Memaparkan catatan dengan label Datuk Azzuddin Ahmad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Datuk Azzuddin Ahmad. Papar semua catatan

Selasa, 9 Julai 2013

'Hamidin paling layak ambil alih tempat saya'



IMBAS... Hamidin (kanan) dan Azzuddin pernah saling bekerjasama di Wisma FAM.


"SAYA yakin beliau (Datuk Hamidin Mohd. Amin) tidak berdepan masalah dalam usaha merapatkan hubungan sesama ahli gabungan pada masa akan datang."

Demikian reaksi mantan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang menganggap Hamidin sebagai individu paling layak bagi menggantikan tempatnya.

Azzuddin yang kini dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkata, beliau percaya dengan pengalaman Hamidin yang terlibat dengan pengurusan bola sepak tempatan hampir 20 tahun mampu memberi impak lebih berkesan terhadap struktur pengurusan FAM pada masa akan datang.

"Saya memiliki latar belakang ketenteraan dan beliau (Hamidin) pula mempunyai pengalaman mentabdir dunia bola sepak tempatan hampir 20 tahun.

"Berbekalkan pengalamannya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Naib Presiden FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, saya yakin beliau tahu untuk menguruskan perkara-perkara yang sepatutnya.

"Tiada seorang yang sempurna termasuk saya. Mungkin ada kelemahan pada diri saya sendiri yang saya tidak dapat lihat tetapi mungkin ahli gabungan FAM di luar sana tahu kelemahan saya.

"Namun, saya tetap percaya kredibiliti Hamidin untuk memberikan penambah baikan kepada FAM di peringkat yang lebih tinggi," kata Azzuddin.

Terdahulu, Azzuddin yang mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah diraikan pada majlis perpisahan beliau sebagai Setiausaha Agung FAM di Wisma FAM semalam.

Sepanjang bertugas bersama FAM selama enam tahun, Azzuddin kerap menjadi tumpuan, baik dalam kalangan peminat, pemerhati bola sepak mahupun rakan-rakan beliau dalam badan induk itu terutama membabitkan Artikel 88.

Antara individu-individu yang pernah berdepan dengan Statut FAM itu ialah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin turut mengumumkan Australia bakal dilantik secara rasmi sebagai ahli gabungan AFF ke-12 pada 25 Ogos depan.

"Saya akui ada kebimbangan yang disuarakan ahli gabungan AFF seandainya mereka (Australia) berminat untuk menyertai Piala AFF 2014. 

"Namun, apa yang boleh saya sahkan adalah mereka tidak bercadang untuk menyertai kejohanan itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 23 Jun 2013

Azzuddin terima surat pelantikan


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kini sudah boleh memberi tumpuan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Ini kerana Azzuddin telah menerima surat pelantikan sebagai Setiausaha Agung AFF semalam.
Azzuddin berkata, tawaran untuk menyertai AFF bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel telah diperkenan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden AFF.

Jelas Azzuddin, beliau akan meninggalkan FAM penghujung minggu ini sebelum memulakan tugas secara rasmi di AFF pada 1 Jun depan.

“Saya telah menerima surat pelantikan sebagai Setiausaha Agung AFF pada pukul 3 petang hari ini (semalam).

“Perkara ini telah diperkenankan oleh baginda (Sultan Ahmad Shah) yang menandatangani surat pelantikan tersebut.

“Saya akan meninggalkan FAM pada akhir bulan ini sebelum menyertai AFF pada 1 Julai nanti,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sepanjang berkhidmat di FAM, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting badan induk bola sepak negara itu.

Antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).

Mengulas mengenai pengganti beliau sebagai Setiausaha Agung, Azzuddin yang enggan mendedahkan nama calon tersebut, berharap individu terbabit dapat melakukan tugas lebih baik daripadanya.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin disebut-sebut sebagai calon pilihan dan dikaitkan dengan ‘kerusi panas’ yang akan ditinggalkan Azzuddin nanti.
Tambah Azzuddin, beliau percaya Sultan Ahmad Shah akan memilih individu yang tepat bagi menjalankan tanggungjawab memperkemaskan lagi badan induk itu.

“Sejujurnya, Tuanku masih tidak mendedahkan apa-apa perkara mengenai hal ini secara rasmi.

“Tidak kira siapa termasuk Hamidin (yang bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM), saya percaya pilihan Tuanku pasti tepat kerana Tuanku akan menilai kewibawaan individu itu tersebut.
“Saya berharap pengganti saya akan melakar kejayaan yang lebih hebat untuk pencapaian skuad bola sepak negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Annuar harus profesional

AZZUDDIN


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan bahawa Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa boleh mengusulkan sebarang perkara berbangkit mengikut saluran yang sah.

Individu yang dimaksudkan Azzuddin ialah Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah merangkap pemangku Presiden KAFA serta Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail yang juga Exco FAM.
Jelas beliau, Annuar seharusnya bersikap lebih profesional dengan menggunakan 'suaranya' melalui kedua-dua individu terbabit dan bukan menerusi kenyataan terbuka menerusi laman sosial Facebook milik bekas Timbalan Presiden FAM itu.

