergesa-gesa meninggalkan lokasi latihan City di Durban sebelum mengambil penerbangan ke Johannesburg lalu terbang ke Santiago.

Difahamkan, Pellegrini bertindak sedemikian atas faktor keluarga dan hanya akan menyertai City semula di Hong Kong minggu depan.

Disebabkan itu, tugas beliau kini diambil alih oleh pembantu pengurus, Brian Kidd dan Ruben Cousillas pada baki perlawanan di Afrika Selatan.

Situasi itu jelas menjejaskan persiapan The Citizens sebelum sepak mula Liga Perdana England Ogos depan.

"Amat penting memiliki skuad yang lengkap dan saya memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman pemain.

"Situasi agak sukar ketika ini tetapi saya menjangkakan tidak banyak masalah bakal timbul.
"Jadi, saya harap dapat bekerjasama dengan pemain setiap hari kerana tidak lagi mempunyai masa yang banyak sebelum saingan liga bermula," kata Pellegrini sebelum ini.

Ketika ini, dua pemain City iaitu David Silva dan Jesus Navas masih belum menyertai skuad kendalian Pellegrini sementara Sergio Aguero dan Pablo Zabaleta hanya tiba di Durban beberapa hari lalu selepas menamatkan tugas antarabangsa bersama Argentina.

Untuk rekod, The Citizens tumpas 0-2 kepada Super Sport United dalam aksi pertama mereka di Pretoria minggu lalu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 15 Julai 2013

Pellegrini cari darah muda ganti Balotelli, Tevez

Pellegrini cari darah muda ganti Balotelli, Tevez Manuel Pellegrini
 
Johanesburg: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini pasti dia dapat menambah opsyen pada jentera serangan sebelum bermula musim baru selepas menjual Mario Balotelli dan Carlos Tevez kepada AC Milan dan Juventus.

Bekas juara Liga Perdana itu dikaitkan dengan penyerang Sevilla, Alvaro Negredo dan penyerang Fiorentina, Stevan Jovetic. Tanpa Sergio Aguero dalam jelajah pra-musim ke Afrika Selatan, Edin Dzeko adalah satu-satunya penyerang senior dalam skuad Pellegrini.
Maicon angkat kaki


Namun, selepas menyaksikan pasukan itu tewas 2-0 kepada Supersport dalam perlawanan pertama sejak mengambil alih City di Loftus Versfeld di Pretoria kelmarin, dia yakin akan terdapat pertambahan sebelum kempen baru bermula.

“Kami berusaha mencari pemain baru yang akan tiba di Manchester City. Adalah penting memiliki skuad yang baik.

“Saya berkata mengenainya sebelum kami ke Afrika Selatan yang kami perlu mengukuhkan setiap posisi dan itu yang kami sedang cari dan yakin akan mendapatkannya,” katanya.

Pellegrini mengesahkan pertahanan Brazil, Maicon yang baru menyertai pasukan itu dari Inter Milan pada musim panas lalu, akan meninggalkan kelab itu. - AFP 
 
Berita Harian

Ahad, 14 Julai 2013

Jovetic hampiri Man. City


LONDON - Steven Jovetic semakin hampir untuk menyertai Manchester City dengan bayaran perpindahan bernilai 27 juta pound (RM129 juta).

Cuma syarat-syarat peribadi yang masih belum dimuktamadkan dengan penyerang berusia 23 tahun itu bakal memperoleh pendapatan sebanyak 120,000 pound (RM575,531) seminggu di Etihad.
SunSport mendedahkan, pada Selasa lalu bagaimana boss City, Manuel Pellegrini berminat untuk mendapatkan pemain handalan Fiorentina itu bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Carlos Tevez.

Sumber rapat dengan bintang Montenegro itu berkata: "Nampaknya dia semakin hampir akan pergi ke City. Mereka cuma perlu menyelesaikan soal kontrak. Itu bukan masalah besar."

Ejen Jovetic berada di England untuk berunding, dengan City dan sekali gus mengatasi Liverpool yang tidak mampu menawarkan aksi di Liga Juara-Juara.

Pellegrini, Rabu lalu meminta City agar berhenti daripada mengeluarkan perbelanjaan yang besar dan membawa masuk lebih ramai pemain muda.

Bagaimanapun, pengurus itu sendiri terbabit dengan pembelian Jesus Navas dan Fernandinho, sementara penyertaan Jovetic bakal meningkatkan peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak lebih 70 juta pound (RM335 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Pellegrini yakin julang Man City


 
Pellegrini yakin julang Man City Manuel Pellegrini
 
Manchester: Manuel Pellegrini percaya dia mampu menukar Manchester City daripada pasukan yang gagal di pentas Eropah kepada pasukan juara apabila mendakwa City masih jauh ketinggalan berbanding kelab-kelab elit Liga Juara-Juara.

Pengendali dari Chile itu menegaskan, dia tahu apa yang perlu diubah untuk memastikan pasukannya tidak tersingkir awal di peringkat kumpulan untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Dengan Manchester City, kami mampu lakukan lebih baik berbanding apa yang saya lakukan di Sepanyol - walaupun bukan mudah untuk mara ke separuh atau suku akhir buat kali kedua,” kata Pellegrini. - Agensi


Berita Harian

United, City pencabar utama Chelsea - Cech


LONDON - Penjaga gol Chelsea, Petr Cech menganggap dua musuh tradisi, Manchester United dan Manchester City tetap pasukan yang hebat pada musim depan meskipun kedua-dua pasukan itu menampilkan pengurus baharu.

