Memaparkan catatan dengan label Tiger Woods. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tiger Woods. Papar semua catatan

Isnin, 5 Ogos 2013

Woods kembali menggegar


SUDAH lama tidak melihat senyuman puas Woods seperti ini dan ia terserlah selepas beliau menjuarai Kejohanan Jemputan Bridgestone, kelmarin.


AKRON, Amerika Syarikat – Tiger Woods membuktikan kredibilitinya sebagai pemain terbaik dunia apabila meraih gelaran juara di Kejohanan Golf Jemputan Bridgestone buat kali kelapan. 

Lebih manis, anaknya, Charlie yang turut sama berada di lapangan golf Firestone Country Club, berpeluang menyaksikan kemenangan Woods buat pertama kali. 

“Ini membuatkan ia lebih istimewa buat kami berdua. Charlie tidak pernah melihat saya meraih kemenangan. Ia pengalaman pertamanya,” ujar Woods mengenai anak lelakinya yang berumur empat tahun itu. 

Woods juga menyatakan kedua anaknya, Charlie dan Sam sering bertanya bila dia akan memenangi kejohanan. 

“Jadi, minggu ini sangat bagus di mana saya berjaya menjadi pendahulu saingan dan seterusnya muncul juara. Ia sangat istimewa kerana Charlie berada di sini dan menyaksikannya. 

“Dia faham apabila saya melakukan birdie atau bila saya melakukan par. Dia faham perbezaannya. Sungguh menarik dapat berkongsi saat ini dengannya,” ujar Woods. 

Kemenangan tersebut juga menamatkan kemarau gelaran juara sejak lima tahun sekaligus membolehkan Woods kini mendahului senarai Kejuaraan PGA. 

Pada aksi semalam, Woods melakar 15 bawah par 265 keseluruhan untuk berada tujuh pukulan di depan pencabar terdekat. 

Sementara Keegan Bradley dan Henrik Stenson berkongsi tempat kedua dengan lapan bawah par 272. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 7 Jun 2013

Woods atlet berpendapatan paling tinggi


LOS ANGELES - Tiger Woods kembali merampas status sebagai atlet sukan yang menerima pendapatan paling tinggi di dunia dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah Forbes semalam.

Sebelum ini, bintang golf itu menduduki tempat teratas senarai tersebut selama 11 tahun berturut-turut sebelum kedudukannya jatuh ke tangga ketiga pada 2012.

Namun, kali ini majalah Forbes meletakkan semula namanya di tangga teratas selepas dia menerima AS$78.1 juta (RM241.6 juta) sebagai hadiah kemenangan sepanjang tahun lalu termasuk penajaan iklan, bayaran penampilan dan reka cipta lapangan golf.

Woods mula mempamer kebangkitan dalam karier golfnya sepanjang 12 bulan lalu sehingga menyaksikan dia mengumpul hadiah kemenangan AS$13.1 juta (RM40.5 juta), dua kali ganda daripada jumlah pada tahun sebelumnya.

Bintang tenis, Roger Federer di tempat kedua dengan AS$71.5 juta (RM221.2 juta) manakala atlet bola keranjang Los Angeles Lakers, Kobe Bryant di tempat ketiga, AS$61.9 juta (RM191.5 juta).

LeBron James di tempat keempat dengan AS$59.8 juta (RM185 juta) dan pemain quarterback Saints, Drew Brees melengkapkan lima senarai teratas dengan pendapatan AS$51 juta (RM157.7 juta).

Atlet menerima gaji paling mahal tahun lepas, Floyd Mayweather daripada sukan tinju pula menduduki tempat ke-14. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my