"Annuar sepatutnya boleh menggunakan suaranya menerusi Exco mereka (KAFA) sendiri untuk menanyakan soalan berbangkit, bukan secara terbuka dengan memberikan tanggapan buruk kepada FAM.

''Beliau sepatutnya lebih bersikap profesional dan FAM boleh memberi maklum balas jika ada sebarang isu berbangkit.

"Mengenai pertikaiannya berhubung dana kewangan Harimau Malaya yang menjalani latihan di Australia dan Harimau Muda di Slovakia, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco FAM.

"Apakah beliau tidak dimaklumkan sebarang maklumat mengenai hal tersebut oleh Exco mereka sendiri? 

"Saya tidak tahu tetapi saya enggan menggunakan media sebagai 'orang tengah'.
"Sebaliknya, Annuar boleh rujuk dengan Exco mereka sekiranya masih ada beberapa perkara yang beliau belum jelas dengan perkara ini," kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Annuar mempersoalkan FAM yang menghantar skuad Harimau Muda ke Slovakia dengan mendakwa sesi latihan di negara Eropah itu bertujuan untuk memudahkan pegawai pasukan dan isteri masing-masing melancong ke luar negara.

Selepas mempertikaikan isu tajaan hak penyiaran FAM sebanyak RM30 juta, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sekali lagi menempelak badan induk tersebut dengan menyifatkan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Australia sebagai 'tidak berbaloi'

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 12 Jun 2013

'Serangan' lebih bersifat peribadi

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menganggap kenyataan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan beliau sebagai punca masalah dalaman FAM itu lebih kepada ‘serangan peribadi’.

Azzuddin menegaskan, beliau tidak mahu memanjangkan isu tersebut sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan tanah air.

“Saya memang pelik dan hairan. Kenyataan (Annuar) itu lebih bersifat serangan peribadi.
“Jika benar saya punca masalah dalaman FAM, kenapa Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) masih memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya?

“Hanya Presiden FAM yang berkuasa untuk melantik atau memecat Setiausaha Agung FAM dan saya masih mendapat perkenan daripada Tuanku,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Annuar sebagai berkata bahawa kewibawaan FAM semakin dikecam disebabkan Azzuddin gagal memainkan peranan dalam urusan urus setia persatuan tersebut.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar mengenai kenyataan tersebut, Azzuddin berkata: “Kita tunggu dan lihat.”

Dalam perkembangan lain, Azzuddin tidak berminat untuk mengulas kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencabar FAM memecat beliau daripada menerajui persatuan negeri itu.

Shahidan mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas berang dengan FAM yang menggantungnya, tetapi tiada seorang pegawai badan induk itu yang bertanyakan khabar mengenai PFA.

Bekas Menteri Besar Perlis itu turut ‘mengeluh’ kerana terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai gaji pemain skuad Singa Utara selain meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

Untuk rekod, Shahidan digantung 30 bulan dan didenda RM39,000 selain dilucutkan status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga 2015.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Azzuddin belum terima arahan


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mendedahkan, beliau akan bertugas di Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada pertengahan Jun ini.

Azzuddin berkata, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah perlu mengumumkan penggantinya (di FAM) sebelum beliau memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung AFF.

Beliau menjangkakan perkara itu akan selesai selepas baginda memilih calon baharu Setiausaha Agung FAM pada pertengahan Jun ini.

"Tuanku masih belum memberikan arahan kepada saya untuk menyertai AFF kerana baginda masih belum memutuskan pengganti saya di FAM.

"Begitupun, perkara ini telah diumumkan kepada seluruh pegawai AFF dan saya menjangkakan akan mula bertugas di sana selepas final Piala FA atau pertengahan Jun ini.

"Ini kerana Tuanku masih belum memilih pengganti saya dan saya masih belum menerima apa-apa amanat dalam hal ini daripada baginda.

"Buat masa ini, saya masih lagi menggalas tugas selaku Setiausaha Agung FAM selagi belum dapat arahan daripada Tuanku," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Azzuddin telah mengumumkan bakal meninggalkan FAM pada 1 Jun lalu selepas Sultan Ahmad Shah menamakan beliau sebagai Setiausaha Agung AFF yang baharu.
Azzuddin meninggalkan FAM selepas menerima tawaran untuk menyertai AFF bagi menggantikan Datuk Seri Paul Mony Samuel yang meletakkan jawatan setelah mendapat perkenan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden AFF.

Begitu pun Azzuddin mendakwa, kelewatan itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana pelanti- kan Setiausaha Agung FAM yang baharu akan diumumkan secara rasmi kelak.
Untuk rekod, Azzuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2007 bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengumuman (melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM) bakal diketahui selepas baginda mengumumkan pengganti saya nanti.

"Selagi saya tidak menghantar surat peletakan jawatan, selagi itu saya kekal di FAM tetapi saya percaya perkara ini akan diumumkan secara rasmi," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my