Juara Liga Perdana England, United bakal dikemudikan oleh David Moyes, manakala Manuel Pellegrini dilantik sebagai pengurus skuad The Citizens.

Pengurus skuad The Blues, Jose Mourinho pula bukan individu asing apabila beliau kembali membimbing kelab dari London itu.

Namun Cech berkata, perebutan liga akan bertambah sukar biarpun menyaksikan banyak perubahan berlaku di United dan City.

"Kami mahu melakukan kerja sebaik mungkin dan berusaha gigih untuk mencapai matlamat kami.
"Ia agak sukar untuk menyaksikan siapakah lebih hebat sebelum kempen Liga Perdana England bermula.

"Jika anda bercakap mengenai kehebatan United dan City, mereka berjaya mengekalkan pemain-pemain hebat selain memperkuatkan pasukan dengan memburu pemain baharu.

"Malah, sekiranya mereka memiliki pengurus baharu sekalipun, mereka masih memiliki pemain yang sama dan pemain yang lebih berkualiti dalam skuad mereka.

"Perkara ini akan memberikan motivasi baharu kepada mereka di bawah bimbingan pengurus baharu dan apa yang pasti, ia akan menjadikan persaingan sengit untuk memburu kejuaraan," kata Cech pada sidang akhbar Jelajah Asia di Bangkok semalam. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Mancini perlekeh Pellegrini


LONDON - Bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini mendakwa, rakan sejawatan, Manuel Pellegrini bakal berdepan masalah untuk menjadikan skuad The Citizens sebagai kelab gergasi Eropah.

Pengendali baharu City, Pellegrini mengadakan pertemuan dengan sebilangan besar pemain buat pertama kalinya pada sesi latihan pasukan itu.

Rekod cemerlang Pellegrini ketika membimbing bekas pasukan, Villarreal dan Malaga antara sebab yang mendorong City membawanya ke England.

Namun, Mancini yang memiliki rekod buruk di pentas Eropah bersama City sebelum digantikan oleh pengendali Chile itu yakin, Pellegrini bakal bergelut untuk memenuhi tuntutan pihak atasan skuad The Citizens.

"Saya boleh kata City seperti Juventus. Mereka semakin kuat tetapi sedikit ketinggalan apabila beraksi di pentas Eropah.

"Ini kerana, untuk memenangi Liga Juara-Juara, anda memerlukan pengalaman dan skuad yang tepat. Aksi Eropah tidak banyak perlawanan dan sekiranya anda melakukan kesilapan, anda berdepan padah.

"Pada aksi Liga Juara-Juara musim lalu, kami bersaing (bersama Real Madrid, Borussi Dortmund dan Ajax) dalam satu kumpulan yang paling sukar 

"Kini, City turut kehilangan dua pemain iaitu Carlos Tevez yang berhijrah ke Juventus dan Mario Balotelli (AC Milan).

"Saya tidak setuju dengan laporan yang mendakwa kelab Jerman atau England mendominasi saingan Eropah musim lalu.

"Ini kerana kelab Jerman mempunyai kelebihan iaitu rehat pada musim sejuk, manakala kelab England hilang kekuatan selepas terlalu kerap beraksi," kata Mancini. - Agensi

Selasa, 2 Julai 2013

Cavani mula rasa rimas

CAVANI (kiri) kurang menyinar di Piala Konfederasi tetapi cerita perpindahannya dari Napoli ke kelab lain lebih mencuri tumpuan media.


LONDON - Edison Cavani mengakui spekulasi yang mengaitkannya dengan beberapa kelab gergasi Eropah kini sudah mula mengganggu hidupnya.

Penyerang Napoli itu mula menjadi tumpuan pada musim perpindahan ini selepas menjadi buruan Chelsea, Manchester City dan juga Real Madrid.

Dia yang baharu saja selesai menjalani tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Uruguay dalam kempen Piala Konfederasi menjelaskan mula berasa rimas tentang spekulasi yang menyelubunginya ketika ini.

"Pada awal kempen Piala Konfederasi, saya ingat khabar angin tentang penghijrahan saya ini tidak akan memberi masalah kepada saya.

"Tetapi saya silap dan saya terpaksa akui bahawa ia sudah mula mengganggu kehidupan saya," jelas Cavani yang beraksi dengan baik sepanjang kempen di Brazil itu.

Cavani meledakkan dua gol ketika membantu Uruguay mengikat Itali 2-2 pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat awal pagi semalam.
Namun, usahanya itu masih belum memadai apabila Uruguay tumpas dalam penentuan penalti 2-3.

"Buat masa ini saya masih belum mahu memikirkan lagi tentang apa-apa. Kami baharu saja selesai dalam kempen di Brazil ini, jadi berilah saya masa untuk memikirkan tentang masa depan saya," katanya lagi.

Sementara itu, pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang masih berusaha mahu mendapatkan Cavani, bagaimanapun telah diberi lampu hijau dalam pemburuannya ke atas pemain sayap Sporting Lisbon, Bruma.

Bruma atau nama sebenarnya, Armindo Tue Na Bangna, 18, sebelum ini turut diburu oleh City, namun Sporting dikatakan mahu menjualnya dengan harga £8 juta (RM38.5 juta) dengan syarat pertukaran seorang pemain. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my